Monday, October 6, 2014

[Diari] Satu Niat


Sesungguhnya aku amat ingin menulis. Menulis idea, pemikiran, pandangan, fantasi dan harapanku pada dunia, pada keluarga ini dan pada akhiratku.

Tidak pernah ada dalam kamus hidupku mencoret naskhah semata-mata untuk menyakitkan mata yang membaca dan hati yang menerima. Tidak! Keganjilan apakah menyindir manusia tertentu di laman sesawang yang tidak ada pengunjung ini? Keinginan aku lebih kepada berkongsi, bercerita dan meluahkan rasa, kerana aku seorang pendiam. Aku suka memendam rasa. Aku ini suaranya terlalu kecil untuk didengar dunia, maka aku menulis sebagai pengganti lisan.

Tetapi ada sahaja yang tidak kena. Ada sahaja entah siapa-siapa yang terasa, yang aku sendiri tak tahu hujung pangkalnya, sehingga sesak dadaku, lantas aku buang semuanya, berkali-kali. Sehingga aku berhenti berkata-kata dan melupakan satu-satunya kegemaranku daripada kecil, iaitu menulis.