Semalam saya memandu buat pertama kalinya dari KP - S - KP. Alhamdulillah, setelah sebulan kena marah kiri kanan, akhirnya suami benarkan saya memikul tanggungjawab baru. Bukan senang nak belajar kereta dengan suami sendiri. Bila kena marah, rasa sedihnya lain macam. Jauh berkali ganda lebih sedih daripada dimarahi pengajar berlesen. Tetapi kerana inginkan ilmu dan kepandaian, maka tahan sahajalah telinga bila dimarah bagai tiada keampunan lagi buatmu. Heh. Mesti orang pelik kenapa saya tak mahir memandu lagi di usia ini. Ya, saya pemandu amatur. Lesen dah ada tapi baru sekarang hendak bawa kereta. Kenapa sekarang, bukan dari dulu?
Jawabnya, sebab sekarang ada kereta. Dahulu tak ada kenderaan, tak nampak keperluan ilmu ini. Dan kini, setelah suami sering mengadu keletihan akibat terlalu kerap berulang-alik utara selatan setiap bulan, naluri mendorong saya untuk keluar dari kepompong jahiliyah. Dan naluri itu bertambah kuat apabila baru-baru ini suami ditimpa musibah dan saya tidak dapat melakukan apa-apa [membeli makanan dan menghantarnya ke klinik] disebabkan kekurangan diri. Oleh itu, tidak dapat tidak saya mesti mahir dalam bidang ini.
Bercakap mengenai perjalanan semalam, sebenarnya sudah lama kami tidak ke S. Namun bila seorang sahabat kerap mengesyor saya untuk makan di sebuah restoran di sana, saya lalu mengajak suami semalam. Kebetulan, kami agak lapang sekarang. Dan suami seperti biasa, jika ada kelapangan masa, tenaga dan bajet, beliau tidak lokek untuk menggembirakan isterinya.
Ketika dalam perjalanan ke sana, saya mengalami sebuah peristiwa yang agak aneh. Ketika itu suami sedang tidur, jadi beliau tidak nampak. Tapi saya tidak akan tulis mengenainya. Buat masa ini, biarlah dahulu. Fokus artikel ini ialah pada makanan.
Kami ke sebuah restoran bertemakan masakan laut dan tomyam. Namanya D TomYam. Ia terletak di tepi jalan, berhadapan dengan Tesco. Setibanya di sana, saya terpandang bunting promosi Nasi Mandy dan Khabsah pula. Ah, makanan kegemaran saya ada di sini! Apa lagi, terus saya ajak suami ke Restoran Nasi Arab sebelah BurgerByte. Malangnya dah tutup. Jadi, kami ke sini semula untuk mencuba Nasi Arab versi D TomYam.
Semasa kami sampai, hanya ada 3 buah meja yang diduduki pelanggan. Mungkin kerana dah lewat, fikir saya. Lalu kami mengambil tempat di dalam restoran. Mejanya besar dan tinggi, saya suka. Pengudaraan juga bagus.
Selepas berfikir-fikir, saya membuat keputusan untuk memesan Nasi Mandy Ayam, Pulut Mangga dan Syai panas manakala suami hanya makan Sotong Celup Tepung dan Milo Ais sahaja. Nampak tak sekarang kenapa saya semakin bulat dan suami semakin kurus? Beliau makan seciput sahaja berbanding saya ini. Manalah tak kurus. Hahaha.
| Gambar hiasan sahaja. Tiada kaitan dengan artikel asal. Gambar diambil di SINI |
| Gambar hiasan sahaja. Sumber di SINI |
10 minit kemudian makanan kami tiba.
Sejujurnya, mungkin ini kali terakhir kami di sini. Sayang, makanan yang dihidangkan tidak menepati selera kami. Nasi berianinya berkerak dan tersangat keras, seperti sudah dipanaskan 3-4 kali manakala ayamnya pula berbau, seolah-olah ia telah dinyahbeku dalam suhu bilik pada jangka masa yang lama. Pulutnya pun sama. Sedap, tapi nasinya keras. Bahkan, ada yang masih terasa berasnya. Jika kita makan nasi pulut, apa yang kita jangka? Lembut dan melekit bukan? Saya juga jangka begitu namun hidangan yang saya rasa sebaliknya pula dan amat mengecewakan. Memang jauh berbeza dengan kualiti Nasi Arab sebelah BurgerByte. Sayang seribu kali sayang...
Tapi tak mengapalah, lain kali kami singgah di tempat lain pula. Untuk tidak mengganggu periuk nasi mereka, saya singkatkan nama restoran tersebut. Tapi kalau ada staf mereka yang terbaca, janganlah cepat melenting. Anggap ini sebagai suatu kritikan membina untuk memperbaiki mutu hidangan mereka di masa akan datang.Okay?
Dan kami pulang setengah jam kemudiannya. Alhamdulillah perjalanan pulang kami lancar tanpa apa-apa musibah.
No comments:
Post a Comment