Thursday, December 31, 2015

[Makanan] Chocolate Banana Muffin


Salah satu target pertama 2016 telah dilaksanakan dengan berjaya semalam apabila tuan blog ini membuat muffin pisang bercoklat atau nama inggerisnya, Chocolate Banana Muffin. Saya menulis tentangnya beberapa hari lalu dan malam semalam, kebetulan suami membelikan sesikat pisang. Kelaparan dan kemalasan, saya mengajak diri membakar muffin pisang. Resepinya sama seperti muffin coklat cuma perlu tukar bahan asas coklat kepada pisang lenyek sahaja. Sejujurnya, saya sangat berpuas hati dengan tekstur, rupa dan rasanya. Atasnya rangup manakala dalamnya lembut dan gebu. Coklat cip pula terserak di sekeliling muffin, bukan hanya di bawahnya. Meski begitu, teksturnya boleh diperbaiki lagi jika saya mengayak bahan kering beberapa kali dahulu.

Gambar hak milik blog ini




Sejujurnya saya tiada azam baru setiap tahun kerana sejak hampir 10 tahun lepas pun, azam saya masih sama kerana masih belum berjaya. Cuma tahun ini saya tukarkan namanya kepada target, agar ia nampak lebih objektif dan mudah untuk difokuskan strateginya. Target saya mungkin hampir sama dengan semua orang, tetapi pastinya ia lebih mencabar kerana tahun 2016 adalah tahun kegawatan buat Malaysia. 2015 menyaksikan pelbagai duka yang rakyat Malaysia lalui akibat kejahatan mereka yang duduk di tampuk pemerintahan sehingga semua perkara kelihatan seakan sangat mahal dan susah. Jadi, saya berharap agar kami sekeluarga dapat membina benteng pertahanan yang kukuh untuk menghadapi recession di Malaysia yang kelihatannya pasti lebih teruk berbanding kegawatan 1998 dahulu. Aamiiin.


p/s: Tahniah kepada adikku di atas pertunanganmu. Semoga perjalananmu menuju pernikahan dipermudahkan dan dipercepatkan. Semoga mendapat rumah tangga yang penuh sakinah, mawaddah dan rahmah. Kakak sayang kamu.


Jannah Najiha
1 Januari 2016
Negeri Sembilan


Wednesday, December 30, 2015

[Cerpen] Ibrah daripada Kisah Orang Lain



“Awak rasa jawapan itu sudah cukup melegakan saya?”
Dia terkedu.
“Awak rasa bila awak perlakukan saya begini, saya akan memaafkan apa yang terjadi?”
“Sayang..”
“Tidak!” Aku menepik sebelum sempat dia menutur lebih panjang. Beg tangan di belakang kuambil sebelum kerusi ditolak keluar. Aku berdiri mendepaninya, penuh amarah di dada. Dia masih berpeluk tubuh.
“Terima kasih,” akhiriku sebelum berlalu pergi.

Di luar hotel, aku menahan sebuah teksi yang kebetulan berhenti di tepi jalan. Tanpa disoal, aku menyebut Jalan Lebah sebagai destinasi. Pemandu berbangsa India itu hanya mengangguk dan menghidupkan enjin.
50 km/j. Aku merengus kecil. Itulah padahnya bila menumpang kereta bekas teman lelaki. Bila dah bergaduh kena pulang sendirian dengan teksi lagak seperti siput. Sudahlah penghawa dinginnya kurang berfungsi. Berkecak ketiakku.
Yenne Aaaaaa~
Tersentak sekejap bila pemandu tersebut tiba-tiba memutar radio. Bahasa Tamil pula tu, tak faham langsung. Pemalas betul aku ini. Orang India boleh sahaja berbahasa Melayu, tetapi aku yang Melayu ni tak boleh berbahasa Tamil.
“Adik kenapa masam? Gaduh sama bos ka?” tanya pemandu tersebut tiba-tiba. Dia cuba mengerling ke arahku melalui cermin hadapan.
“Hmm,” balasku perlahan. Malas nak beramah-mesra tika hati masih membahang, sebahang terik mentari hari ini.
“Tak mahu masam, nanti itu muka cepat tua,” dia cuba menasihat. Eh pak cik ni, sibuk pula dia. Malas nak melayan!
“Saya punya anak sama dengan you. Saya cakap dia tadak dengar. Bisinglah ini orang tua! Agaknya itu dia kata dalam hati,” ujarnya lagi sambil ketawa kecil.
“Selalu saja marah-marah. Tarak paham saya sama budak sekarang, apa masalah pun tak tau. Bila tanya tak mahu cerita. Gadjet sudah ada, kereta sudah bagi, belajar sampai universiti, kerja besar, apa lagi tarak cukup?”
Aku mengerling, terkena batang hidung sendirilah pula.
“Satu hari saya cakap sama dia,”you kenapa? You marah pasal kerja jangan bawa ini rumah. Ini rumah, you kena happy. Appa sama Amma tak salah, kenapa you mahu marah-marah kami?""
“You adik, bila senang, baca buku See You At The Top. Itu mendiang Zig Ziglar tulis. Dia cakap, kalau kita marah, jangan lepas pada orang. Nanti berjangkit pada orang lain juga. Dia marah sama Amma dia, Amma dia marah sama saya. Sebab dia kami suami isteri jadi gaduh. Rumah tarak happy punya.”
“Anak uncle kerja apa?” Aku cepat-cepat mencelah sebelum dia meneruskan ceramahnya. Berminat pula nak dengar. Dia tidak menjawab. Hanya selepas beliau membelok masuk ke simpang Delima yang super bahaya itu barulah beliau memberi jawapan.
“Doktor. Umur lebih kurang sama adik saja.”
 
“Ohhh..”
Beliau kembali fokus ke hadapan. Tiada tanda-tanda beliau hendak menyambung kisah. Aku harus ingatkannya.
“Apa jadi lepas uncle tegur tu?” Kucuba menyuntik perbualan.
“Oh, saya lupa. Tadi dekat mana?”
“Alah, yang uncle cakap uncle sama aunty selalu gaduh sebab anak uncle asyik marah tu.”
“Ha, lepas uncle tegur tu, dia tarak terima. Dia masuk bilik hentam pintu. Uncle dengar dia jerit, “you have no idea what I have been through today!” Kecik hati. Dia cakap serupa uncle orang tarak sekolah. Amma sudah nangis sampai pengsan."

Sekelipan mata, kereta sudah membelok ke taman perumahanku. Punyalah kusyuk kumendengar. Pemandu tersebut berhenti di lot nombor 10 lalu memandangku. Ini kali pertama aku melihat wajah penuh pemandu tersebut sejak 30 minit kami berdua-duaan di dalam teksi tadi.

"RM20 adik," katanya sejurus melihat meter di tengah. Aku teragak-agak hendak menghulurkan duit kerana hatiku memberontak mahuku beliau menghabiskan cerita. 

