“Awak rasa jawapan itu sudah cukup melegakan saya?”
Dia terkedu.
“Awak rasa bila awak perlakukan saya begini, saya akan
memaafkan apa yang terjadi?”
“Sayang..”
“Tidak!” Aku menepik sebelum sempat dia menutur lebih
panjang. Beg tangan di belakang kuambil sebelum kerusi ditolak keluar. Aku
berdiri mendepaninya, penuh amarah di dada. Dia masih berpeluk tubuh.
“Terima kasih,” akhiriku sebelum berlalu pergi.
Di luar hotel, aku menahan sebuah teksi yang kebetulan
berhenti di tepi jalan. Tanpa disoal, aku menyebut Jalan Lebah sebagai
destinasi. Pemandu berbangsa India itu hanya mengangguk dan menghidupkan enjin.
50 km/j. Aku merengus kecil. Itulah padahnya bila menumpang
kereta bekas teman lelaki. Bila dah bergaduh kena pulang sendirian dengan teksi
lagak seperti siput. Sudahlah penghawa dinginnya kurang berfungsi. Berkecak
ketiakku.
Yenne Aaaaaa~
Tersentak sekejap bila pemandu tersebut tiba-tiba memutar
radio. Bahasa Tamil pula tu, tak faham langsung. Pemalas betul aku ini. Orang
India boleh sahaja berbahasa Melayu, tetapi aku yang Melayu ni tak boleh
berbahasa Tamil.
“Adik kenapa masam? Gaduh sama bos ka?” tanya pemandu
tersebut tiba-tiba. Dia cuba mengerling ke arahku melalui cermin hadapan.
“Hmm,” balasku perlahan. Malas nak beramah-mesra tika hati
masih membahang, sebahang terik mentari hari ini.
“Tak mahu masam, nanti itu muka cepat tua,” dia cuba
menasihat. Eh pak cik ni, sibuk pula dia. Malas nak melayan!
“Saya punya anak sama dengan you. Saya cakap dia tadak dengar. Bisinglah ini orang tua! Agaknya
itu dia kata dalam hati,” ujarnya lagi sambil ketawa kecil.
“Selalu saja marah-marah. Tarak paham saya sama budak
sekarang, apa masalah pun tak tau. Bila tanya tak mahu cerita. Gadjet sudah
ada, kereta sudah bagi, belajar sampai universiti, kerja besar, apa lagi tarak
cukup?”
Aku mengerling, terkena batang hidung sendirilah pula.
“Satu hari saya cakap sama dia,”you kenapa? You marah pasal
kerja jangan bawa ini rumah. Ini rumah, you kena happy. Appa sama Amma tak
salah, kenapa you mahu marah-marah kami?""
“You adik, bila senang, baca buku See You At The Top. Itu
mendiang Zig Ziglar tulis. Dia cakap, kalau kita marah, jangan lepas pada
orang. Nanti berjangkit pada orang lain juga. Dia marah sama Amma dia, Amma dia marah sama saya. Sebab
dia kami suami isteri jadi gaduh. Rumah tarak happy punya.”
“Anak uncle kerja apa?” Aku cepat-cepat mencelah sebelum dia
meneruskan ceramahnya. Berminat pula nak dengar. Dia tidak menjawab. Hanya
selepas beliau membelok masuk ke simpang Delima yang super bahaya itu barulah
beliau memberi jawapan.
“Doktor. Umur lebih kurang sama adik saja.”
“Ohhh..”
Beliau kembali fokus ke hadapan. Tiada tanda-tanda beliau
hendak menyambung kisah. Aku harus ingatkannya.
“Apa jadi lepas uncle tegur tu?” Kucuba menyuntik perbualan.
“Oh, saya lupa. Tadi dekat mana?”
“Alah, yang uncle cakap uncle sama aunty selalu gaduh sebab
anak uncle asyik marah tu.”
“Ha, lepas uncle tegur tu, dia tarak terima. Dia masuk bilik
hentam pintu. Uncle dengar dia jerit, “you have no idea what I have been
through today!” Kecik hati. Dia cakap serupa uncle orang tarak sekolah. Amma sudah nangis sampai pengsan."
Sekelipan
mata, kereta sudah membelok ke taman perumahanku. Punyalah kusyuk
kumendengar. Pemandu tersebut berhenti di lot nombor 10 lalu
memandangku. Ini kali pertama aku melihat wajah penuh pemandu tersebut
sejak 30 minit kami berdua-duaan di dalam teksi tadi.
"RM20
adik," katanya sejurus melihat meter di tengah. Aku teragak-agak hendak
menghulurkan duit kerana hatiku memberontak mahuku beliau menghabiskan
cerita.
"Err uncle, kalau saya bayar lebih sikit
bolehke uncle tunggu sekejap? Saya mahu dengar story uncle," tanyaku
sedikit tersekat. Wajah pemandu tersebut berubah.
"Jangan
ini macam adik. Jangan beli orang dengan duit. Saya kerja betul, saya
tak suka orang hulur-hulur duit begitu. Orang sekarang selalu itu gula2
sama kita orang kampung dengan duit. Sebab itulah rasuah menjadi-jadi."
Ya
Allah, terasa bagai disentap hati ini. Betullah kata beliau, mudah
benar kita menggulakan seseorang dengan wang semata-mata untuk memenuhi
keinginan kita.
No comments:
Post a Comment