Friday, December 31, 2021

Jurnal #1 Sushi

30 disember 2021

Jam lebih kurang hampir pukul 6 pagi, saya terjaga. Sedikit lambat daripada biasa, akan tetapi tetap bersyukur kerana sudah seminggu asyik terlajak, hari ini dapat bangun awal untuk solat Subuh.

Air pagi ini sejuk sekali, sepertinya hendak menghalau saya daripada mandi. Namun, saya tetap bersiram dan menyucikan diri sebelum menunaikan solat sunat qabliah subuh serta solat Subuh.

Saya solat di bawah, spesifiknya di dapur, Setelah siap-siap berpakaian sukan, sebelum hendak mendirikan solat, Hajah Mah menyuruh saya melihat-lihat Sushi yang mengiong-iong sedari pukul 4 pagi. Saya jawab okay, tunggu Jia habis solat.

Usai solat, saya berbual sebentar dengan Sushi. Mengusap badannya yang sudah semakin berisi selepas seminggu dirawat. Membersihkan celah-celah kuku, punggung serta mulutnya.

"Sebelum pergi klinik nanti kita tukar alas ya," saya berpesan sebelum melangkah keluar.

Langit sudah sedikit cerah menandakan masuk waktu syuruk. Seperti biasa, sambil memanaskan enjin kereta, saya memakai kasut, fon telinga dan melihat apps fitness. Terasa kecewa juga dengan perkembangan seminggu ini. Akan tetapi, saya cepat-cepat menepis rasa tersebut dan cuba positifkan diri bahawa tak mengapa, saya akan mula semula.

Pagi-pagi selalunya saya takkan pasang radio. Selain untuk menjaga hati, saya juga taknak la dengar lagu sedih di pagi hari. Boleh bikin spoil mood. Biasanya saya biarkan bunyi unggas dan kesunyian pagi sahaja yang meneman.

Brisk walk pagi ini sebentar sahaja berbanding semalam. Cuma sekitar 4 km sahaja. Saya sudah lupa kenapa. Tapi lepas sahaja morning walk, saya terus pulang ke rumah.

Selesai memandi dan memberi anak-anak makan, saya segera bersiap-siap untuk hantar Sushi ke klinik bagi mendapatkan rawatan hari ke-8. Ayam dikeluarkan dari peti sejuk beku. Tak pasti nak masak lauk apa lagi, cuma keluarkan sahaja.

Hajat di hati rasanya petang ni nak buat cupcake untuk dihantar ke klinik ketika ambil Sushi nanti. Sebagai tanda terima kasih atas jasa mereka menjaga Sushi selama seminggu ni. Bagai boleh ditebak hati ini, Hajah Mah tiba-tiba memesan 2 biji brownies untuk disedekahkan kepada jiran kami yang akan membuat majlis pada hujung minggu ini.

Why not, fikir saya.

Hajah Mah mencadangkan agar biar beliau sahaja yang masak kejap lagi. Ini bagi mengelakkan saya kelam-kabut untuk menguruskan semuanya. Saya pun, ah pucuk dicita ulam mendatang. Memang suka sangat kalau Hajah Mah yang masak. Bukan apa, sedar diri yang air tangan ku tak sedap sangat huhu.

Sepanjang perjalanan  ke klinik, Sushi lebih banyak diam daripada mengiau. Hati saya terasa tidak sedap tapi saya diamkan sahaja. Badan Sush,i saya usap lembut, moga-moga ada ketenangan yang hadir dalam hatinya.

Pulang sahaja dari klinik, saya makan tengah hari bersama keluarga dan berehat sebentar. Jam 2 lebih baru masuk ke dapur. Dah alang-alang buat brownies, buat jugalah sebiji untuk dihantar ke klinik. Alhamdulillah sebelum pukul 5.30 petang, siap 3 biji brownies. Cuma yang lagi 2 biji tu belum dihias sahaja. 