"Err uncle, kalau saya bayar lebih sikit bolehke uncle tunggu sekejap? Saya mahu dengar story uncle," tanyaku sedikit tersekat. Wajah pemandu tersebut berubah.

"Jangan ini macam adik. Jangan beli orang dengan duit. Saya kerja betul, saya tak suka orang hulur-hulur duit begitu. Orang sekarang selalu itu gula2 sama kita orang kampung dengan duit. Sebab itulah rasuah menjadi-jadi."

Ya Allah, terasa bagai disentap hati ini. Betullah kata beliau, mudah benar kita menggulakan seseorang dengan wang semata-mata untuk memenuhi keinginan kita. 

[Diari] Secubit Nikmat




Aku buat muffin coklat ni beberapa hari lepas. Entah ke berapa kali sudah aku buat. Selalunya muffin coklatlah sebab senang dan cepat disiapkan. 30 minit sahaja. Mungkin cuti ini nak cuba bakar banana muffin pula disebabkan anak aku dah pandai sebut bananananaaaa. Muffin kali ini tak berapa sedap berbanding sebelumnya. Agaknya sebab aku tak campur telur, mentega dan garam. Dan coklat masakan pula aku ganti dengan serbuk coklat. Saja cuba-cuba. Jadi mungkin di situlah kekurangannya tapi tak kisahlah. Eksperimen tak sentiasa menghasilkan keputusan yang kita mahu kan?


Hari ini pula aku masak carbonara spagetthi. Masak yang segera sahaja dah suami suka sangat jenama Prego tu. Seingatnya, aku kenal instant sos pasta ni sekitar beberapa tahun lepas sahaja, sekembalinya dari negara orang. Masa di sana tak pernah kenal pun sos segera. Semua masak sendiri daripada A-Z. Daripada tumis tomato sampai hancur, masuk bawang, puri tomato sampailah herba-herbanya. Tiba di Malaysia, semua orang buat Spagetthi Bolognese guna Prego. Mula-mula tak boleh masuk tapi sekarang dah okay. Cuma kadang-kala datang jugalah sedih aku sebab semua yang masuk perut adalah canned food. Haih laa, aku kena belajar memasak lagi ni dan bekerja lebih keras supaya boleh beri anak kami makanan seimbang dan sihat.

Malam ini suami ajak makan di luar. Kami memilih roti arab yang sedap depan masjid tu dan 10 cucuk satay. Alhamdulillah untuk rezeki-Nya. Aku ini sejak dah berkahwin murah pula rezeki (Allah datangkan melalui suamiku). Dahulu aku takut nak memesan makanan sebab jarang sangat makan di luar. Secret Recipe, McDonalds, Pizza Hut, ViVo hatta Nasi Ayam Gemas sekalipun aku tak pernah rasa. Sebab tak mampu. Bila masuk kedai makan berair cond  sikit pun dah rasa wow dan segan. Yelah pakaian compang camping kan. Tapi Allah taa'la naikkan sedikit darjat aku menjadi isteri dan mengurniakan secubit nikmat dunia yang aku tak rasa sebelumnya. 

Oleh itu, aku hendak berterima kasih kepada suamiku yang tidak kedekut mengeluarkan belanja untuk aku dan anak kami. Selagi ada kudrat dan kemampuan, beliau akan cuba menunaikan hajat keluarganya. Aku akui suamiku masih merangkak juga, jadi  aku berharap aku akan kurangkan sikap suka meminta-minta. Semasa ulang tahun perkahwinan kami pun aku tak marah bila beliau tak sambut. Tapi Alhamdulillah atas kehendaknya sendiri, beliau meraikan kami. Tahun pertama beliau belikan aku SK-II. Nak jimat punya pasal, setahun jugalah aku guna sebelum habis, hahaha. Tahun kedua pula beliau belanja aku makan di steak house. Tahun ketiga? Tak tahulah sebab nanti kami terpisah sekejap disebabkan tanggungjawab lahiriah yang lain. Hari lahir anak kami pun mungkin beliau tak dapat pulang. Tak mengapalah, terbanglah selagi boleh sebab beliau masih muda. Tuntut ilmu dan kerja sungguh-sungguh demi keluarga dan agama ini. InsyaAllah aku akan cuba redha bila terjadinya konflik sebegini. Bukan senang tapi bukan susah juga. Yang penting kita sebagai isteri mesti cuba memahami dan jangan asyik ikut kepala sendiri je. Hidup berumah tangga haruslah ada toleransi, kan? :)

Wednesday, December 23, 2015

[Diari] Memasaklah Juga

Tiga hari tinggal di rumah, cukuplah tu. Alhamdulillah. Walaupun tak berapa produktif, tetapi berjaya juga masak selama tiga hari tersebut. Ia satu pencapaian buat seorang Najiha, hahaha.

Hari pertama, masak Kari Ayam dan Sambal Terung.
Hari kedua, Ikan Keli Goreng Berlada dan Kobis Tumis Air.
Hari ketiga, Ayam Masak Merah dan ulam-ulaman.





Kata orang, eleh masak je pun, bukan susah mana. Memanglah masak,  tapi still, there is something to be proud of kan? Kalau masa cuti memanglah masak tapi ada juga hari-hari yang tak masak since ibu mertua saya pun rajin masak. Mak pula dah lama angkat bendera putih sebab tak ada orang kat rumah, jadi nak masak untuk siapa kan? So, balik KL ni ambil peluanglah masak sikit.

Saya akui saya tak pandai masak. Setiap kali pun mesti masak kari dan gulai kuning sebab itu je yang paling reti hahahah. Nak masak rendang tu memang taklah kan. Lauk berasaskan sup macam sup ayam dan tomyam boleh buat tapi tak minat sangatlah pulak. Lagipun tak berapa pandai. So kari ajelah kan.

***

Pagi ini saya menemani seorang sahabat menyelesaikan urusannya yang tertangguh. Dalam sejamlah juga. Masa pulang, baru saya perasan, dalam masa lima tahun kami bersahabat, kami sangat kurang ambil gambar bersama. Rasanya adalah dua kali kot! Hahahah. Nampak sangat sama-sama tak minat selfie. Tiga kali itu rasanya masa kami makan di Kenny Roger's Seremban dan melepak di Ulu Bendul. Tak sangka dah lima tahun kenal beliau, sedar tak sedar.

Semoga Allah taa'la melimpahkan kurniaan dan rahmat-Nya ke atas kamu wahai sahabat. Hiduplah dengan gembira bersama manusia-manusia yang baik dan teruslah tersenyum dalam kepahitan dunia...

Tuesday, December 22, 2015

[Diari] Hilang


Saya akui saya agak lancang menulis beberapa hari ini. Ya Allah, ampunilah saya. Sungguh saya takut pada-Mu.

