![]() |
La hau la wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azim.
Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita, pujuk Nabi kepada sahabat terbaiknya, Abu Bakar as-Siddiq,
Sesungguhnya, beruntunglah buat mereka yang memiliki sahabat terbaik, iaitu sahabat susah dan senang. Sahabat yang ikhlas menerima dan memberi, tidak mengumpat di belakang namun manis di depan. Sahabat yang tiada galang gantinya.
Sahabat baikku sendiri banyak.Tetapi sahabat terbaik? Hanya seorang dan semoga beliaulah yang kekal menjadi pendamping terbaik saya hingga kami bertemu di syurga kelak.
Terima kasih suamiku kerana mengizinkan serta menghadiahkan sebatang lipstik berwarna merah jambu hari ini. Semalam ketika membeli-belah bersama rakan serumah, saya benar-benar jatuh cinta kepada warnanya dan kebetulan tinggal satu sahaja lagi. Walaupun hati memberontak untuk beli, tetapi saya tidak boleh melakukannya sebelum meminta kebenaran kepada suami. Lalu saya meletakkannya kembali ke kabinet asal.
Hari ini kami dating berdua. Saya mengajak beliau ke kedai semalam dan mencuba tester yang terdapat di situ. Alhamdulillah suami beri lampu hijau, namun sayang sekali, stok dah habis. Maka, suami membelikan lipstik yang hampir serupa dengannya. Alhamdulillah, cantik juga dan harga pun lebih murah. Terima kasih.
Dan terima kasih sekali lagi buat suami yang setia di sisiku saat jatuh bangunku. Perkahwinan kita hampir menginjak ke tahun ketiga dan sejujurnya saya ini terlalu jauh daripada perkataan 'sempurna.' Tetapi Allah taa'la tetap mengurniakan seorang suami yang penyayang dan ikhlas menerima diri ini seadanya. Serba kekurangan namun saling melengkapi.
Semester lalu menyaksikan saya berjaya lulus cemerlang dengan menjadi pelajar terbaik untuk batch ini. Sudah hampir sebulan selepas keputusan keluar dan saya masih belum keluar daripada fasa gembira. Manakan tidak, hampir dua tahun saya tidak menggenggam apa-apa anugerah akademik dan nikmatnya bila berjaya memperolehnya kali ini, Subhanallah, begitu mengujakan!
Dan tidak lain pastinya saya paling berterima kasih kepada suami (selain Allah) kerana beliau adalah teman yang cukup sabar menghadapi zaman kegelapan saya. Ditinggal dan dibenci sahabat, gagal dalam peperiksaan, postpartum depression dan pelbagai lagi dugaan lain yang sangat menguji kecekalannya sebagai suami dan sahabat. Tetapi beliau masih ada. Tidak sekali pun pernah beliau mengugut untuk meninggalkan saya, bahkan semakin kerap beliau memberikan kata-kata semangat. Saya sangat-sangat berharap kepada Allah taa'la agar memberikan kegembiraan serta cahaya dalam hidup suami saya di dunia serta akhirat. Semoga segala pengorbanannya akan dinilai baik di sisi-Nya.
Perjalanan kita masih jauh dan masih banyak lagi liku-liku yang mesti kita redahi. Tetapi sebelum ini pun kita sudah banyak kali jatuh tersungkur tetapi Allah yang Maha Penyayang telah mengangkat kita kembali. Jadi, saya percaya kita akan mampu bertahan di masa hadapan. Dengan agama,cinta, kepercayaan, kesabaran dan kasih-sayang, insyaAllah kita akan kekal bercinta hingga ke syurga.
Jannah Najiha
14 September 2015
Negeri Sembilan

No comments:
Post a Comment