Dalam kereta, tak putus-putus saya berdoa agar Allah taala mempermudahkan urusan Sushi, biarlah dia sihat dan berilah kami sekeluarga peluang untuk menjaganya lagi. Allah taala maha mendengar. Dia akan memakbulkan permintaan kita mengikut kehendak-Nya.

Sushi semakin diam, boleh dikatakan hampir tidak bersuara langsung ketika kami balik. Sepanjang jalan dari Tampoi hingga hampir tiba di rumah, saya memegang badannya. Hati makin bimbang, apakah mungkin Sushi sebenarnya sedang menahan kesakitan. Wallahu 'alam.

Anakanda Safiyyah I kencing di atas baju saya. Mungkin pampersnya sudah penuh. Saya pun tidak marah cuma ada membebel sikit. Sampai je di rumah, terus saya mandikan dia dan mandi sekali. Kemudian, kami makan malam. Hajah Mah minta saya meneman Kak Long ke pasar malam tapi memang tidaklah saya nak teman sedangkan saya sudah pun berbaju kelawar ketika itu. Lagi pula, kejap lagi saya nak bakar kek pisang pula untuk dibawa ke kelas Kahfi keesokan harinya. Lalu KakSu yang teman KakLong.

Saya meneruskan kerja baking yang tertangguh. Sambil itu hati sibuk memikirkan Sushi. Entah kenapalah dia diam dan tidur sahaja daripada tadi. 


Bersambung...

Wednesday, March 3, 2021

Bekal ke Sekolah

“Ummi, Cica nak bawa ayam kecik je esok.”

“Okay Alisha.”

Nak tahu rupa ayam kecik tu boleh tengok gambar pertama. Sama macam Abi dia, Alisha pun suka ayam goreng frozen. Saya? Taklah minat sangat.

Bersekali dengan ayam tu, saya sertakan juga  sandwich telur sayur dan 2 peringatan;

“Kalau Alisha boleh habiskan sandwich sayur dan jus buah ni, Ummi bagi Alisha bawa air kotak Milo esok.”

Jus buah tu ialah jus asli campuran epal, oren, jambu batu, batang saderi dan baby romaine yang saya perah guna juicer. 

Tapi disebabkan Alisha hanya berjaya minum setengah cawan dan sekeping sandwich (tak cukup masa katanya) sahaja, maka hari ini tak adalah air kotak.

Untuk hari ini, ada makaroni goreng dan roti bakar Nutella. 

Dalam fasa pandemik ni, sebagai ibu, kalau tak pandai masak atau sibuk pun kenalah masak untuk anak bawa bekal. Mereka dah tak boleh pergi kantin. Kantin yang bawa makanan ke kelas. Tapi pilihan tak banyak sangatlah. Jadi nak tak nak sertakanlah bekal.

Kasihan anak-anak kita..

Nak mingle dengan kawan-kawan pun tak boleh. Nak berkenal-kenalan pun susah. Serba serbi kena jauh. Waktu rehat tak boleh lari-lari, main cop tiang atau lawan getah pemadam. 

Saya memang tak boleh tengok budak duduk diam je dalam kelas bila masa rehat. Rasa sedih je. Sebab itu bukan fitrah mereka. Fitrah seorang kanak-kanak ialah berkawan, bermain, bergerak..

Bila semua ni nak berakhir..

Malas nak tulis dah tak mahu nangis.

Monday, February 22, 2021

Cerita Anniversary ke-8

 Saya jarang menonton filem. 


Jika tonton pun, pasti filem yang sama. Entah ke berapa belas kali. 


Intouchables.

Revolutionary Road.


Dan tentu sekali, A Beautiful Mind yang sangat dekat di hati. 


Love is somewhat magical. It is the only thing that can make you travel beyond sanity and back and repeat again. 


It is easy to love someone who has everything.  We all can do it. 


But to love someone who has nothing to offer, it takes a person with such a big heart and sincere love to do that. 


