Friday, November 29, 2019
Alisha's Craft
Cuti-Cuti Melaka, Ogos 2019 [Bahagian 2]
Hari kedua bermula dengan kami bersarapan di hotel. Pilihan makanan seperti yang biasa dilihat di hotel 3 bintang. Saya makan nasi lemak, suami memilih makanan barat manakala si kakak makan bijirin sarapan.
Selepas itu kami ke kolam renang. Kolamnya terletak bersebelahan hotel dan berkonsepkan outdoor swimming pool. Kalau nak ke sana kena turun lift ke basement. Kami tinjau je tak bawa si kakak mandi pun sebab nak bergegas check out kerana rupanya suami buat kejutan. Beliau booking hotel lain pula untuk malam itu.
PANTAI KLEBANG
Lepas check out, saya mengajak suami ke Pantai Klebang sebentar sebab nak bagi si kakak pijak pasir untuk rangsang sensorinya. Ada drama pula kat sini sebab si kakak bertegas nak buat istana pasir sedangkan pakaiannya tak sesuai. Lama juga nak pujuk. Saya bagi si kakak main di gigi air je sambil-sambil tengok ada dua orang mak cik ni kutip remis.
PESTA DURIAN
Selepas pantai Klebang, kami singgah sebentar di kawasan berdekatan sebab ada pesta durian sempena ulangtahun kemerdekaan ke 62. Ada juga jamah sedikit durian. Selain itu terdapat pelbagai lain buah-buahan tempatan seperti rambutan, manggis, langsat, kelapa muda dan sebagainya. Masa ni si kakak masih moody hahah.
ORIGINAL COCONUT SHAKE KLEBANG
Lepas kenyang makan durian, kami singgah pula di Original Coconut Shake Klebang. Ramai betul manusia di sini, pelbagai bangsa pula tu. Kami cuma beli 3 coconut shake dan 2 jeli kelapa. Sedap! Cuma manis sangat. Alhamdulillah masa ni si kakak dah gembira dah.
MELAKA TROPICAL FRUIT FARM
Seterusnya kami ke Malacca Tropical Fruit Farm. Malam sebelumnya suami plan untuk ke Safari Wonderland tapi saya tak setuju kerana harganya yang mahal dan review pun ada yang tak elok. Jadi, kami tukar ke Malacca Tropical Fruit Farm. Dalam 45 minit jugalah dari hotel kami.
Harga tiket di sana memang murah sangat cuma saya tak ingat berapa. Kami juga diberi sayur-sayuran secara percuma untuk diberi kepada arnab. Syok sangat sebab boleh pegang arnab dan bagi makan. Arnabnya pula banyak dan gebu-gebu. Memang sesuai untuk si kakak.
Selepas habis memberi makan, kami mendengar penerangan tentang madu kelulut oleh pekerja di situ. Kat sini merata-rata sarang lebah kelulut. Boleh buka dan tengok sendiri. Kami juga diberi peluang merasa madu tersebut.
Selepas itu kami pusing di sekitar taman. Memang kena naik kereta ya, kalau jalan kaki 3 jam pun tak habis sebab tempatnya besar.
Di sini terdapat banyak jenis pokok termasuk pokok buah-buahan dan kita boleh makan sesuka hati sebanyak mana kita nak. Tapi sayang masa kami pergi tu cuma pohon rambutan je berbuah. Merasalah jug si kakak tengok Abi jolok buah.
Pokok lain yang ada seperti pokok betik, durian, buluh, getah, jati, manggis, mangga dan sebagainya.
Selain itu, Abi juga bawa si kakak tengok reban puyuh. Ada beratus ekor puyuh di dalamnya tapi sekejap je pergi sebab kakak tak tahan bau busuk tahi dia haha.
Seterusnya aktiviti paling best di sini, bagi makan haiwan ternakan. Sini ada mini zoo tau, ada lembu, burung unta, rusa, kambing dan kuda. Di setiap kandang juga dibekalkan dedaunan untuk diberi makan kepada haiwan-haiwan ini secara percuma. Fuhhh, si kakak seronok tak terkata. Walaupun kumpulan haiwan tersebut biasa kita lihat, namun ia jarang untuk si kakak. Pulak tu tak ada orang langsung di sana. Memang puas hatilah si kakak dapat bagi makan kat haiwan-haiwan tu. Paling kelakar masa nak bagi makan kat burung unta, sampai terjerit-jerit, drama betul. Kecil saja mini zoo ni tapi lama sangat kami spend masa di situ. Tak penat sebab naik kereta cuma panas terik aje.
CHECK IN HOTEL KEDUA
Selepas zohor, kami pun siap meronda dan pulang ke hotel. Tak jadi nak makan luar sebab anak-anak dah penat maka kami bungkus KFC sahaja. Kami sempat singgah di gerai kuih keria antarabangsa (tapi tak beli) sebelum check in di hotel kedua.
