Hajat hati hendak masak Rendang Ayam pagi tadi, namun melihatkan sayur2 hampir busuk akibat tidak dimasak, aku menukar arah kepada Tom Yam Ayam. Menu yang kupilih ini sebenarnya berisiko menerima banyak kritikan kerana Tom Yam air tangan MIL tersangatlah sedap. Tambahan pula beliau selalu masak Tom Yam campur. Aku cuma guna ayam, maka perisanya pasti kurang menyengat. Asam keping dan serai juga tiada. Senang cerita, ini Tom Yam kosong semata. Tak apalah, pelan2 kayuh lama2 pandailah jua. Ye dak?
Resepi tidak disertakan kerana tak larat nak tulis panjang2. Pening kepala dan susah hati. Hari ini hari yang suram, menyedihkan. Banyak wajah2 bertukar hiba tatkala mendengar perkabaran pagi ini. 2020 terletak 5 tahun ke hadapan. Sebelum tibanya tarikh itu, fasa di antaranya amat kritikal. Keadaan politik Malaysia semakin meruncing, kotor dan membimbangkan. Apakah nasib kami generasi pelapis negara? Apakah kalian para pemimpin hendak meninggalkan kami sebuah negara yang rosak dan rakyatnya terumbang-ambing menunggu masa depan yang kelam hanya disebabkan nafsu buas kalian?
Semoga keadilan selalu menyebelahi mereka yang dianiaya.
Di kala hati duka begini, ingatan pasti tertancap pada keluarga di kampung. Apa khabar Emak, Ayah serta adik2 yang dirindui? Sudah sebulan lebih tidak ketemu. Aku pun sudah jarang bergeser dengan Ayah. Mungkin faktor peningkatan usia menyebabkan kami lebih suka diam bila salah seorang naik minyak. Aku akui aku sangatlah rebel orangnya, seperti Sufiah Yusuf yang baru2 ini ditemubual secara eksklusif oleh sebuah stesen televisyen swasta. Luaran mungkin nampak lembut, sedang hakikatnya aku sangat kuat memberontak, kesan tekanan mental semasa membesar.
Apabila membaca dan mendengar kisah Sufiah Yusuf tempoh hari, sepertinya ada sekelumit persamaan antara kami.
Beliau telah 3 kali mengambil ijazah sarjana muda dan berhenti di tengah jalan untuk 2 yang pertama. Aku juga 3 kali dan salah satu program ijazahku ialah Matematik Tulen.
Aku juga pernah melarikan diri dari keluarga dan kampus beberapa kali, seperti beliau. Agakku, beliau juga seorang yang suka memendam rasa lalu bila meletup, terus ambil tindakan drastik tanpa melihat kiri kanan.
Aku juga berumahtangga ketika dalam fasa pengajian.
Aku juga pernah menjalani episod kehidupan kelam dan hitam.
Segolongan orang, seusai menonton temubual eksklusif Sufiah, memberi pendapat menghentam beliau - tipikal orang awam. Mulut yang menonton memang selalunya ringan berkata kerana tidak memerlukan apa2 kos dan bukan kita yang menanggung luka serta parutnya. Barangkali jika mereka di tempat beliau, mungkin mereka akan jatuh ke dalam jurang yang lebih dalam. Jangan mengukur iman bila tidak diuji. Senang untuk berkata besar apabila kita tidak berada dalam situasi tersebut. Jika kita pernah melalui fatrah penderaan fizikal dan mental bertahun2 serta sentiasa diburu lensa masyarakat prejudis lalu boleh berjaya pula [bukan setakat dapatkan sijil tetapi juga berjaya membina kesihatan mental yang baik], mungkin ketika itu kita boleh bersuara. Berapa ramai anak2 bijak yang tidak ada masalah mental? Sedikit. Bukan hanya kecantikan bisa jadi sumpahan, bahkan kepandaian IQ juga.
Sebelum menulis atau berkata, sepatutnya kita berfikirlah. Bila melihat sesuatu musibah menimpa orang lain, berdoalah kebaikan buat mereka dan ambillah ikhtibar. Kita bakal menjadi ibu bapa suatu hari nanti. Jangan sibuk menghakimi orang. Mungkin jalan kita nampak cerah sekarang tetapi ingat, roda sentiasa berputar. Kuncilah mulut.
Bila aku menatap wajah itu, aku lihat kekosongan dalam jiwanya. Namun aku turut nampak sinar ketabahan. Sufiah ialah seorang wanita yang cekal, yang bangkit sendiri perlahan2 tika dia jatuh keseorangan menyembah bumi. Tiada siapa membantu dan aku pasti dia sendiri tidak memerlukan bantuan.
Biarkanlah dia menjalani kehidupan yang tenang, jauh daripada masyarakat. Doakanlah untuknya. Jijiklah pada diri sendiri tatkala ada seseorang sedang cuba merangkak ke arah kebaikan, kita pula mengambil tindakan yang mengingatkan dia bahawa, "oh, aku ini pendosa dan ahli neraka."

No comments:
Post a Comment