Aku buat muffin coklat ni beberapa hari lepas. Entah ke berapa kali sudah aku buat. Selalunya muffin coklatlah sebab senang dan cepat disiapkan. 30 minit sahaja. Mungkin cuti ini nak cuba bakar banana muffin pula disebabkan anak aku dah pandai sebut bananananaaaa. Muffin kali ini tak berapa sedap berbanding sebelumnya. Agaknya sebab aku tak campur telur, mentega dan garam. Dan coklat masakan pula aku ganti dengan serbuk coklat. Saja cuba-cuba. Jadi mungkin di situlah kekurangannya tapi tak kisahlah. Eksperimen tak sentiasa menghasilkan keputusan yang kita mahu kan?
Hari ini pula aku masak carbonara spagetthi. Masak yang segera sahaja dah suami suka sangat jenama Prego tu. Seingatnya, aku kenal instant sos pasta ni sekitar beberapa tahun lepas sahaja, sekembalinya dari negara orang. Masa di sana tak pernah kenal pun sos segera. Semua masak sendiri daripada A-Z. Daripada tumis tomato sampai hancur, masuk bawang, puri tomato sampailah herba-herbanya. Tiba di Malaysia, semua orang buat Spagetthi Bolognese guna Prego. Mula-mula tak boleh masuk tapi sekarang dah okay. Cuma kadang-kala datang jugalah sedih aku sebab semua yang masuk perut adalah canned food. Haih laa, aku kena belajar memasak lagi ni dan bekerja lebih keras supaya boleh beri anak kami makanan seimbang dan sihat.
Malam ini suami ajak makan di luar. Kami memilih roti arab yang sedap depan masjid tu dan 10 cucuk satay. Alhamdulillah untuk rezeki-Nya. Aku ini sejak dah berkahwin murah pula rezeki (Allah datangkan melalui suamiku). Dahulu aku takut nak memesan makanan sebab jarang sangat makan di luar. Secret Recipe, McDonalds, Pizza Hut, ViVo hatta Nasi Ayam Gemas sekalipun aku tak pernah rasa. Sebab tak mampu. Bila masuk kedai makan berair cond sikit pun dah rasa wow dan segan. Yelah pakaian compang camping kan. Tapi Allah taa'la naikkan sedikit darjat aku menjadi isteri dan mengurniakan secubit nikmat dunia yang aku tak rasa sebelumnya.
Oleh itu, aku hendak berterima kasih kepada suamiku yang tidak kedekut mengeluarkan belanja untuk aku dan anak kami. Selagi ada kudrat dan kemampuan, beliau akan cuba menunaikan hajat keluarganya. Aku akui suamiku masih merangkak juga, jadi aku berharap aku akan kurangkan sikap suka meminta-minta. Semasa ulang tahun perkahwinan kami pun aku tak marah bila beliau tak sambut. Tapi Alhamdulillah atas kehendaknya sendiri, beliau meraikan kami. Tahun pertama beliau belikan aku SK-II. Nak jimat punya pasal, setahun jugalah aku guna sebelum habis, hahaha. Tahun kedua pula beliau belanja aku makan di steak house. Tahun ketiga? Tak tahulah sebab nanti kami terpisah sekejap disebabkan tanggungjawab lahiriah yang lain. Hari lahir anak kami pun mungkin beliau tak dapat pulang. Tak mengapalah, terbanglah selagi boleh sebab beliau masih muda. Tuntut ilmu dan kerja sungguh-sungguh demi keluarga dan agama ini. InsyaAllah aku akan cuba redha bila terjadinya konflik sebegini. Bukan senang tapi bukan susah juga. Yang penting kita sebagai isteri mesti cuba memahami dan jangan asyik ikut kepala sendiri je. Hidup berumah tangga haruslah ada toleransi, kan? :)

No comments:
Post a Comment