Semua orang ada impian. Saya, walaupun semakin samar, namun masih menyimpan impian tersebut. Saya nak hafal 30 juzuk al-Quran. Bukan untuk berbangga pada sesiapa, tetapi untuk diri sendiri. Saya tahu saya tak banyak amal, tak banyak sahabat untuk mendoakan, jadi saya harap saya ada al-Quran sebagai teman di alam kubur nanti.

Tapi impian ni entah bila akan tercapai. Iman semakin menurun. Kadang-kala saya rasa macam tiada jalan keluar. Saya rasa macam susah sangat nak dapatkan cinta Allah.

Bukan sekali saya terfikir, sampai bila hendak begini? Sampai bila nak mengotorkan diri? 

Saya betul- betul nak jadi baik. Betul-betul.

Saturday, December 12, 2015

[Diari] Chef Jannah Ngehehe


Last night's chicken curry and sambal terung was a hit. Everyone loved it. So today I am going to try something else - Ikan Keli Goreng Cili Padi. I don't know yet what to cook for side dish though, but that's okay. I'll think of one later!


Sunday, November 29, 2015

[Diari] Shine Bright Like a Moon



Penatnya semalam. Selepas seharian menyiapkan projek kumpulan, petangnya cuci tandas pula selama lebih kurang 2 jam. Seterusnya cuci baju bertimbun, edit video pagi sebelumnya dan lepas tu baru makan. Lebih kurang pukul 1 pagi la siap semua. Tapi, penat-penat pun sebelum tidur sempat lagi melayan game kegemaran saya sekejap, heh. Alhamdulillah, kesihatan semakin pulih. Hidup ini bukan selalu di atas kan? Bila dipermudahkan urusan kesihatan tu, rasa gembira sangat. 

Nor bawa budu paling sedap dari Kelantan. Memang sedap sangat. Makan pula dengan jering dan daun selom, Alhamdulillah, nikmat dunia betul. 

Sayangnya saya pada keluarga kali ini bila mana semuanya makan pedas! Hahaha, seronok bila makan sama-sama sebab citarasa lebih kurang. Semua pun suka makan ulam. Nor dan saya suka minum Vico panas pagi-pagi. Naj dan saya, sama-sama suka berbual. Nursya, penyayang sangat. Naz dan saya, hahahaha, my partner in crime. Naz yang seorang lagi pula suka nasi goreng cili padi.

Kebetulan kami semua memiliki pangkal nama N, jadi 6N. :)

Semoga kalian semua berjaya di akhirat dan dunia. Amiin...Akak sayang kalian...

Thursday, November 26, 2015

[Diari] Anak

Ya Allah, nikmatnya makan kari kambing tengah hari tadi.
Tak perasan catering apa tapi sedap sampai teringat-ingat.
Kalau ada rezeki dan tak letih, malam ni nak sambung makan makanan yang ditapau tadi.
Lepas Zuhur hari ini ada pengisian agama dan jamuan makan sempena Maulud Nabi di tempat kerja ibu mertua.
Hanya saya dan anak yang turut serta.
Pengisinya ialah pensyarah UTM yang berasal dari Mesir.
Ala yang pandai kecek Kelate tu.
Alhamdulillah anak tak meragam.
Baik aje dengar kata Ummi supaya behave.
Balik sahaja rumah, barulah sibuk memanjat sana sini.
Sambil2 tu saya beri makan.
Tak daya nak dengar anak menangis aje bila kena duduk dalam kerusi dia.
Kesian ada, stress pun ada.
Tapi senanglah nak bagi makan kan.
Bila lepas camni, kena kejar pula.
Mana nak kawal pinggan, sudu, anak dan barang2 rumah yang bahaya.
Semalam anak pecahkan cawan.
Alhamdulillah tak luka.
Petang tadi tumpahkan air.
Mujur air masak.
Macam2lah anak.
Kelam kabut Ummi dibuatnya. Hahahaha
Lepas makan sambung main.
Dan2 tu je dia buang air besar.
Mandikan terus dengan air panas lepastu sua botol susu tertidur terus haa.
Hai senangnya hati jadi budak kecik.
Semua orang sayang.
Lepastu tak takut apa2.
Sebab tak tahu apa yang baik apa buruk.Hehehe
Penat nak tulis.
Sambung nantilah.
Asalamualaikum.

[Koreksi Diri] Aku Yang Terlupa

If you look at what you have in life, you’ll always have more. If you look at what you don’t have in life, you’ll never have enough. –Oprah Winfrey
Petang sebelum pulang, saya telah menjumpai beberapa album lama keluarga.
Alhamdulillah, setelah sekian lama mencari, rupanya ia ada dalam simpanan Emak.
Seusai ternampak, saya tidak membuang masa menyelongkarnya untuk satu tujuan.
Mendapatkan gambar ayah.
Ayah jarang bergambar tetapi selalu menjadi tukang gambar.
Yang banyaknya gambar sepupu sepapat masa kecil dahulu.
Mujur jumpa juga sekeping.
Jadilah kan daripada tiada langsung.
Ayah kelihatan segak berdiri bersebelahan Emak di hadapan kapal perang di bumi Melaka.
Mereka berpakaian sedondon warna hitam.
Ayah senyum sedikit menampakkan misai lebatnya manakala Emak masam sahaja.
Bukan kerana marah tetapi memanglah itulah resmi generasi terdahulu bila bergambar.
Muka garang aje.
Usia gambar tersebut ialah 11 tahun.
Ah, betapa pantasnya masa berlalu hingga rambut ayah yang dahulunya hitam kian memutih.
Masa yang tinggal untuk bersama semakin suntuk.
Apakah mampu saya buat mereka senyum di usia senja ini?
Masihkah ada harapan?

12 HOURS

I don't know what happened but my latest post who was supposed to be published yesterday is gone.
I am not going to rewrite it so I will just let it go.
Today I went to my previous campus for a seminar. What a beautiful campus. I am sorry I couldn't enjoy my short stay there few months back as I miss husband and daughter so much. So I chose the latter. Sometimes we have to sacrifice the thing that we love for another thing that we also love. We won't always get what we want right.
Thank you husband for helping me with the laundry today. I love you.

[Diari] Half of Me



I should be grateful to have such a wonderful husband. Such blessing from Allah taa'la, I don't deserve it, but still He gave it to me. 

Tonight, my husband read Surah Yassin with a bottle full of water in front of him. I didn't realize it at first since I was having my monthly menstrual cycle. Then all of a sudden he came up to me.

"What are you doing?" I asked when I saw him removing the bottle's label.

"I made a special drink for you and I want you to drink it."

"What is it? Milo eh?" I guessed. He just smiled and ignored me. A few minutes later then I realized it was air Yassin.

Thank you husband. This is the first time he did thing like that. He did sweet memorable things in the past but this is somehow very special to me because I am currently facing a very tough moment in my life. And this one, it calms me down. Tak sangka masih ada orang yang sayang kan. Heh.