And I am the lucky 1% to have met that person, who loves me even at my worst, even when I don’t deserve it. 


Terima kasih kekanda suami untuk bunga, hadiah, kek dan segala kasih-sayang. Selamat hari kita yang ke dua ribu dua ratus dua puluh sembilan hari. 💝

Monday, February 15, 2021

Menjadi Guru di Rumah

Berehat sebentar daripada kelas agama. 

Tadi saya mengajar anakanda Alisha menulis jawi. Untuk seorang yang tidak pernah masuk ke sekolah agama, it was a struggle for me. And for everyone else I guessed. Kefahaman yang baik tak bermaksud kita dapat menjadi pengajar yang baik. Lebih lagi apabila mengajar anak sendiri. Sabar dengan mereka dan terutama lagi dengan diri sendiri. Jangan cepat melenting je bila anak bosan dan tak faham. Kita dulu pun selalu menguap dalam kelas tapi tak pernah sekali pun kita dimalukan oleh pensyarah atau dibaling duster oleh guru, kan?

Ke kalian pernah kena?

Atau kalian yang pernah malukan pelajar hanya kerana sistem biologi tubuhnya bertindak balas dengan persekitaran?

:)

Apa-apa pun, bersabarlah kita semua menghadapi norma baharu ini.

For me, walaupun struggle nak ajar, saya lebih suka anak belajar di rumah hehe. Lebih fleksibel dan kita sendiri pun boleh buka mata tentang keupayaan anak sendiri, sekaligus rendahkan expectation kita supaya lebih realistik.

Cuma yang sedih, anak-anak tak dapat keluar untuk ambil cahaya matahari, bersosial, berkawan dan berlari...which is boleh dapat dengan cara pergi sekolah.

Saya pula sedih tak dapat pergi masjid. Rindunya...Masa PKPB pun tak dapat pergi sebab kanak-kanak tak dibenarkan masuk, masa PKP ni lagilah.

Semoga Allah taala mengangkat musibah ini daripada kita semua...

Sunday, February 14, 2021

Kek Coklat Indulgence


 Setiap kali dapat order kek, saya pasti akan teragak-agak untuk terima. Malah ada beberapa kali request yang terpaksa ditolak dengan hati yang berat.

Bukan tak suka. Buat customed cake memang sangat menyeronokkan dan kena dengan jiwa. Tapi saya sedar, kemampuan untuk fokus agak terbatas dengan tiga orang anak yang sedang membesar. Saya bukanlah profesional yang boleh siap deko satu kek dalam masa sejam. Saya seorang yang agak perlahan, ambil masa untuk mahir melakukan sesuatu perkara dan memerlukan suasana yang sunyi untuk bekerja. Tapi dengan tangisan, perkelahian anak-anak, bunyi televisyen yang kuat dan segala macam bentuk kebisingan, it’s really hard to focus. 

Orang yang brain neurons dia extraordinary ni, dia punya kesan bila susah nak fokus berbeza dengan orang normal. It can really be out of control sometimes and lead to mental breakdown, aggresive behaviour and worse, suicidal. I know orang normal susah nak hadam logik ni so just let it be la. 

Usually saya akan tolak job kek. 

Kecuali baru-baru ini, kerana yang bertanya itu ialah jiran rapat, saya segan hendak menolaknya. Lagipun rasa rindu sangat nak baking, jadi, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan.

Alhamdulillah. Sebiji kek coklat indulgence 9” ala Secret Recipe berjaya dihasilkan dengan tenang. Walaupun ganachenya agak comot, tapi kepuasan kerana berjaya hasilkan satu kek (dengan tenang), tak boleh nak digambarkan. Alhamdulillah segala pujian hanya bagi-Mu Ya Allah.

Keyakinan pun dah makin meningkat, dah makin boleh manage masa dan makin pantas siapkan sebiji kek. 

Rasanya in future macam dah boleh terima order kek sikit-sikit, insyaallah.