Saturday, September 19, 2015

[Pendapat] Suami Isteri Wajib Bergaduh?



"Kak, betulkah pasangan suami isteri ni memang akan bergaduh?" tanya seorang sahabat beberapa hari lalu.

Saya membenarkan persoalan tersebut.

Mana mungkin ada pasangan suami isteri yang tidak pernah bergaduh atau dalam bahasa lebih lembut, berselisih faham? Sedangkan Allah taa'la yang Maha Pengasih telah menghiasi manusia indah dalam kelasnya tersendiri serta unik berbanding makhluk-Nya yang lain.

Hatta kembar seiras sekalipun, meski hampir serupa penampilan luaran, pasti berbeza dalaman. Bak kata pepatah Melayu, rambut sama hitam, hati lain-lain.

Setiap individu [baca: manusia] diciptakan oleh Allah taa'la berbeza pemikirannya. Dan pemikiran ini pula lahir daripada penyatuan kompleks antara sistem-sistem dalam kehidupannya seperti didikan ibu bapa, pelajaran di sekolah, asuhan pengasuh, penanaman idea oleh media, visual persekitaran dll. Pemikiran yang terhasil setelah bertahun-tahun meniti jalan kedewasaan ini pula akan menghasilkan output yang disebut sebagai pendapat, pandangan, cita-cita dan persepsi.


Apabila dua orang individu lelaki dan perempuan berkahwin, pola pemikiran mereka akan berubah seiring perkembangan institusi keluarga mereka tetapi tetap mengekalkan pemikiran asal disebabkan ianya telah terbenam sekian lama dalam minda separa sedar. Maka disebabkan itulah tidak dapat tidak sekali-sekala konflik akan tercetus. Cuma yang membezakan antara satu pasangan dengan yang lain ialah intensiti pergaduhan tersebut, sama ada ia berpanjangan atau sekejap. Kadang-kala, sekecil-kecil perkara pun boleh menimbulkan perselisihan faham seperti hendak makan di mana dan mahu cat rumah warna apa.

Muka sahabat saya berubah. Barangkali input yang sedang diubah menjadi imej hologram oleh minda beliau sedikit exxaggerated.

Hakikat sebenarnya, ia tidaklah seteruk yang dibayang. Konflik, tidak seharusnya dipandang daripada sudut negatif sahaja. Ia bisa menjadi positif andai kita pandai menanganinya. Selalu dengar lagu "Sedangkan Lidah Lagi Tergigit" oleh Allahyarham P. Ramlee dan Saloma?

Buang yang keruh ambil yang jernih
Baru teguh peribadi

Suami isteri mesti berpakat
Rumah tangga mendapat berkat

Apa guna selisih faham
Kalau kini aman tenteram
Pohon ampun wahai kanda


Konflik biasanya boleh diselesaikan dengan mudah jika suami isteri pandai memainkan peranan masing-masing. Bila hendak berhenti, bahasa apa yang mesti dituturkan serta nada suara ketika berbincang - semua itu penting dalam memastikan tiang masjid terus utuh mencucuk langit. Tetapi jika dibiar berpanjangan, kemungkinan besar ia akan membawa kepada kesan yang lebih buruk seperti merajuk, dendam, keganasan rumah tangga, curang dan penceraian. Sayang sekali dalam sesetengah situasi, adakalanya pasangan suami isteri tersebut boleh sahaja untuk mencari butang penyelamat dalam konflik mereka, tetapi dalam sengaja mereka tidak mahu menekan butang tersebut lalu membawa kepada kesan buruk seperti yang ditulis di atas.

Kenapa? Kerana ego.

Sikap ego [baca: tidak mahu mengalah] sering menjadi alasan tipikal kenapa seorang suami memukul isteri dan kenapa seorang isteri meninggikan suara pada suami. Apabila kedua belah pihak saling menjulang ego sendiri, secara tidak langsung mereka gagal melihat solusi di depan mata lalu menyakiti perasaan pasangan masing-masing.

Contoh yang sangat cantik untuk dipadankan dengan isu ini ialah sebuah filem Iran yang saya tonton baru-baru ini - A Separation.

Ia kisah yang membawa kita melihat apakah kesan apabila pasangan suami isteri mengambil keputusan untuk bercerai setelah gagal mengalah pada pendapat salah seorang daripada mereka. Bear in mind bahawa mereka masih belum bercerai tetapi telah tinggal berasingan sementara menunggu pemohonan penjagaan anak diluluskan.

Setelah menontonnya buat kali kedua, saya memahami bahawa sebenarnya filem tersebut secara indirectly berniat menunjukkan bahawa keegoanlah yang menyebabkan bapa Nader hampir meninggal dunia, bayi dalam kandungan Razieh meninggal dunia, konflik Nader dan Simin semakin meruncing manakala Hodjat serta Nader sendiri hampir meringkuk di dalam penjara. Kendatipun penceraian adalah sesuatu yang sungguh menyakitkan serta memberi trauma berpanjangan, namun bukan penceraian yang menyebabkan semua kesinambungan masalah berlaku tetapi punca akarnya datang daripada keengganan Nader dan Simin untuk menurunkan ego masing-masing.