Thursday, November 19, 2015

[Diari] Seperti Biasa, Luahan Perasaan

 

 Sumber: Google


Rindu dekat Allah.
Rindu hubungan cinta saya dan Dia yang mekar di seberang benua sana.
Rindu Kak As, rindu sahabat terbaik dunia akhiratku Zumie, rindu sahabat bersepuluh.

Saya terfikir, kalaulah saya tidak mufarakah dahulu, siapakah saya sekarang?

Nabi melarang berkalau-kalau...Tetapi ada ketikanya saya sedih juga, menangis juga. Menangis sendirian, di bucu katil, mengingat pada yang sudah tiada, pada yang telah berlalu.

Ya Allah, bagai direntap hati ini setiap malam. Sukarnya melupakan keputusan yang pernah diambil dahulu. Redhalah, tabahlah sayang. Cahaya menunggumu di hujung jalan. Yakinlah.

***

Hari ini saya ada temuduga. Tengah hari sebelumnya saya kecil hati sangat-sangat. Saya ini kecil hati tidak boleh beza dengan marah, dua-dua kelihatan sama. 

Kenapa ya? Mungkin saya tidak ditakdir bersahabat? Mungkin saya memang selayaknya bersendirian hingga hujung nyawa.

***

Malam masak biasa-biasa sahaja - Sausage Roll. Mengidam betul nak masak sendiri. Rasa nak masak Nasi Ayam dan Pajeri Nenas. Seminggu pulang hari itu, hanya 3 hari sahaja masak. 2 hari di rumah Emak, sehari di rumah Ibu. Saya ini memang tak rajin masak. Kata orang, masak tu sebab nak makan jelah, bukan sebab hobi atau praktis menjadi isteri solehah pun. Tapi entahlah, asyik rasa nak masak je sekarang. Rasa jelah, buatnya belum tentu heh. 

Semoga dipermudahkan urusan kebaikanku oleh Allah taa'la.

Ya Allah, kami cinta pada-Mu. Saya, suami dan anak kami cinta dan tunduk pada-Mu. Ampunkan kami Ya Allah...

Monday, October 12, 2015

[Diari] Remember, I Love You - Mom

Selalunya saya boleh bertahan. Tetapi entah kenapa, malam ini perasaannya begitu gila sekali – tidak tertanggung rasanya.

Dua bulan pertama selepas berpisah adalah waktu paling teruk. Bala tentera tekanan perasaan menyerang setiap ketika. Tiada belas, tiada sembunyi. Saban malam, Tuhan menjadi saksi air mata mencurah ke bumi, menangisi dugaan ini yang seakan tidak mampu ditempuhi.

Satu demi satu kesakitan menimpa sehingga jatuh terduduk kembali.

Bukan mudah untuk bangkit. Trauma – ia memakan masa untuk dipulihkan. Mujur ada sahabat di sisi. Biar berbeza langit dan bumi tapi saling berkompromi demi menuju destinasi abadi.

Anak. Maafkan Ummi. Maafkan Ummi wahai anak, kerana meninggalkanmu. Perlu sayang tahu bahawa Ummi juga sukar untuk menghadapi realiti ini.

Doakanlah Ummi berjaya menggapai cita-cita mereka, untuk menarik Ummi keluar dari kebinasaan. 

Doakan Ummi berjaya hingga ke akhirnya, agar pengorbanan kita bertiga ini berbaloi di sisi Tuhan.


Saturday, September 19, 2015

[Pendapat] Suami Isteri Wajib Bergaduh?



"Kak, betulkah pasangan suami isteri ni memang akan bergaduh?" tanya seorang sahabat beberapa hari lalu.

Saya membenarkan persoalan tersebut.

Mana mungkin ada pasangan suami isteri yang tidak pernah bergaduh atau dalam bahasa lebih lembut, berselisih faham? Sedangkan Allah taa'la yang Maha Pengasih telah menghiasi manusia indah dalam kelasnya tersendiri serta unik berbanding makhluk-Nya yang lain.

Hatta kembar seiras sekalipun, meski hampir serupa penampilan luaran, pasti berbeza dalaman. Bak kata pepatah Melayu, rambut sama hitam, hati lain-lain.

Setiap individu [baca: manusia] diciptakan oleh Allah taa'la berbeza pemikirannya. Dan pemikiran ini pula lahir daripada penyatuan kompleks antara sistem-sistem dalam kehidupannya seperti didikan ibu bapa, pelajaran di sekolah, asuhan pengasuh, penanaman idea oleh media, visual persekitaran dll. Pemikiran yang terhasil setelah bertahun-tahun meniti jalan kedewasaan ini pula akan menghasilkan output yang disebut sebagai pendapat, pandangan, cita-cita dan persepsi.


Apabila dua orang individu lelaki dan perempuan berkahwin, pola pemikiran mereka akan berubah seiring perkembangan institusi keluarga mereka tetapi tetap mengekalkan pemikiran asal disebabkan ianya telah terbenam sekian lama dalam minda separa sedar. Maka disebabkan itulah tidak dapat tidak sekali-sekala konflik akan tercetus. Cuma yang membezakan antara satu pasangan dengan yang lain ialah intensiti pergaduhan tersebut, sama ada ia berpanjangan atau sekejap. Kadang-kala, sekecil-kecil perkara pun boleh menimbulkan perselisihan faham seperti hendak makan di mana dan mahu cat rumah warna apa.

Muka sahabat saya berubah. Barangkali input yang sedang diubah menjadi imej hologram oleh minda beliau sedikit exxaggerated.

Hakikat sebenarnya, ia tidaklah seteruk yang dibayang. Konflik, tidak seharusnya dipandang daripada sudut negatif sahaja. Ia bisa menjadi positif andai kita pandai menanganinya. Selalu dengar lagu "Sedangkan Lidah Lagi Tergigit" oleh Allahyarham P. Ramlee dan Saloma?

Buang yang keruh ambil yang jernih
Baru teguh peribadi

Suami isteri mesti berpakat
Rumah tangga mendapat berkat

Apa guna selisih faham
Kalau kini aman tenteram
Pohon ampun wahai kanda


Konflik biasanya boleh diselesaikan dengan mudah jika suami isteri pandai memainkan peranan masing-masing. Bila hendak berhenti, bahasa apa yang mesti dituturkan serta nada suara ketika berbincang - semua itu penting dalam memastikan tiang masjid terus utuh mencucuk langit. Tetapi jika dibiar berpanjangan, kemungkinan besar ia akan membawa kepada kesan yang lebih buruk seperti merajuk, dendam, keganasan rumah tangga, curang dan penceraian. Sayang sekali dalam sesetengah situasi, adakalanya pasangan suami isteri tersebut boleh sahaja untuk mencari butang penyelamat dalam konflik mereka, tetapi dalam sengaja mereka tidak mahu menekan butang tersebut lalu membawa kepada kesan buruk seperti yang ditulis di atas.

