Wednesday, September 2, 2020

AA

Ketika seorang alim ditanya, apakah yang paling jauh daripada kita? Jawapan yang diberi ialah masa lalu.

Kerana ia takkan kembali lagi.

Ada masa-masanya ketika saya beruzlah, fikiran akan mengimbau kembali zaman dahulu dan pada waktu itu saya tidak boleh terlepas daripada mengingat teman dan sahabat lama. Kadang terbit penyesalan kerana melukai hati mereka, kadang terbit rasa sedih pula tatkala mengingat mereka yang pernah menikam perasaan ini. 

Ada seseorang yang kerap terlintas di ingatan, namanya AA. Dia merupakan rakan ketika diploma dahulu. Orang Selangor, berpewatakan ceria, sensitif, sedikit terburu-buru namun baik hati. 

Itulah dia yang saya kenal hampir 10 tahun dahulu. Sudah lama terputus sahabat, barangkali akhlaknya sudah jauh berubah menjadi seorang yang lebih baik sekarang. Siapalah saya untuk menilai insan, apatah lagi seseorang yang sudah banyak purnama tidak bersua muka dengannya dan berukhuwah. 

Entah kenapa sering teringatkannya. Mungkinkah kerana dia terlalu benci akan saya atau kerana luka yang dia tinggalkan terlalu dalam atau entahlah, wallahualam.

Tiada juga cara untuk menghubunginya kerana saya telah disekat di semua medium sosial sejak beberapa tahun dahulu. Dan saya sendiri pula, tidak pasti apakah perlu saya mencuba juga menghubunginya kerana apakah ada sebab yang memerlukan saya untuk berbuat demikian selain daripada kerana takut akan balasan Allah kerana memutuskan silaturahim. 

Saya malu jika dikata muka tembok atau bagai melukut di tepi gantang.

Bukan salah dia menyekat saya, pasti dia ada alasannya tersendiri. Saya juga ada menyekat beberapa orang, bukan semuanya kerana benci. Malah mungkin tiada satu pun yang dibenci. Hanya kerana ingin menjaga hati sendiri supaya tidak semakin berduka lara jika melihat wajah-wajah itu lagi. Mungkin, AA juga sama.

Maka benarlah, hati kita ini Allah yang pegang. Tiada daya untuk kita mengubah pandangan seorang manusia melainkan Allah jua yang membolak-balikkannya. 

Ya Muqallibal qulub, tsabbit qalbi ‘ala dinik.




No comments:

Post a Comment