MasyaAllah, cantik sangat hotelnya. Saya sempat juga membebel sekejap kenapa ambil hotel mahal, tapi suami cakap, beliau nak gembirakan isteri dan anak-anak. Dan kononnya ini sebahagian hadiah kerana melahirkan anak kedua. MasyaAllah tabarakallah, terima kasih suamiku.
Masuk je bilik, si kakak jadi sangat teruja sebab ada tab mandi. Apa lagi dia terus tukar baju dan berendam dalam tab. Lepas tu baru nak makan. Kemudian, masing-masing pun berehat dan tidur. Hanya saya sahaja tak tidur sebab menyusukan si baby.
MAHKOTA PARADE
Selepas Asar, kami berjalan-jalan di Mahkota Parade. Jalan kaki sahaja sebab dekat dengan hotel. Di sana kami belikan si kakak kasut sukan baru sebab esoknya nak bawa dia ke Skytrex. Tak beli benda lain sebab kan dah kata, percutian ni untuk si kakak. Shopping bukan keutamaan kami.
MANDI DI SWIMMING POOL
Selepas maghrib, kekanda suami menemani si kakak untuk mandi di swimming pool hotel. Saya turun lambat sedikit sebab nak susukan baby. Dalam 8.30 malam baru turun. Waaa best rupanya sebab selain ada swimming pool, ada bilik sauna juga. Belum rezeki saya nak cuba sebab ada baby. Takpe tak kisah pun. Saya habiskan masa berbual dengan seorang pak cik dari Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ sementara suami mengajar si kakak berenang.
PAHLAWAN WALK
Dalam pukul 9 lebih lepas kolam ditutup, kamo bersiap dan keluar semula untuk ke Pahlawan Walk. Belikan cenderahati sikit untuk keluarga. Si kakak jalan sekejap dah letih, jadi kami bungkus lauk je buat makan di bilik. Kami tapau ikan siakap 3 rasa, kailan goreng, telur dadar dan nasi. Balik je hotel semua kata tak nak makan, nak tidur katanya. Sedih saya tau nak makan sorang-sorang. Saya paksa juga semua duduk, saya suap sorang-sorang. Dah beberapa suap kemudian barulah si Abi dan kakak ada selera, nak makan sendiri.
Seusai makan dalam pukul 12 macam tu, kami pun tidur.
Sekian hari kedua.
Wednesday, November 27, 2019
Cuti-Cuti Melaka, Ogos 2019 [Bahagian 1]
Pada bulan ogos lalu, kami berempat pergi bercuti 3 hari 2 malam di Melaka Bandaraya Bersejarah. Dah lama baru nak menulis sebab banyak benda terjadi selepas itu, jadi sekarang baru terasa hendak titipkan sedikit nukilan buat bacaan anak-anak di masa hadapan.
Percutian ini sebenarnya sangatlah last minute plan. 2 hari sebelum pergi baru tempah hotel dan sebagainya. Mulanya saya cuma ajak-ajak ayam sebab tak nak bebankan suami. Saya kata nak bawa kakak bercuti sebab kasihan sejak ada adik ni emosinya kurang stabil sampai memberi kesan padanya di sekolah. Jadi saya nak bawa dia makan angin untuk tenangkan fikiran. Saya sendiri pun sangat perlu untuk keluar dari rumah sebentar sebab baru lalui fasa pantang yang mencabar dan ada beberapa konflik yang memeritkan mental.
Tak sangka suami setuju. Ya, dia pun faham keadaan anak sulung kami. Bukan mudah untuk saya dan suami adjust kehidupan selepas kelahiran si kecil, sudah tentu ianya lebih sukar untuk seorang anak berusia 5 tahun.
TAMAN RAMA-RAMA, AYER KEROH
Makanya, hari sabtu tu kami bertolaklah. Agak lewat petang juga, biasalah ada newborn dan baru habis pantang pula, ambil masa nak bersiap. Tiba sahaja di Melaka, kami terus ke Taman Rama-Rama yang terletak tidak jauh dari tol Ayer Keroh. Harga tiket masuk sangat berpatutan iaitu RM5 sahaja.
Kali terakhir kami ke sini ialah 2 tahun lalu, juga bersama si kakak. Hajat hati nak jumpa kawan baik tapi sebab agak kelam-kabut, kami simpan sahaja niat tu. Merajuklah sekejap kawan tu hehehe. Minta maaf sangat ye Amal. =)
Waktu kami sampai tu masih ada 20 minit sebelum tutup, jadi sempatlah kami pusing satu taman. Cuma tak sempat nak pegang iguana je sebab dah lewat, dia nak masuk tidur.