Kenapa? Kerana ego.

Sikap ego [baca: tidak mahu mengalah] sering menjadi alasan tipikal kenapa seorang suami memukul isteri dan kenapa seorang isteri meninggikan suara pada suami. Apabila kedua belah pihak saling menjulang ego sendiri, secara tidak langsung mereka gagal melihat solusi di depan mata lalu menyakiti perasaan pasangan masing-masing.

Contoh yang sangat cantik untuk dipadankan dengan isu ini ialah sebuah filem Iran yang saya tonton baru-baru ini - A Separation.

Ia kisah yang membawa kita melihat apakah kesan apabila pasangan suami isteri mengambil keputusan untuk bercerai setelah gagal mengalah pada pendapat salah seorang daripada mereka. Bear in mind bahawa mereka masih belum bercerai tetapi telah tinggal berasingan sementara menunggu pemohonan penjagaan anak diluluskan.

Setelah menontonnya buat kali kedua, saya memahami bahawa sebenarnya filem tersebut secara indirectly berniat menunjukkan bahawa keegoanlah yang menyebabkan bapa Nader hampir meninggal dunia, bayi dalam kandungan Razieh meninggal dunia, konflik Nader dan Simin semakin meruncing manakala Hodjat serta Nader sendiri hampir meringkuk di dalam penjara. Kendatipun penceraian adalah sesuatu yang sungguh menyakitkan serta memberi trauma berpanjangan, namun bukan penceraian yang menyebabkan semua kesinambungan masalah berlaku tetapi punca akarnya datang daripada keengganan Nader dan Simin untuk menurunkan ego masing-masing.

Simin di awal cerita memaparkan dirinya kepada penonton sebagai seorang isteri yang mempunyai niat murni tetapi enggan berfikir serasional mungkin. Apakah yang akan berlaku pada bapa mertuanya jika mereka sekeluarga berhijrah ke luar negara? Dimasukkan ke rumah orang tua? Nader pula terlalu angkuh untuk memujuk isteri sedangkan beliau sejujurnya tidak mahu berpisah. Simin yang terlalu kecewa akhirnya menjadi semakin kuat untuk meneruskan perpisahan tersebut. 

Kemudian di penghujung filem ini, pengarah menunjukkan kepada penonton siapakah yang paling terpalit kesedihannya berpunca daripada kemuncak ego suami isteri ini - Termeh, si anak.

Sekiranya mereka berdua duduk berbincang dan salah seorang mengalah, insyaAllah bayi tersebut selamat dilahirkan dan Termeh juga tidak perlu memilih untuk menjaga dan mengorbankan hati sesiapa.

Ego.

Jika kita membuang barang sedikit ego yang merajai hati, saya percaya kehidupan kita akan menginjak lebih positif. Bukan setiap konflik mesti diakhiri dengan memilih pemenang dan dalam kebanyakan masa, konflik tidak perlu pun pemenang. Siapa yang betul, siapa yang salah, ia tidak penting. Yang penting adalah bagaimana kita berinteraksi dengannya.

Jika isteri melihat suami sudah naik syeikh, tutuplah mulut. Jangan diteruskan kelancanganmu demi sebuah trofi maya. Jika suami melihat isterinya merajuk, gunakanlah kelembutanmu sebagai suami untuk mencuri hati isteri semula. Jangan dibiarkan pasangan merajuk bersendirian kerana syaitan ada di mana-mana untuk memecahbelahkan kita.

Jangan biarkan keegoan kita menghijab pandangan daripada kebaikan.


Jannah Najiha
20 September 2015 @ 2.18 petang

Friday, September 18, 2015

[Diari] 1 Year 9 Months 25 Days


Sumber: FB/HimpunanVideoIslamik


Sudah menjadi rutin harian bahawa setiap malam sebelum tidur, saya akan membelek seketika foto-foto keluarga kecil kami di laptop. Foto-foto tersebut pula disusun mengikut tarikh paling lama ke paling terkini. Melihatnya, seribu satu perasaan menerpa hati. Gembira, sedih, rindu, terharu dan takut.

Dahulu kami tidak ada telefon canggih mahupun kamera. Kedua-dua kami menggunakan Nokia jenis lama. Hanya seminggu sebelum pulang ke rumah sewa baharulah saya bertukar telefon, juga Nokia, tetapi bolehlah jika hendak menangkap gambar. Memori paling jauh yang disimpan di folder khas keluarga kecil kami dalam laptop ini ialah 25 November 2013. Ia gambar saya di hadapan air terjun di Restoran Jejantas Ayer Keroh. Ketika itu kandungan sudah mencecah 7 bulan.

Masa itu, kami berdua baharu sahaja melepasi satu fasa paling sedih dalam hidup. Tahun 2013 bukan tahun gembira kami. Banyak duka yang pernah meninggalkan parut teramat dalam. Maka, 25 November tersebut ialah hari kami ingin memulakan kehidupan baru, bertiga dan bahagia.

"Yayang duduk situlah, Abang nak ambil gambar kejap,"

"Jomlah kita ambil gambar sama-sama Abang," saya memujuk.

"Takpe, Abang nak Yayang ambil gambar dengan baby je."


Klik!



"Wah, cantiknya gambar ni," kata suami seraya menghulurkan telefon bimbit tersebut.

"Ish, gemuknya Yayang!" saya membalas lalu memalingkan pandangan - rendah diri dengan bentuk fizikal sendiri.

"Mana ada, Yayang cantiklah," balas suami.

Selepas bergambar, kami menikmati sarapan pagi di salah sebuah restoran di situ. Beliau seperti biasa dengan makanan baratnya manakala saya memilih Nasi Goreng sahaja.

Ketika makan, saya menjeling ke luar sekejap-sekejap. Melihat kenderaan meluncur laju di bawah tapak kaki lalu meninggalkan kami menuju ke arah yang tidak diketahui, hati merancu. Fikiran memberi bayangan masa depan yang tidak pasti. Ia menakutkan - untuk tidak mengetahui ke mana arah kehidupan selepas ini. Perjalanan kami masih jauh beribu batu, cukup berliku dan berbatu untuk ditelusuri. Kegundahan yang menangkap hati tidak dapat diselindung di balik senyuman, lalu suami bertanya.

"Kenapa?"

"Abang rasa kita boleh lakukannya?"

"InsyaAllah, kita boleh."

"Yayang takutlah."

"Takpe, Abang kan ada," ujar suami. Beliau menghabiskan sisa-sisa makanan di pinggan.


10.30 pagi, kami pulang ke kereta semua dan meneruskan perjalanan. Seperti yang dijangka, laluan untuk kami bertapak semula tidak begitu mudah. Kami mengalami 2 hari penuh peristiwa yang bakal diingat sepanjang hayat. Walaubagaimana pun, kami berjaya survived. Itu yang penting.

