Wednesday, October 30, 2019

Aib

Petang tadi sambil menyusukan Safiyyah II, saya menonton rancangan A Conversation with SHY iaitu Sheikh Hussein Yee.

Asalnya saya hanya main tukar-tukar siaran sementara menanti lagu hindustan cerita Main Hoon Na habis. Tapi bila tengok ada SHY, mata saya terus tertancap di skrin. Beliau pendakwah kegemaran saya. Lembut, beradab dan berilmu.

Tajuk harini entahlah apa tapi kebanyakan soalan Michael Ang adalah berdasarkan topik ILMU. 

Antara yang SHY sebutkan ialah ilmu ada dua jenis iaitu ilmu bermanfaat (berfaedah) dan ilmu tidak bermanfaat. Dan beliau juga tekankan untuk kita belajar apa yang kita mahu, berdasarkan kemampuan kita dan kesungguhan kita, bukan ikut-ikutan pendapat orang lain.

Tapi yang paling saya terkesan ialah beliau ada menyebut,

"Semua orang ada aib. Tapi kalau kita tutup aib orang di dunia, maka Allah akan tutup aib kita di dunia dan akhirat."

Hmm. Walaupun saya bukanlah jenis pendendam, tapi hati saya cukup sensitif bila ada orang sebarkan aib saya. Memang susah saya nak maafkan penyebar aib. Tapi saya sedar, jika kita memaafkan orang lebih baik. Kita akan lebih tenang dan orang itu juga akan terlepas daripada hukuman Allah taala. Tapi entahlah. Mungkin hati saya belum bersih lagi. Semoga Allah taala jadikan saya seorang manusia pemaaf.

Tuesday, October 29, 2019

Tenang

Apa yang paling penting di dunia ini?

Wang?
Harta?
Anak-anak?
Rumah besar?
Isteri yang cantik?
Suami yang bekerjaya?

Yang paling penting ialah ketenangan hati dan jiwa.

Dengan segala-gala yang ada di dunia, tanpa ketenangan, tiada maknanya. Hati sentiasa resah, gundah-gulana tidak berpenghujung. Segala nikmat dunia tidak terasa manisnya.

Dari ketenangan hati akan lahir kebahagiaan.

Miskin, bahagia.
Kaya, bahagia.
Susah, bahagia.
Senang, bahagia.

Dan ketenangan ini hanya akan diperoleh daripada Allah taala.

Hanya Allah taala yang boleh meletakkan tenang itu dalam diri kita.

Berdoalah.
Bersabarlah.

Semoga Allah memberimu tenang.

Agar lahir bahagia.