Wednesday, September 2, 2020

AA

Ketika seorang alim ditanya, apakah yang paling jauh daripada kita? Jawapan yang diberi ialah masa lalu.

Kerana ia takkan kembali lagi.

Ada masa-masanya ketika saya beruzlah, fikiran akan mengimbau kembali zaman dahulu dan pada waktu itu saya tidak boleh terlepas daripada mengingat teman dan sahabat lama. Kadang terbit penyesalan kerana melukai hati mereka, kadang terbit rasa sedih pula tatkala mengingat mereka yang pernah menikam perasaan ini. 

Ada seseorang yang kerap terlintas di ingatan, namanya AA. Dia merupakan rakan ketika diploma dahulu. Orang Selangor, berpewatakan ceria, sensitif, sedikit terburu-buru namun baik hati. 

Itulah dia yang saya kenal hampir 10 tahun dahulu. Sudah lama terputus sahabat, barangkali akhlaknya sudah jauh berubah menjadi seorang yang lebih baik sekarang. Siapalah saya untuk menilai insan, apatah lagi seseorang yang sudah banyak purnama tidak bersua muka dengannya dan berukhuwah. 

Entah kenapa sering teringatkannya. Mungkinkah kerana dia terlalu benci akan saya atau kerana luka yang dia tinggalkan terlalu dalam atau entahlah, wallahualam.

Tiada juga cara untuk menghubunginya kerana saya telah disekat di semua medium sosial sejak beberapa tahun dahulu. Dan saya sendiri pula, tidak pasti apakah perlu saya mencuba juga menghubunginya kerana apakah ada sebab yang memerlukan saya untuk berbuat demikian selain daripada kerana takut akan balasan Allah kerana memutuskan silaturahim. 

Saya malu jika dikata muka tembok atau bagai melukut di tepi gantang.

Bukan salah dia menyekat saya, pasti dia ada alasannya tersendiri. Saya juga ada menyekat beberapa orang, bukan semuanya kerana benci. Malah mungkin tiada satu pun yang dibenci. Hanya kerana ingin menjaga hati sendiri supaya tidak semakin berduka lara jika melihat wajah-wajah itu lagi. Mungkin, AA juga sama.

Maka benarlah, hati kita ini Allah yang pegang. Tiada daya untuk kita mengubah pandangan seorang manusia melainkan Allah jua yang membolak-balikkannya. 

Ya Muqallibal qulub, tsabbit qalbi ‘ala dinik.




Monday, August 31, 2020

Teringat akan Suami

Setelah berbulan membiarkan almari kekanda suami tertutup rapat, siang tadi saya membukanya. Hajat hendak mencari seluar kerana saya kehabisan seluar yang muat memandangkan sejak berat badan sudah turun, baru sehelai seluar sahaja yang dibeli. 

Waktu itu tiba-tiba terfikir hendak mencuba seluar jeans suami. Woah, sangat muat, malah longgar satu saiz lagi! Tak pernah terbayang sebelum ini yang suatu hari nanti saya boleh menyarung seluar suami, memandangkan jurang saiz kami yang sangat besar dahulu iaitu 10 inci. Seingat saya, kali terakhir pinggang saya di saiz ini ialah sekitar 16 tahun dahulu iaitu di tingkatan tiga. Alhamdulillah, terima kasih ya Allah. 

Sejurus selepas menyarungkannya, perasaan teruja menjelma, namun tidak lama kerana rasa sepi dan sayu menjengah pula. Tika itu baru saya tersedar, saya hampir lupa bagaimanakah bau suami sendiri. Lalu, setiap helaian baju diselak dan dicium, mencari-cari bau suami jika masih ada. Sudah hampir 6 bulan, hanya sedikit yang masih bersisa haruman suami. Saya menciumnya puas-puas sebelum kembali menutup pintu almari.

Sedih rasanya memikirkan entah bila akan bertemu.. 

Usah dibilang yang orang lain lagi lama tak bertemu, ada suami kerja di laut dan sebagainya. Situasi kita berbeza. Ini pengalaman pertama saya berjauhan begini lama dan ia terjadi tiba-tiba tanpa sempat kami anak-beranak menyediakan mental untuk menghadapinya. Sudah tentu saya mengambil masa yang sangat lama untuk adjust kehidupan baru ini. Adakalanya saya kuat, ada masa terduduk juga.

Walau bagaimanapun, dalam kesedihan yang merajai hati, terselit juga rasa syukur kerana sekurang-kurangnya suami masih hidup dan sihat walafiat. Hanya sahaja laut yang memisahkan suami daripada saya dan anak-anak. 