Sebenarnya kan, kami memang suka ke sini sebab rama-rama memang banyak dan bebas berterbangan. Sambil berjalan ada sahaja rama-rama yang singgah atas kepala dan tangan. Secara tak langsung, ativiti ni boleh bantu tingkatkan kekuatan sensori sentuhan si kakak. Alhamdulillah dulu dia geli, sekarang tak dah.
Yang seronoknya juga, selain rama-rama, ada juga haiwan reptilia seperti buaya, ular, kala jengking dan macam-macam lagi di sini. Memang syok tengok satu-persatu spesis jika anda penggemar haiwan . Spider pun ada, dalam bilik gelap di akhir taman :{
Lepas pit stop pertama, kami terus check in dan berehat sementara menunggu waktu maghrib. Si kakak pula dengan sendirinya keluarkan buku matematik dan belajar. Memang sebelum bertolak lagi dia kata nak bawa. Saya tanya betul ke ayang nak belajar masa cuti? Dia jawab ya. Dan dengan sendirinya dia belajar. Budak-budak kalau dia gembira, dia memang akan belajar. Tak perlu paksa pun.
RESTORAN PAK PUTRA
Malamnya dalam pukul 8, kami keluar untuk makan malam. Destinasi yang dituju ialah Restoran Pak Putra. Dengar kata di situ ada roti naan yang sedap.
Okay sebenarnya kami tak plan pun nak makan di sini tapi sebab tak tahu tempat mana yang sedap dan google pula cadangkan restoran tersebut, kami ikut jela cadangan tu.
Aduhai, rupa-rupanya tempatnya sangatlah tidak sesuai untuk keluarga yang membawa anak kecil. Ia sebuah restoran mamak yang biasa kita selalu lihat. Bezanya ialah dalam dan luar sangat penuh dengan manusia termasuk pelancong dan ada yang merokok. Ruang pun agak sempit tak muat untuk stroller. Nak nursing in public pun rimas.
Pada mulanya saya dah malas nak makan situ. Yelah ramai sangat orang, kami dahlah bawa bayi kecil. Kami kalau boleh tak mahu pergi tempat yang terlalu sesak demi menjaga kesihatan anak-anak, namun mengenangkan waktu dah agak lewat untuk cari makan di tempat lain jadi nak tak nak kami teruskan je.
Kami pesan 1 roti naan biasa, 1 roti naan cheese, 1 roti naan double cheese, 1 pinggan ayam tandoori dan 1 mangkuk butter chicken.
1 jam menunggu, akhirnya makanan tiba. Alhamdulillahhhh, mujur makanannya sedap. Memang sedap seperti yang saya baca melalui review di google. Kiranya berbaloilah kami makan di sini. Cuma harganya agak mahal je.
Usai makan malam, saya mengajak suami pusing-pusing sebentar tapi sebab beliau dah penat, beliau cadang agar kami terus pulang sahaja. Sebelum pulang sempat kami singgah di 7-Eleven membeli air botol dan makanan ringan.
Malam itu sebelum tidur macam biasa, sesi bercerita dengan anak-anak. Seronok betul si kakak. Kami sebagai ibu bapa pun seronok tengok anak gembira.
Alhamdulillah untuk segala nikmat yang Allah taala kurniakan.
Sekian untuk hari pertama.
Sunday, November 24, 2019
Uswah Hasanah
Tuesday, November 5, 2019
True & Honest Conversation With My Daughter
Semalam, saya mengadakan perbualan hati ke hati bersama Alisha, anak sulung saya yang berumur 5 tahun 11 bulan.
Wednesday, October 30, 2019
Aib
"Semua orang ada aib. Tapi kalau kita tutup aib orang di dunia, maka Allah akan tutup aib kita di dunia dan akhirat."
Tuesday, October 29, 2019
Tenang
Apa yang paling penting di dunia ini?
Wang?
Harta?
Anak-anak?
Rumah besar?
Isteri yang cantik?
Suami yang bekerjaya?
Yang paling penting ialah ketenangan hati dan jiwa.
Dengan segala-gala yang ada di dunia, tanpa ketenangan, tiada maknanya. Hati sentiasa resah, gundah-gulana tidak berpenghujung. Segala nikmat dunia tidak terasa manisnya.
Dari ketenangan hati akan lahir kebahagiaan.
Miskin, bahagia.
Kaya, bahagia.
Susah, bahagia.
Senang, bahagia.
Dan ketenangan ini hanya akan diperoleh daripada Allah taala.
Hanya Allah taala yang boleh meletakkan tenang itu dalam diri kita.
Berdoalah.
Bersabarlah.
Semoga Allah memberimu tenang.
Agar lahir bahagia.