Dan kini, setelah 1 tahun 9 bulan dan 25 hari daripada hari itu, kami masih berdiri, juggling and sometimes struggling untuk kekal berdiri. Apa yang bakal berlaku di masa hadapan? Wallahua'lam. Tiada siapa tahu. Tugas kita hanya perlu terus ke hadapan, berusaha menjadi diri sendiri yang lebih baik daripada semalam dan memperbaiki taraf kehidupan keluarga.

Apa-apa pun, saya kini lebih banyak tersenyum berbanding dahulu. Alhamdulillah. :)




Jannah Najiha
18 September 2015 @ 5.06 petang
Negeri Sembilan




Sunday, September 13, 2015

[Diari] Terima Kasih Suamiku




La hau la wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azim.
Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita, pujuk Nabi kepada sahabat terbaiknya, Abu Bakar as-Siddiq,

Sesungguhnya, beruntunglah buat mereka yang memiliki sahabat terbaik, iaitu sahabat susah dan senang. Sahabat yang ikhlas menerima dan memberi, tidak mengumpat di belakang namun manis di depan. Sahabat yang tiada galang gantinya. 

Sahabat baikku sendiri banyak.Tetapi sahabat terbaik? Hanya seorang dan semoga beliaulah yang kekal menjadi pendamping terbaik saya hingga kami bertemu di syurga kelak.

Terima kasih suamiku kerana mengizinkan serta menghadiahkan sebatang lipstik berwarna merah jambu hari ini. Semalam ketika membeli-belah bersama rakan serumah, saya benar-benar jatuh cinta kepada warnanya dan kebetulan tinggal satu sahaja lagi. Walaupun hati memberontak untuk beli, tetapi saya tidak boleh melakukannya sebelum meminta kebenaran kepada suami. Lalu saya meletakkannya kembali ke kabinet asal.

Hari ini kami dating berdua. Saya mengajak beliau ke kedai semalam dan mencuba tester yang terdapat di situ. Alhamdulillah suami beri lampu hijau, namun sayang sekali, stok dah habis. Maka, suami membelikan lipstik yang hampir serupa dengannya. Alhamdulillah, cantik juga dan harga pun lebih murah. Terima kasih.

Dan terima kasih sekali lagi buat suami yang setia di sisiku saat jatuh bangunku. Perkahwinan kita hampir menginjak ke tahun ketiga dan sejujurnya saya ini terlalu jauh daripada perkataan 'sempurna.' Tetapi Allah taa'la tetap mengurniakan seorang suami yang penyayang dan ikhlas menerima diri ini seadanya. Serba kekurangan namun saling melengkapi.

Semester lalu menyaksikan saya berjaya lulus cemerlang dengan menjadi pelajar terbaik untuk batch ini. Sudah hampir sebulan selepas keputusan keluar dan saya masih belum keluar daripada fasa gembira. Manakan tidak, hampir dua tahun saya tidak menggenggam apa-apa anugerah akademik dan nikmatnya bila berjaya memperolehnya kali ini, Subhanallah, begitu mengujakan!

Dan tidak lain pastinya saya paling berterima kasih kepada suami (selain Allah) kerana beliau adalah teman yang cukup sabar menghadapi zaman kegelapan saya. Ditinggal dan dibenci sahabat, gagal dalam peperiksaan, postpartum depression dan pelbagai lagi dugaan lain yang sangat menguji kecekalannya sebagai suami dan sahabat. Tetapi beliau masih ada. Tidak sekali pun pernah beliau mengugut untuk meninggalkan saya, bahkan semakin kerap beliau memberikan kata-kata semangat. Saya sangat-sangat berharap kepada Allah taa'la agar memberikan kegembiraan serta cahaya dalam hidup suami saya di dunia serta akhirat. Semoga segala pengorbanannya akan dinilai baik di sisi-Nya.

Perjalanan kita masih jauh dan masih banyak lagi liku-liku yang mesti kita redahi. Tetapi sebelum ini pun kita sudah banyak kali jatuh tersungkur tetapi Allah yang Maha Penyayang telah mengangkat kita kembali. Jadi, saya percaya kita akan mampu bertahan di masa hadapan. Dengan agama,cinta, kepercayaan, kesabaran dan kasih-sayang, insyaAllah kita akan kekal bercinta hingga ke syurga.


Jannah Najiha
14 September 2015
Negeri Sembilan

Sunday, August 16, 2015

Wednesday, July 29, 2015

[Diari] I Have Many Things In My Mind

The other day, my husband's uncle and aunt paid a visit. Unfortunately MIL wasn't at home so I became the one who had to cook lunch. I made simple dishes - Gulai Ayam Salai, Kubis Tumis and Telur Dadar. It wasn't my best dish but it worth a try.

I am now more open to criticism than last year. And I become more confident in serving food for people other than my family members. I guess all these years watching Masterchef countless time has certainly paid off. Wahahaha perasan. :p

Although I cook quite often now, however I know my skills are not up to standard. So I will try to improve from time to time. Today pun masak Asam Pedas Ikan Tongkol tak jadi like my Opah (pure Malacca) buat. Pftt. Wish me more luck next time okay. See ya and selamat hari raya!

Monday, July 13, 2015

[Diari] Sehari Pun Cukuplah



Final sudah berakhir kelmarin. So far so good Alhamdulillah. Moga-moga keputusanku 4.0 untuk semua subjek. Aamiiin.

Semalam pertama kali berbuka puasa di rumah bersama Emak dan lain-lain kecuali Alib sebab dia balik kerja lambat. Sedih jugakla tak cukup korum memanjang. Abang pun belum tentu boleh balik raya ni. Jauh di perantauan la katakan.

Bila dah balik rumah ni macam biasalah, melantak tak ingat mati. Saya masak Gulai Itik Salai yang sangat-sangat sedap weh. Lama tak makan, mengidam. Selain tu saya masak Taugeh Goreng Kicap dan Cucur Cempedak tanpa biji. Buah cempedak tu kami beli di kedai sebelah Petronas kat Paroi. Bolehlah tahan manisnya. Ayah pula masak Bubur Derian dan Kacang Ijau (atau mungkin baki kelmarin) manakala yang lain beli Lomang dan Rendang Daging.

Raya tahun ni di rumah saya insyaAllah. Kalau ikutkan tradisi, kami tak masak Lodeh, Ketupat, Ayam masak merah dan Kari Daging tapi husband suruh masak. Hmm tengoklah, mungkin kami boleh terus bawa dari rumah mertua sebab balik rumah mak pun malam raya kan. Mestilah Ibu dah masak.

Hari ni patutnya balik rumah mertua tapi...aduhai sedihnya nak tinggalkan rumah. Nak-nak pulak ternampak nenas atas meja, tiba-tiba fikir nak masak Pajeri Nenas atau campur dalam Gulai Ikan Masin berbuka ni. Makan pulak dengan sambal belacan dan nasi panas, pergh sedapnya Ya Allah. Meleleh salivaku pagi-pagi ni. 

