Wednesday, November 27, 2019

Cuti-Cuti Melaka, Ogos 2019 [Bahagian 1]

Pada bulan ogos lalu, kami berempat pergi bercuti 3 hari 2 malam di Melaka Bandaraya Bersejarah. Dah lama baru nak menulis sebab banyak benda terjadi selepas itu, jadi sekarang baru terasa hendak titipkan sedikit nukilan buat bacaan anak-anak di masa hadapan.

Percutian ini sebenarnya sangatlah last minute plan. 2 hari sebelum pergi baru tempah hotel dan sebagainya. Mulanya saya cuma ajak-ajak ayam sebab tak nak bebankan suami. Saya kata nak bawa kakak bercuti sebab kasihan sejak ada adik ni emosinya kurang stabil sampai memberi kesan padanya di sekolah. Jadi saya nak bawa dia makan angin untuk tenangkan fikiran. Saya sendiri pun sangat perlu untuk keluar dari rumah sebentar sebab baru lalui fasa pantang yang mencabar dan ada beberapa konflik yang memeritkan mental.

Tak sangka suami setuju. Ya, dia pun faham keadaan anak sulung kami. Bukan mudah untuk saya dan suami adjust kehidupan selepas kelahiran si kecil, sudah tentu ianya lebih sukar untuk seorang anak berusia 5 tahun.

TAMAN RAMA-RAMA, AYER KEROH

Makanya, hari sabtu tu kami bertolaklah. Agak lewat petang juga, biasalah ada newborn dan baru habis pantang pula, ambil masa nak bersiap. Tiba sahaja di Melaka, kami terus ke Taman Rama-Rama yang terletak tidak jauh dari tol Ayer Keroh. Harga tiket masuk sangat berpatutan iaitu RM5 sahaja.

Kali terakhir kami ke sini ialah 2 tahun lalu, juga bersama si kakak. Hajat hati nak jumpa kawan baik tapi sebab agak kelam-kabut, kami simpan sahaja niat tu. Merajuklah sekejap kawan tu hehehe. Minta maaf sangat ye Amal. =)

Waktu kami sampai tu masih ada 20 minit sebelum tutup, jadi sempatlah kami pusing satu taman. Cuma tak sempat nak pegang iguana je sebab dah lewat, dia nak masuk tidur.

Sebenarnya kan, kami memang suka ke sini sebab rama-rama memang banyak dan bebas berterbangan. Sambil berjalan ada sahaja rama-rama yang singgah atas kepala dan tangan.  Secara tak langsung, ativiti ni boleh bantu tingkatkan kekuatan sensori sentuhan si kakak. Alhamdulillah dulu dia geli, sekarang tak dah.

Yang seronoknya juga, selain rama-rama, ada juga haiwan reptilia seperti buaya, ular, kala jengking dan macam-macam lagi di sini. Memang syok tengok satu-persatu spesis jika anda penggemar haiwan . Spider pun ada, dalam bilik gelap di akhir taman :{

Lepas pit stop pertama, kami terus check in dan berehat sementara menunggu waktu maghrib. Si kakak pula dengan sendirinya keluarkan buku matematik dan belajar. Memang sebelum bertolak lagi dia kata nak bawa. Saya tanya betul ke ayang nak belajar masa cuti? Dia jawab ya. Dan dengan sendirinya dia belajar. Budak-budak kalau dia gembira, dia memang akan belajar. Tak perlu paksa pun.

RESTORAN PAK PUTRA

Malamnya dalam pukul 8, kami keluar untuk makan malam. Destinasi yang dituju ialah Restoran Pak Putra. Dengar kata di situ ada roti naan yang sedap.

Okay sebenarnya kami tak plan pun nak makan di sini tapi sebab tak tahu tempat mana yang sedap dan google pula cadangkan restoran tersebut, kami ikut jela cadangan tu.

Aduhai, rupa-rupanya tempatnya sangatlah tidak sesuai untuk keluarga yang membawa anak kecil. Ia sebuah restoran mamak yang biasa kita selalu lihat. Bezanya ialah dalam dan luar sangat penuh dengan manusia termasuk pelancong dan ada yang merokok. Ruang pun agak sempit tak muat untuk stroller. Nak nursing in public pun rimas.

Pada mulanya saya dah malas nak makan situ. Yelah ramai sangat orang, kami dahlah bawa bayi kecil. Kami kalau boleh tak mahu pergi tempat yang terlalu sesak demi menjaga kesihatan anak-anak, namun mengenangkan waktu dah agak lewat untuk cari makan di tempat lain jadi nak tak nak kami teruskan je.

Kami pesan 1 roti naan biasa, 1 roti naan cheese, 1 roti naan double cheese, 1 pinggan ayam tandoori dan 1 mangkuk butter chicken.

1 jam menunggu, akhirnya makanan tiba. Alhamdulillahhhh, mujur makanannya sedap. Memang sedap seperti yang saya baca melalui review di google. Kiranya berbaloilah kami makan di sini. Cuma harganya agak mahal je.

Usai makan malam, saya mengajak suami pusing-pusing sebentar tapi sebab beliau dah penat, beliau cadang agar kami terus pulang sahaja. Sebelum pulang sempat kami singgah di 7-Eleven membeli air botol dan makanan ringan.

Malam itu sebelum tidur macam biasa, sesi bercerita dengan anak-anak. Seronok betul si kakak. Kami sebagai ibu bapa pun seronok tengok anak gembira.

Alhamdulillah untuk segala nikmat yang Allah taala kurniakan.

Sekian untuk hari pertama.

No comments:

Post a Comment