Saturday, July 13, 2019
[Buku] Di Bawah Lindungan Kaabah
Dah lama sangat tak bedah buku. Masa rajin blogging circa 2008-2012 dulu kerap juga menulis tentang buku yang dibaca. Bila dah kurang menulis ni, nak mula semula pun susah.
Sekarang ni saya sedang berusaha untuk habiskan beberapa buah buku. Masa untuk membaca agak banyak juga sebab sekarang kerap berjaga untuk menjaga baby. Jadi harapnya dapatlah saya baca lebih banyak buku.
Di Bawah Lindungan Kaabah ialah salah satu daripada himpunan novel Buya Hamka semasa hayatnya.
Saya tidak akan kata ia salah satu masterpiece almarhum, namun, ia tetap seronok dibaca.
Kisahnya mudah, bahasanya ringkas. Ia kisah tentang dua orang perawan yang saling mencintai setelah melalui alam persekolahan bersama-sama, namun cinta itu tidak terlafaz kerana perbezaan darjat.
Hanya setelah terpisah selama beberapa tajun baharulah mereka mengetahui isi hati masing-masing. Malangnya belum sempat dua jasad itu bertemu, Allah taala sudah terlebih dahulu mengambil roh mereka.
Aduhai, memang sedih mengenang cinta suci yang tak kesampaian. Saling mencintai namun hanya terluah setelah maut menjemput kembali.
Bila baca kisah-kisah begini, sering saya ingatkan diri untuk bersyukur kerana dapat merasa dicintai dan dikahwini. Ditambah lagi pula nikmatnya dengan kehadiran zuriat penyambung legasi. Betapa cinta itu ialah satu nikmat yang sangat besar, dan mesti selalu dibajai agar sentiasa memberi erti. Tidak semua merasainya di dunia ini. Mungkin kerana dijemput ilahi atau mungkin memang Allah tetapkan jodohnya di akhirat sana.
Friday, July 12, 2019
[Buku] Fahrenheit 451
Friday, July 5, 2019
Cerita Anniversary Keenam
Tahun ini suami tanya, saya nak hadiah apa untuk anniversary kami? Saya jawab tak nak apa-apa. Tapi selepas beberapa hari, baru saya terfikir akan sesuatu. Lalu saya nyatakan hasrat untuk beliau menemani saya ke kelas penyusuan bayi.
Beliau setuju.
Kebetulan kelasnya memang jatuh pada hari pernikahan kami.
Lalu pagi itu kami ke kelas yang diadakan di dewan NHI, berdekatan sahaja dengan rumah mak mertua. Sampai sahaja, kami mendaftar dan diberikan goodies. Dalamnya ada modul kelas, sebuah pek panas, voucer bernilai RM20, kalendar 2019, beberapa keping milk storage bag dan juga beberapa helai maternity pad jika tak silap saya.
Kelas dikendalikan oleh Puan Nad Masrom, pengasas syarikat Feed by Ummi Najla yang juga seorang kaunselor laktasi bertauliah.
Kelas tamat pada pukul 1 lebih kurang dan sebelum pulang, kami bergambar bersama dan diberikan makanan tengah hari. Sedap tau, ada ikan cencaru goreng dan tempe (ingat-ingat lupa).
Sebenarnya suami teman separuh jalan sahaja sebab beliau demam. Jadi saya suruh beliau tidur dalam kereta je. Alhamdulillah beliau sempat juga mengikuti separuh kelas dan dapat sedikit input.
Beberapa hari seterusnya, tak silap, hari minggu. Macam biasa kalau hari Sabtu selalunya ada walimatulurus. Hari itu juga sama dan anakanda Safiyyah mengikuti neneknya ke kenduri. Saya lupa la kenapa saya tak ikut. Jadi tengah harinya suami mengajak saya untuk anniversary lunch. Kami memilih untuk makan di Seoul Garden di Aeon Bandar Dato Onn. Punyalah lama tunggu sebab nak dapatkan seat yang saya mahu. Sanggup suami berlapar kejap semata-mata nak saya selesa. Beliau tahu saya tak suka seat yang terlalu exposed, saya suka duduk di kawasan yang agak reserved, jauh daripada orang ramai, supaya saya boleh makan dengan tenang.
Lepas makan tu macam biasalah, beliau ada belikan sedikit barang. Dah lupa la barang apa tapi most probably barang penjagaan wajahlah sebab memang beliau suka belikan. Sampai tak terguna hahah. Anyway, thanks a lot kekanda suami. You are such a wonderful husband to me and a great father figure to our daughters. I love you. Hehehe.
Tak boleh puji panjang-panjang. Mak nasihatkan jangan terlalu expose suami di media sosial, bimbang ada mata-mata jahat yang tak suka. Okay, baikkkk makkk. ;)