Monday, June 15, 2015

[Diari] Hajat Seorang Hamba






Alhamdulillah laporan Kshoppe dah dihantar dan pembentangan Programming pun dah selesai. Dapat 14.5/20 sahaja. Ada coding yang tertinggal dan algorithm pun banyak juga salah. 

Tetapi...

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya hasil itu atas usaha kami sendiri [baca: dengan izin Allah taa'la yang maha mengasihani]. Dua minggu juga kami perah otak untuk selesaikannya. Almaklumlah, baru-baru belajar, tidaklah pakar dalam bidang ini. Alhamdulillah pada malam terakhir kami berjaya juga run programnya. Punyalah lega. Namun, tidak semua kumpulan berjaya. Saya percaya kesemua kami mencuba sesungguh-sungguhnya untuk melaksanakan tugasan ini, namun masih ada yang gagal. Sebab itu mereka terpaksa ambil jalan terakhir, yakni meniru di internet bulat-bulat. Bukan sengaja, tapi terpaksa. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Minggu ini minggu ke 14. Minggu depan minggu peperiksaan bermula. Bulan puasa juga bakal tiba. Saya agak takut menanti ketibaan Ramadhan kali ini kerana dosa-dosa yang menggunung tinggi. Sesungguhnya Allah itu Maha Baik, masih melindungi aib-aib saya. Ya Allah, di usia hampir 30 tahun ini tiada apa yang saya harapkan selain untuk meninggal dunia dalam husnul khatimah dan sebelumnya, dapat menunaikan amanah sebagai seorang isteri, ibu, anak dan hamba dengan penuh jaya. 

Pengalaman pahit dan segala kejahatan saya sebelum ini ingin saya tinggalkan di belakang. Tutup buku rapat-rapat dan positif menuju ke hadapan. Jika ada manusia yang masih belum move on dengan saya, maka itu adalah pilihan mereka atas kewarasan akal fikiran. Saya cuba melakukan sedaya-upaya untuk menjadi diri sendiri tetapi dalam lebih baik berbanding dahulu. Segala kejahatan yang manusia lakukan, semoga saya berlembut hati untuk memaafkan serta melupakannya, kerana di hadapan Allah taa'la nanti, saya tidak mahu membuang masa mengadu itu ini. Saya ingin cepat-cepat masuk syurga. Bukan sendiri, tetapi juga bersama-sama dengan manusia-manusia yang tidak saya sukai. Penghujung kehidupan kita ini, tidak bermakna lagi segala dendam di hati, ia tidak membantu sedikitpun untuk menaikkan pahala, malah semakin menghitamkan hati. 

Ya Allah, berilah saya kekuatan untuk kembali kepada-Mu dan menunaikan segala amanah yang sangat berat ini.




p/s: Rindu Alisha sangat-sangat...

Wednesday, June 3, 2015

[Diari] Give and Receive





I am currently listening to Amin Idris talk I recorded last week. I remember, at the end of the session, he showed us a powerful commercial that touched hundreds of hearts at the lecture theathre including me. But I didn't cry. A male staff sitting in front of me cried almost silently. The video sent a powerful message indeed. It emphasized on giving because what you give you will get back. If you give your love, you will receive love in return.

I received Whatsapp messages from one of my lecturer today regarding Rejab month and never once in my life a lecturer sent advice/forwarded message to me, a student. And thinking about give & receive, I don't know if I had to send an advice message too in return? Like what is the most appropriate thing I should do? You see, most lecturers I met will never low their standards to become equal to students. Which mean, however close they are with their students, they will never let those treat them like friends. We must strictly make our relationship professional. But it is not wrong, it is called respect. And to those who let their students treat them like kawan2 aje, it is not wrong either. It is a matter of choice. But I prefer the latter.

And this one lecturer - the one who sent me messages, is not only friendly, but also patient, dedicated, motivated and special. That is why I want to keep my manner good and not rude.

[Diari] Perasan Bagus




Minggu lepas ketika menziarahi Emak di 'kampung', aku mengalami pengalaman baru sepanjang lebih 20++ tahun hidup di dunia.

Pertama kalinya aku terpaksa menolak kereta pacuan empat roda di bawah matahari terik, di tengah kesibukan kota dan sejauh hampir 3 km! Tidak sedikit mata yang memandang sinis, bahkan ada juga yang hon walaupun mereka nampak jelas kami sedang menolak kereta. Tidak kurang beberapa pak cik yang ringan tulang untuk menolong.

Sejam jugalah aku dan dua adikku bergilir-gilir menolak. Kalau jalan rata bolehlah tahan lagi. Tapi bila jumpa bukit itu yang payah sangat. Berat sungguh keretanya. Alhamdulillah kami berjaya sampai di stesen minyak Petronas. Kereta itu bukan rosak, cuma kehabisan minyak sahaja dek kesilapan adikku yang menjangka bahawa minyak tersebut cukup untuk perjalanan pergi dan pulang kami.

Apa lagi, seusai isi minyak, kami bertiga terus mengeteh sebentar di restoran berhampiran untuk ambil kesejukan air-cond. Punyalah lambat servisnya, Ya Allah, aku hampir bersumpah tidak mahu datang ke restoran ini lagi. Sudahlah pelanggan ramai, sambil lewa sahaja bekerja sedang duit gaji yang dapat nanti hendak dimakan jadi darah daging. Tak malu sungguh mencuri tulang dan membiarkan pelanggan penat menunggu. Kasihan pada mereka terutamanya yang datang bersama anak kecil. Hendak makan dengan budak-budak bukan senang. Paling lama pun 30 minit, sebelum mereka mula meragam. Sabar sahajala melihat staff-staff tersebut yang tiada timbangrasa.

Sampai sahaja di rumah, jam hampir menunjukkan pukul 3 petang. Aku dan adik bongsuku bergegas pula bersiap untuk ke Melaka bagi mengambil anak saudaraku yang sedang bercuti seminggu. Emak dan ayah ikut bersama manakala suami tinggal sendiri. Hendak berehat, katanya.

Setelah mengambil anak saudaraku, kami singgah sebentar di majlis pertunangan dua pupuku dan pulang selepas maghrib.

Dalam kekalutan aku mengejar waktu, sempat aku berbual dengan Nek Bibah, jiran beberapa blok. Lama tak nampak beliau, makin uzur nampaknya, berdasarkan uban yang telah menutupi keseluruhan rambut beliau. Waktu disapa dari kejauhan, aku agak teragak-agak hendak mendekati, terkenangkan mulut cabulnya yang sering menyakiti jiran-jiran dahulu. Tapi mengingatkan bahawa sudah beberapa tahun kami tidak berjumpa dan mengenangkan usia tua beliau, aku bersangka baik yang mulutnya tidak seaktif dahulu.

"Engkau bila balik Najiha?"

"Baru semalam Nek," aku membalas sambil tersenyum.

