Fuh, lama betul tak menulis di sini.
Semalam, selepas mengambil beberapa gambar dari sini untuk dimuat naik ke instagram, saya cuba-cuba menulis sedikit. Tapi belum sempat habis, sudah tertidur tanpa sempat saya simpan tulisan tersebut. Makanya, malam ini kita tulis yang baru.
Tak tahu nak cerita apa di ruangan yang hanya saya seorang baca ini.
Mungkin boleh ceritakan tentang walimatul urus sahabat baik suami saya yang berlangsung hampir dua bulan lalu di Hulu Langat, Selangor.
Kami pergi bertiga sahaja dari Johor Bahru dan bertolak selepas maghrib. Suami dan saya bergilir memandu. Tiba di Kuala Lumpur tengah malam dan terus ke rumah ibu bapa saya.
Esoknya dalam pukul 11 pagi kami ke lokasi nikah yang terletak hanya 20 minit daripada rumah Emak. Khai dan pasangannya nikah di surau berdekatan rumah pengantin perempuan. Sebenarnya, inilah kali pertama saya bertemu empat mata dengan isteri Khai. Selama ini tengok di IG sahaja. Kebetulan, IG-nya naik di
news feed saya dan saya lihat kerana terperasan dak Khai ada. Ketika itu baru saya tahu ini rupanya tunang Khai dan saya terus
follow di IG.
Okay berbalik pada cerita tadi, ketika kami sampai, pengantin lelaki sudah sedia duduk di hujung surau bersama ahli keluarganya yang berpakaian serba ungu. Pihak keluarga pengantin perempuan pula memilih rona
pink belacan, sama seperti warna baju suami. Ahahah. Barang kali mereka terfikir, suami saya ni saudara jauh belah mana ya?
Selang beberapa minit, pengantin perempuan pun tiba dengan persalinan serba putih, bersama dayang-dayangnya.
Apabila Imam tiba, bermulalah upacara akad nikah yang diketuai oleh wali pengantin perempuan sendiri iaitu ayahnya. Kelakar juga masa ni sebab ayah pengantin perempuan agaknya berdebar sangat sampai tersilap sebut ijab berkali-kali. Adalah dalam 4 kali rasanya. Sampai menitik peluh di dahi. Yang pengantin lelakinya relaks sahaja tersenyum sipu. Qabul hanya dilafaz sekali sahaja dan terus SAH SAH SAH.
 |
| Sesi bertukar cincin |
Alhamdulillah.
Usai nikah, macam biasalah sesi bergambar. Dapat juga kami bertiga bergambar sekeping dua dengan pengantin sebelum menjamah hidangan tengah hari yang disediakan. Sedap sangat. Ada ikan cencaru bakar. Tapi suami saya tak makan sebab tak biasa. Selalunya kucing dia sahaja yang makan cencaru.
Selepas pulang daripada majlis nikah Khai, petang itu suami dan saya membawa Emak berjalan-jalan beli baju di Kenangan Wholesale. Kakak ipar ada pesan beberapa barang. Jadi alang-alang itu, suami hadiahkan Emak persalinan juga. Berbunga-bunga Emak menerima pemberian menantunya. ;)
Keesokan harinya kami sekeluarga pergi ke Dewan Bizmilla Insya di Pudu untuk menghadiri majlis resepsi belah perempuan. Ini kali pertama saya pergi ke situ walaupun dah biasa lalu jalannya.
Pasangan pengantin tampak sungguh anggun dengan persalinan warna biru Tiffany dan berhiaskan latar belakang pelamin berwarna-warni.
Agak lama juga kami di situ kerana menunggu sahabat suami yang seorang lagi tiba. Dan penantian yang sungguh memboringkan itu akhirnya berbaloi kerana saya dapat juga bertemu dengan Yat, kawan kepada Daus. Yat ni pun saya kenal melalui IG sahaja. Dia bukan sahaja cantik, malah berpendidikan tinggi dan peramah. Tidak seperti beberapa orang yang memandang rendah kepada saya kerana melihat saya tidak setaraf dengan mereka.
Alhamdulillah majlis resepsi berjalan lancar. Terima kasih Khai dan Nana kerana menjemput kami. Semoga pernikahan kalian mendapat berkat, rahmat, kasih sayang dan redha Allah taala. :)