Wednesday, June 3, 2015

[Diari] Perasan Bagus




Minggu lepas ketika menziarahi Emak di 'kampung', aku mengalami pengalaman baru sepanjang lebih 20++ tahun hidup di dunia.

Pertama kalinya aku terpaksa menolak kereta pacuan empat roda di bawah matahari terik, di tengah kesibukan kota dan sejauh hampir 3 km! Tidak sedikit mata yang memandang sinis, bahkan ada juga yang hon walaupun mereka nampak jelas kami sedang menolak kereta. Tidak kurang beberapa pak cik yang ringan tulang untuk menolong.

Sejam jugalah aku dan dua adikku bergilir-gilir menolak. Kalau jalan rata bolehlah tahan lagi. Tapi bila jumpa bukit itu yang payah sangat. Berat sungguh keretanya. Alhamdulillah kami berjaya sampai di stesen minyak Petronas. Kereta itu bukan rosak, cuma kehabisan minyak sahaja dek kesilapan adikku yang menjangka bahawa minyak tersebut cukup untuk perjalanan pergi dan pulang kami.

Apa lagi, seusai isi minyak, kami bertiga terus mengeteh sebentar di restoran berhampiran untuk ambil kesejukan air-cond. Punyalah lambat servisnya, Ya Allah, aku hampir bersumpah tidak mahu datang ke restoran ini lagi. Sudahlah pelanggan ramai, sambil lewa sahaja bekerja sedang duit gaji yang dapat nanti hendak dimakan jadi darah daging. Tak malu sungguh mencuri tulang dan membiarkan pelanggan penat menunggu. Kasihan pada mereka terutamanya yang datang bersama anak kecil. Hendak makan dengan budak-budak bukan senang. Paling lama pun 30 minit, sebelum mereka mula meragam. Sabar sahajala melihat staff-staff tersebut yang tiada timbangrasa.

Sampai sahaja di rumah, jam hampir menunjukkan pukul 3 petang. Aku dan adik bongsuku bergegas pula bersiap untuk ke Melaka bagi mengambil anak saudaraku yang sedang bercuti seminggu. Emak dan ayah ikut bersama manakala suami tinggal sendiri. Hendak berehat, katanya.

Setelah mengambil anak saudaraku, kami singgah sebentar di majlis pertunangan dua pupuku dan pulang selepas maghrib.

Dalam kekalutan aku mengejar waktu, sempat aku berbual dengan Nek Bibah, jiran beberapa blok. Lama tak nampak beliau, makin uzur nampaknya, berdasarkan uban yang telah menutupi keseluruhan rambut beliau. Waktu disapa dari kejauhan, aku agak teragak-agak hendak mendekati, terkenangkan mulut cabulnya yang sering menyakiti jiran-jiran dahulu. Tapi mengingatkan bahawa sudah beberapa tahun kami tidak berjumpa dan mengenangkan usia tua beliau, aku bersangka baik yang mulutnya tidak seaktif dahulu.

"Engkau bila balik Najiha?"

"Baru semalam Nek," aku membalas sambil tersenyum.

"Iya? Laki kau mana? Bukan kau dah kahwin ke? Kau dah beranak belum?" tanyanya persis wartawan.

"Ada, ada kat rumah tu. Ni nak balik jumpa dialah ni."

"Oh, kau dah beranak ke belum?"

"Dah, dah Nek. Dah setahun pun," aku makin tidak selesa.

"Iya, lepastu anak kau mana? Laki kau pandai ke jaga anak tu? Dia tak menyusu tetek ke?"

"Ok aje dengan ayahnya Nek. Biasalah tu. Hmm, saya nak cepat ni Nek. Saya pergi dulu ya?"

"Ah yelah yelah. Nanti kirim salam kat laki kau tu."


Sangkaanku meleset. Mulutnya masih sama seperti dahulu.

Percakapan Nek Bibah membuatkan aku teringat pada ucapan seorang nenek lain beberapa minggu sebelum itu.



"Oh, habis tu balik tiap-tiap minggu la ya ni?"

"Eh tak juga. Kalau ada rezeki baliklah. Kan harga minyak tinggi sekarang."

"Eh tak balik?"

Nenek tersebut memalingkan wajah ke arah geng-gengnya sebelum mencerita perihal kainku kepada mereka sambil tergelak-gelak persis mak cik-mak cik mesyuarat tingkap.

"Kita ni yang balik tiap-tiap minggu pun rindu, dia boleh tak balik ya?" katanya lebih kurang begitu.

Yelah nenek, teruskanlah mengeji dan mengumpat saya. Tak pastilah apa salah saya sampaikan setiap kali ada kesempatan berbual, ada sahaja awak nak menyakitkan hati. Bukan awak keluarga baik-baik ke? Tapi kenapa perangai suka sangat jaja cerita orang?

Jangan sampai Allah uji anak nenek begitu pula nanti ya. Ingat, manusia tak selalu di atas.


No comments:

Post a Comment