Suatu hari nanti kita pasti akan bersatu kembali, insyaallah. Semoga Allah taala mengangkat kembali virus Covid-19, menemukan penawarnya dan mengembalikan kesejahteraan kepada bumi ini.

Jannah Najiha
1 Sept 2020 @ 12:13 pagi
Johor Bahru


Saturday, August 29, 2020

Kali Pertama Safiyyah I Sleepover

Rasa pelik bila anakanda Safiyyah I tiada malam ini kerana bermalam di rumah Kakak Sofea. Rasa rindu pun iya juga. Ditambah juga dengan rasa sayu mengenangkan dia sering dimarah akhir-akhir ini. Maafkan Ummi wahai anakandaku...

Bila difikirkan, rupanya inilah kali pertama Safiyyah I bermalam di rumah orang lain tanpa kehadiran ahli keluarga. Selalunya akan ada peneman. Hari ini tidak. Asalnya aku cuma merancang untuk biarkan dia menghabiskan masa bersama Kakak Sofea seharian je, sementelah beberapa hari lalu Kakak Sofea  menghantar mesej memohon kebenaran untuk Safiyyah meluangkan waktu di rumahnya. Namun bila tiba waktu untuk pulang, Mamanya memberi tahu bahawa dia tidak mahu balik. Mujur kanda suami memberi izin, maka tidaklah perlu aku melayan rajuknya jika dipaksa balik ke rumah. Lagipun dah lama dia tak berjumpa Kakak Sofea, jadi biarlah dia bermain puas-puas di sana. 

Cumanya ada sedikit kerisauan di hati ini mengenangkan Safiyyah I selalunya perlu didodoi sebelum tidur. Paling tidak, bacakan buku. Dan kalau kat rumah pun, memang dia hanya mahu tidur di sebelahku, tak mahu sebelah nenek atau sesiapa. Pernah dia tidur depan pintu bilik selama sejam di waktu tengah malam sebab aku denda dia tidur dengan nenek kerana melanggar perintahku. Sanggup dia bertahan sedangkan depan pintu bilik tu punyalah gelap dan panas. Jadi, mana tak risaunya bila nak lepaskan dia di rumah orang kan. Hmm harap semuanya akan baik-baik sahajalah...

Sementara itu di rumah hari ini, aku tetap sibuk seperti biasa bakar brownies dan kek. Kek biasa sahaja, kek coklat lembab yang sebenarnya dah dibakar kelmarin. Cuma krimnya sahaja baru buat fresh harini. Tengah syok buat crum coat, tiba-tiba Safiyyah II terjaga. Makanya kenalah sambung deko esok sebab memang tak jadi kerjalah bila bayi dah bangun kan. Kena susukan dulu, tak boleh pass kat orang lain since Safiyyah II memang menyusu badan sepenuhnya. 




Thursday, January 30, 2020

[Diari] Perjuangan Ini...

Berat aku turun lagi.
Susu badanku semakin berkurang.

Ya Allah, jadikan aku hamba-Mu yang redha akan ketentuan-Mu. Tetapi jadikan juga aku hamba yang bersangka baik, tidak berputus asa dan terus berusaha. Ujian yang Kau berikan ini, aku yakin hanya sebentar cuma. Kurniakanlah aku kesabaran di atas kesabaran atas setiap yang Kau uji.

Aku ingin menyusukan anak ini selama dua tahun penuh. Aku ingin peroleh pahala atas kesusahan ini. Aku ingin mencapai sesuatu dalam hidupku.

Aku pernah suarakan untuk mencari ibu susuan tetapi cadangan ini dibantah oleh suamiku yang kukasihi. Juga dibantah ibu dan ibu mertuaku. Seandainya mereka memahami apa yang tersirat dalam hatiku ini. Seandainya mereka tahu bagaimana aku mencuba untuk pulih. Mungkin mereka akan menyokongku.

Aku ingin menjadi ibu yang diimpikan anak-anakku. Aku ingin bermain dengan Alisha. Aku ingin memasak makanan sedap-sedap untuknya. Ajarnya mengaji. Aku ingin mendengar cerita-ceritanya, menjadi bahu ketika dia sedih.

Ya Allah, sembuhkanlah aku. Pulihkanlah aku. Kurniakan aku kehidupan sebagai seorang ibu yang sempurna. Sekurang-kurangnya hingga anak-anakku dewasa, sudah bekerja, berdikari dan berkahwin dengan suami yang soleh.