Alhamdulillah laporan Kshoppe dah dihantar dan pembentangan Programming pun dah selesai. Dapat 14.5/20 sahaja. Ada coding yang tertinggal dan algorithm pun banyak juga salah.
Tetapi...
Alhamdulillah, sekurang-kurangnya hasil itu atas usaha kami sendiri [baca: dengan izin Allah taa'la yang maha mengasihani]. Dua minggu juga kami perah otak untuk selesaikannya. Almaklumlah, baru-baru belajar, tidaklah pakar dalam bidang ini. Alhamdulillah pada malam terakhir kami berjaya juga run programnya. Punyalah lega. Namun, tidak semua kumpulan berjaya. Saya percaya kesemua kami mencuba sesungguh-sungguhnya untuk melaksanakan tugasan ini, namun masih ada yang gagal. Sebab itu mereka terpaksa ambil jalan terakhir, yakni meniru di internet bulat-bulat. Bukan sengaja, tapi terpaksa. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Minggu ini minggu ke 14. Minggu depan minggu peperiksaan bermula. Bulan puasa juga bakal tiba. Saya agak takut menanti ketibaan Ramadhan kali ini kerana dosa-dosa yang menggunung tinggi. Sesungguhnya Allah itu Maha Baik, masih melindungi aib-aib saya. Ya Allah, di usia hampir 30 tahun ini tiada apa yang saya harapkan selain untuk meninggal dunia dalam husnul khatimah dan sebelumnya, dapat menunaikan amanah sebagai seorang isteri, ibu, anak dan hamba dengan penuh jaya.
Pengalaman pahit dan segala kejahatan saya sebelum ini ingin saya tinggalkan di belakang. Tutup buku rapat-rapat dan positif menuju ke hadapan. Jika ada manusia yang masih belum move on dengan saya, maka itu adalah pilihan mereka atas kewarasan akal fikiran. Saya cuba melakukan sedaya-upaya untuk menjadi diri sendiri tetapi dalam lebih baik berbanding dahulu. Segala kejahatan yang manusia lakukan, semoga saya berlembut hati untuk memaafkan serta melupakannya, kerana di hadapan Allah taa'la nanti, saya tidak mahu membuang masa mengadu itu ini. Saya ingin cepat-cepat masuk syurga. Bukan sendiri, tetapi juga bersama-sama dengan manusia-manusia yang tidak saya sukai. Penghujung kehidupan kita ini, tidak bermakna lagi segala dendam di hati, ia tidak membantu sedikitpun untuk menaikkan pahala, malah semakin menghitamkan hati.
Ya Allah, berilah saya kekuatan untuk kembali kepada-Mu dan menunaikan segala amanah yang sangat berat ini.
p/s: Rindu Alisha sangat-sangat...