"Iya? Laki kau mana? Bukan kau dah kahwin ke? Kau dah beranak belum?" tanyanya persis wartawan.

"Ada, ada kat rumah tu. Ni nak balik jumpa dialah ni."

"Oh, kau dah beranak ke belum?"

"Dah, dah Nek. Dah setahun pun," aku makin tidak selesa.

"Iya, lepastu anak kau mana? Laki kau pandai ke jaga anak tu? Dia tak menyusu tetek ke?"

"Ok aje dengan ayahnya Nek. Biasalah tu. Hmm, saya nak cepat ni Nek. Saya pergi dulu ya?"

"Ah yelah yelah. Nanti kirim salam kat laki kau tu."


Sangkaanku meleset. Mulutnya masih sama seperti dahulu.

Percakapan Nek Bibah membuatkan aku teringat pada ucapan seorang nenek lain beberapa minggu sebelum itu.



"Oh, habis tu balik tiap-tiap minggu la ya ni?"

"Eh tak juga. Kalau ada rezeki baliklah. Kan harga minyak tinggi sekarang."

"Eh tak balik?"

Nenek tersebut memalingkan wajah ke arah geng-gengnya sebelum mencerita perihal kainku kepada mereka sambil tergelak-gelak persis mak cik-mak cik mesyuarat tingkap.

"Kita ni yang balik tiap-tiap minggu pun rindu, dia boleh tak balik ya?" katanya lebih kurang begitu.

Yelah nenek, teruskanlah mengeji dan mengumpat saya. Tak pastilah apa salah saya sampaikan setiap kali ada kesempatan berbual, ada sahaja awak nak menyakitkan hati. Bukan awak keluarga baik-baik ke? Tapi kenapa perangai suka sangat jaja cerita orang?

Jangan sampai Allah uji anak nenek begitu pula nanti ya. Ingat, manusia tak selalu di atas.


Monday, May 18, 2015

[Pendapat] Nasi Arab Mandy (Ayam)


Semalam saya memandu buat pertama kalinya dari KP - S - KP. Alhamdulillah, setelah sebulan kena marah kiri kanan, akhirnya suami benarkan saya memikul tanggungjawab baru. Bukan senang nak belajar kereta dengan suami  sendiri. Bila kena marah, rasa sedihnya lain macam. Jauh berkali ganda lebih sedih daripada dimarahi pengajar berlesen. Tetapi kerana inginkan ilmu dan kepandaian, maka tahan sahajalah telinga bila dimarah bagai tiada keampunan lagi buatmu. Heh. Mesti orang pelik kenapa saya tak mahir memandu lagi di usia ini. Ya, saya pemandu amatur. Lesen dah ada tapi baru sekarang hendak bawa kereta. Kenapa sekarang, bukan dari dulu? 

Jawabnya, sebab sekarang ada kereta. Dahulu tak ada kenderaan, tak nampak keperluan ilmu ini. Dan kini, setelah suami sering mengadu keletihan akibat terlalu kerap berulang-alik utara selatan setiap bulan, naluri mendorong saya untuk keluar dari kepompong jahiliyah. Dan naluri itu bertambah kuat apabila baru-baru ini suami ditimpa musibah dan saya tidak dapat melakukan apa-apa [membeli makanan dan menghantarnya ke klinik] disebabkan kekurangan diri. Oleh itu, tidak dapat tidak saya mesti mahir dalam bidang ini.

Bercakap mengenai perjalanan semalam, sebenarnya sudah lama kami tidak ke S. Namun bila seorang sahabat kerap mengesyor saya untuk makan di sebuah restoran di sana, saya lalu mengajak suami semalam. Kebetulan, kami agak lapang sekarang. Dan suami seperti biasa, jika ada kelapangan masa, tenaga dan bajet, beliau tidak lokek untuk menggembirakan isterinya.

Ketika dalam perjalanan ke sana, saya mengalami sebuah peristiwa yang agak aneh. Ketika itu suami sedang tidur, jadi beliau tidak nampak. Tapi saya tidak akan tulis mengenainya. Buat masa ini, biarlah dahulu. Fokus artikel ini ialah pada makanan.

Kami ke sebuah restoran bertemakan masakan laut dan tomyam. Namanya D TomYam. Ia terletak di tepi jalan, berhadapan dengan Tesco. Setibanya di sana, saya terpandang bunting promosi Nasi Mandy dan Khabsah pula. Ah, makanan kegemaran saya ada di sini! Apa lagi, terus saya ajak suami ke Restoran Nasi Arab sebelah BurgerByte. Malangnya dah tutup. Jadi, kami ke sini semula untuk mencuba Nasi Arab versi D TomYam. 

Semasa kami sampai, hanya ada 3 buah meja yang diduduki pelanggan. Mungkin kerana dah lewat, fikir saya. Lalu kami mengambil tempat di dalam restoran. Mejanya besar dan tinggi, saya suka. Pengudaraan juga bagus. 

Selepas berfikir-fikir, saya membuat keputusan untuk memesan Nasi Mandy Ayam, Pulut Mangga dan Syai panas manakala suami hanya makan Sotong Celup Tepung dan Milo Ais sahaja. Nampak tak sekarang kenapa saya semakin bulat dan suami semakin kurus? Beliau makan seciput sahaja berbanding saya ini. Manalah tak kurus. Hahaha.



Image result for Nasi Ayam mandy
Gambar hiasan sahaja. Tiada kaitan dengan artikel asal. Gambar diambil di SINI
Gambar hiasan sahaja. Sumber di SINI



10 minit kemudian makanan kami tiba.

Sejujurnya, mungkin ini kali terakhir kami di sini. Sayang, makanan yang dihidangkan tidak menepati selera kami. Nasi berianinya berkerak dan tersangat keras, seperti sudah dipanaskan 3-4 kali manakala ayamnya pula berbau, seolah-olah ia telah dinyahbeku dalam suhu bilik pada jangka masa yang lama. Pulutnya pun sama. Sedap, tapi nasinya keras. Bahkan, ada yang masih terasa berasnya. Jika kita makan nasi pulut, apa yang kita jangka? Lembut dan melekit bukan? Saya juga jangka begitu namun hidangan yang saya rasa sebaliknya pula dan amat mengecewakan. Memang jauh berbeza dengan kualiti Nasi Arab sebelah BurgerByte. Sayang seribu kali sayang...

Tapi tak mengapalah, lain kali kami singgah di tempat lain pula. Untuk tidak mengganggu periuk nasi mereka, saya singkatkan nama restoran tersebut. Tapi kalau ada staf mereka yang terbaca, janganlah cepat melenting. Anggap ini sebagai suatu kritikan membina untuk memperbaiki mutu hidangan mereka di masa akan datang.Okay?

Dan kami pulang setengah jam kemudiannya. Alhamdulillah perjalanan pulang kami lancar tanpa apa-apa musibah.