30 disember 2021
Jam lebih kurang hampir pukul 6 pagi, saya terjaga. Sedikit lambat daripada biasa, akan tetapi tetap bersyukur kerana sudah seminggu asyik terlajak, hari ini dapat bangun awal untuk solat Subuh.
Air pagi ini sejuk sekali, sepertinya hendak menghalau saya daripada mandi. Namun, saya tetap bersiram dan menyucikan diri sebelum menunaikan solat sunat qabliah subuh serta solat Subuh.
Saya solat di bawah, spesifiknya di dapur, Setelah siap-siap berpakaian sukan, sebelum hendak mendirikan solat, Hajah Mah menyuruh saya melihat-lihat Sushi yang mengiong-iong sedari pukul 4 pagi. Saya jawab okay, tunggu Jia habis solat.
Usai solat, saya berbual sebentar dengan Sushi. Mengusap badannya yang sudah semakin berisi selepas seminggu dirawat. Membersihkan celah-celah kuku, punggung serta mulutnya.
"Sebelum pergi klinik nanti kita tukar alas ya," saya berpesan sebelum melangkah keluar.
Langit sudah sedikit cerah menandakan masuk waktu syuruk. Seperti biasa, sambil memanaskan enjin kereta, saya memakai kasut, fon telinga dan melihat apps fitness. Terasa kecewa juga dengan perkembangan seminggu ini. Akan tetapi, saya cepat-cepat menepis rasa tersebut dan cuba positifkan diri bahawa tak mengapa, saya akan mula semula.
Pagi-pagi selalunya saya takkan pasang radio. Selain untuk menjaga hati, saya juga taknak la dengar lagu sedih di pagi hari. Boleh bikin spoil mood. Biasanya saya biarkan bunyi unggas dan kesunyian pagi sahaja yang meneman.
Brisk walk pagi ini sebentar sahaja berbanding semalam. Cuma sekitar 4 km sahaja. Saya sudah lupa kenapa. Tapi lepas sahaja morning walk, saya terus pulang ke rumah.
Selesai memandi dan memberi anak-anak makan, saya segera bersiap-siap untuk hantar Sushi ke klinik bagi mendapatkan rawatan hari ke-8. Ayam dikeluarkan dari peti sejuk beku. Tak pasti nak masak lauk apa lagi, cuma keluarkan sahaja.
Hajat di hati rasanya petang ni nak buat cupcake untuk dihantar ke klinik ketika ambil Sushi nanti. Sebagai tanda terima kasih atas jasa mereka menjaga Sushi selama seminggu ni. Bagai boleh ditebak hati ini, Hajah Mah tiba-tiba memesan 2 biji brownies untuk disedekahkan kepada jiran kami yang akan membuat majlis pada hujung minggu ini.
Why not, fikir saya.
Hajah Mah mencadangkan agar biar beliau sahaja yang masak kejap lagi. Ini bagi mengelakkan saya kelam-kabut untuk menguruskan semuanya. Saya pun, ah pucuk dicita ulam mendatang. Memang suka sangat kalau Hajah Mah yang masak. Bukan apa, sedar diri yang air tangan ku tak sedap sangat huhu.
Sepanjang perjalanan ke klinik, Sushi lebih banyak diam daripada mengiau. Hati saya terasa tidak sedap tapi saya diamkan sahaja. Badan Sush,i saya usap lembut, moga-moga ada ketenangan yang hadir dalam hatinya.
Pulang sahaja dari klinik, saya makan tengah hari bersama keluarga dan berehat sebentar. Jam 2 lebih baru masuk ke dapur. Dah alang-alang buat brownies, buat jugalah sebiji untuk dihantar ke klinik. Alhamdulillah sebelum pukul 5.30 petang, siap 3 biji brownies. Cuma yang lagi 2 biji tu belum dihias sahaja.
Dalam kereta, tak putus-putus saya berdoa agar Allah taala mempermudahkan urusan Sushi, biarlah dia sihat dan berilah kami sekeluarga peluang untuk menjaganya lagi. Allah taala maha mendengar. Dia akan memakbulkan permintaan kita mengikut kehendak-Nya.
Sushi semakin diam, boleh dikatakan hampir tidak bersuara langsung ketika kami balik. Sepanjang jalan dari Tampoi hingga hampir tiba di rumah, saya memegang badannya. Hati makin bimbang, apakah mungkin Sushi sebenarnya sedang menahan kesakitan. Wallahu 'alam.
Anakanda Safiyyah I kencing di atas baju saya. Mungkin pampersnya sudah penuh. Saya pun tidak marah cuma ada membebel sikit. Sampai je di rumah, terus saya mandikan dia dan mandi sekali. Kemudian, kami makan malam. Hajah Mah minta saya meneman Kak Long ke pasar malam tapi memang tidaklah saya nak teman sedangkan saya sudah pun berbaju kelawar ketika itu. Lagi pula, kejap lagi saya nak bakar kek pisang pula untuk dibawa ke kelas Kahfi keesokan harinya. Lalu KakSu yang teman KakLong.
Saya meneruskan kerja baking yang tertangguh. Sambil itu hati sibuk memikirkan Sushi. Entah kenapalah dia diam dan tidur sahaja daripada tadi.
Bersambung...