Simin di awal cerita memaparkan dirinya kepada penonton sebagai seorang isteri yang mempunyai niat murni tetapi enggan berfikir serasional mungkin. Apakah yang akan berlaku pada bapa mertuanya jika mereka sekeluarga berhijrah ke luar negara? Dimasukkan ke rumah orang tua? Nader pula terlalu angkuh untuk memujuk isteri sedangkan beliau sejujurnya tidak mahu berpisah. Simin yang terlalu kecewa akhirnya menjadi semakin kuat untuk meneruskan perpisahan tersebut. 

Kemudian di penghujung filem ini, pengarah menunjukkan kepada penonton siapakah yang paling terpalit kesedihannya berpunca daripada kemuncak ego suami isteri ini - Termeh, si anak.

Sekiranya mereka berdua duduk berbincang dan salah seorang mengalah, insyaAllah bayi tersebut selamat dilahirkan dan Termeh juga tidak perlu memilih untuk menjaga dan mengorbankan hati sesiapa.

Ego.

Jika kita membuang barang sedikit ego yang merajai hati, saya percaya kehidupan kita akan menginjak lebih positif. Bukan setiap konflik mesti diakhiri dengan memilih pemenang dan dalam kebanyakan masa, konflik tidak perlu pun pemenang. Siapa yang betul, siapa yang salah, ia tidak penting. Yang penting adalah bagaimana kita berinteraksi dengannya.

Jika isteri melihat suami sudah naik syeikh, tutuplah mulut. Jangan diteruskan kelancanganmu demi sebuah trofi maya. Jika suami melihat isterinya merajuk, gunakanlah kelembutanmu sebagai suami untuk mencuri hati isteri semula. Jangan dibiarkan pasangan merajuk bersendirian kerana syaitan ada di mana-mana untuk memecahbelahkan kita.

Jangan biarkan keegoan kita menghijab pandangan daripada kebaikan.


Jannah Najiha
20 September 2015 @ 2.18 petang

Friday, September 18, 2015

[Diari] 1 Year 9 Months 25 Days


Sumber: FB/HimpunanVideoIslamik


Sudah menjadi rutin harian bahawa setiap malam sebelum tidur, saya akan membelek seketika foto-foto keluarga kecil kami di laptop. Foto-foto tersebut pula disusun mengikut tarikh paling lama ke paling terkini. Melihatnya, seribu satu perasaan menerpa hati. Gembira, sedih, rindu, terharu dan takut.

Dahulu kami tidak ada telefon canggih mahupun kamera. Kedua-dua kami menggunakan Nokia jenis lama. Hanya seminggu sebelum pulang ke rumah sewa baharulah saya bertukar telefon, juga Nokia, tetapi bolehlah jika hendak menangkap gambar. Memori paling jauh yang disimpan di folder khas keluarga kecil kami dalam laptop ini ialah 25 November 2013. Ia gambar saya di hadapan air terjun di Restoran Jejantas Ayer Keroh. Ketika itu kandungan sudah mencecah 7 bulan.

Masa itu, kami berdua baharu sahaja melepasi satu fasa paling sedih dalam hidup. Tahun 2013 bukan tahun gembira kami. Banyak duka yang pernah meninggalkan parut teramat dalam. Maka, 25 November tersebut ialah hari kami ingin memulakan kehidupan baru, bertiga dan bahagia.

"Yayang duduk situlah, Abang nak ambil gambar kejap,"

"Jomlah kita ambil gambar sama-sama Abang," saya memujuk.

"Takpe, Abang nak Yayang ambil gambar dengan baby je."


Klik!



"Wah, cantiknya gambar ni," kata suami seraya menghulurkan telefon bimbit tersebut.

"Ish, gemuknya Yayang!" saya membalas lalu memalingkan pandangan - rendah diri dengan bentuk fizikal sendiri.

"Mana ada, Yayang cantiklah," balas suami.

Selepas bergambar, kami menikmati sarapan pagi di salah sebuah restoran di situ. Beliau seperti biasa dengan makanan baratnya manakala saya memilih Nasi Goreng sahaja.

Ketika makan, saya menjeling ke luar sekejap-sekejap. Melihat kenderaan meluncur laju di bawah tapak kaki lalu meninggalkan kami menuju ke arah yang tidak diketahui, hati merancu. Fikiran memberi bayangan masa depan yang tidak pasti. Ia menakutkan - untuk tidak mengetahui ke mana arah kehidupan selepas ini. Perjalanan kami masih jauh beribu batu, cukup berliku dan berbatu untuk ditelusuri. Kegundahan yang menangkap hati tidak dapat diselindung di balik senyuman, lalu suami bertanya.

"Kenapa?"

"Abang rasa kita boleh lakukannya?"

"InsyaAllah, kita boleh."

"Yayang takutlah."

"Takpe, Abang kan ada," ujar suami. Beliau menghabiskan sisa-sisa makanan di pinggan.


10.30 pagi, kami pulang ke kereta semua dan meneruskan perjalanan. Seperti yang dijangka, laluan untuk kami bertapak semula tidak begitu mudah. Kami mengalami 2 hari penuh peristiwa yang bakal diingat sepanjang hayat. Walaubagaimana pun, kami berjaya survived. Itu yang penting.

Dan kini, setelah 1 tahun 9 bulan dan 25 hari daripada hari itu, kami masih berdiri, juggling and sometimes struggling untuk kekal berdiri. Apa yang bakal berlaku di masa hadapan? Wallahua'lam. Tiada siapa tahu. Tugas kita hanya perlu terus ke hadapan, berusaha menjadi diri sendiri yang lebih baik daripada semalam dan memperbaiki taraf kehidupan keluarga.

Apa-apa pun, saya kini lebih banyak tersenyum berbanding dahulu. Alhamdulillah. :)




Jannah Najiha
18 September 2015 @ 5.06 petang
Negeri Sembilan




Sunday, September 13, 2015

[Diari] Terima Kasih Suamiku




La hau la wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azim.
Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita, pujuk Nabi kepada sahabat terbaiknya, Abu Bakar as-Siddiq,

Sesungguhnya, beruntunglah buat mereka yang memiliki sahabat terbaik, iaitu sahabat susah dan senang. Sahabat yang ikhlas menerima dan memberi, tidak mengumpat di belakang namun manis di depan. Sahabat yang tiada galang gantinya. 

Sahabat baikku sendiri banyak.Tetapi sahabat terbaik? Hanya seorang dan semoga beliaulah yang kekal menjadi pendamping terbaik saya hingga kami bertemu di syurga kelak.

Terima kasih suamiku kerana mengizinkan serta menghadiahkan sebatang lipstik berwarna merah jambu hari ini. Semalam ketika membeli-belah bersama rakan serumah, saya benar-benar jatuh cinta kepada warnanya dan kebetulan tinggal satu sahaja lagi. Walaupun hati memberontak untuk beli, tetapi saya tidak boleh melakukannya sebelum meminta kebenaran kepada suami. Lalu saya meletakkannya kembali ke kabinet asal.

Hari ini kami dating berdua. Saya mengajak beliau ke kedai semalam dan mencuba tester yang terdapat di situ. Alhamdulillah suami beri lampu hijau, namun sayang sekali, stok dah habis. Maka, suami membelikan lipstik yang hampir serupa dengannya. Alhamdulillah, cantik juga dan harga pun lebih murah. Terima kasih.

Dan terima kasih sekali lagi buat suami yang setia di sisiku saat jatuh bangunku. Perkahwinan kita hampir menginjak ke tahun ketiga dan sejujurnya saya ini terlalu jauh daripada perkataan 'sempurna.' Tetapi Allah taa'la tetap mengurniakan seorang suami yang penyayang dan ikhlas menerima diri ini seadanya. Serba kekurangan namun saling melengkapi.

Semester lalu menyaksikan saya berjaya lulus cemerlang dengan menjadi pelajar terbaik untuk batch ini. Sudah hampir sebulan selepas keputusan keluar dan saya masih belum keluar daripada fasa gembira. Manakan tidak, hampir dua tahun saya tidak menggenggam apa-apa anugerah akademik dan nikmatnya bila berjaya memperolehnya kali ini, Subhanallah, begitu mengujakan!

Dan tidak lain pastinya saya paling berterima kasih kepada suami (selain Allah) kerana beliau adalah teman yang cukup sabar menghadapi zaman kegelapan saya. Ditinggal dan dibenci sahabat, gagal dalam peperiksaan, postpartum depression dan pelbagai lagi dugaan lain yang sangat menguji kecekalannya sebagai suami dan sahabat. Tetapi beliau masih ada. Tidak sekali pun pernah beliau mengugut untuk meninggalkan saya, bahkan semakin kerap beliau memberikan kata-kata semangat. Saya sangat-sangat berharap kepada Allah taa'la agar memberikan kegembiraan serta cahaya dalam hidup suami saya di dunia serta akhirat. Semoga segala pengorbanannya akan dinilai baik di sisi-Nya.

Perjalanan kita masih jauh dan masih banyak lagi liku-liku yang mesti kita redahi. Tetapi sebelum ini pun kita sudah banyak kali jatuh tersungkur tetapi Allah yang Maha Penyayang telah mengangkat kita kembali. Jadi, saya percaya kita akan mampu bertahan di masa hadapan. Dengan agama,cinta, kepercayaan, kesabaran dan kasih-sayang, insyaAllah kita akan kekal bercinta hingga ke syurga.


Jannah Najiha
14 September 2015
Negeri Sembilan