![]() |
| Sumber: FB/HimpunanVideoIslamik |
Sudah menjadi rutin harian bahawa setiap malam sebelum tidur, saya akan membelek seketika foto-foto keluarga kecil kami di laptop. Foto-foto tersebut pula disusun mengikut tarikh paling lama ke paling terkini. Melihatnya, seribu satu perasaan menerpa hati. Gembira, sedih, rindu, terharu dan takut.
Dahulu kami tidak ada telefon canggih mahupun kamera. Kedua-dua kami menggunakan Nokia jenis lama. Hanya seminggu sebelum pulang ke rumah sewa baharulah saya bertukar telefon, juga Nokia, tetapi bolehlah jika hendak menangkap gambar. Memori paling jauh yang disimpan di folder khas keluarga kecil kami dalam laptop ini ialah 25 November 2013. Ia gambar saya di hadapan air terjun di Restoran Jejantas Ayer Keroh. Ketika itu kandungan sudah mencecah 7 bulan.
Masa itu, kami berdua baharu sahaja melepasi satu fasa paling sedih dalam hidup. Tahun 2013 bukan tahun gembira kami. Banyak duka yang pernah meninggalkan parut teramat dalam. Maka, 25 November tersebut ialah hari kami ingin memulakan kehidupan baru, bertiga dan bahagia.
"Yayang duduk situlah, Abang nak ambil gambar kejap,"
"Jomlah kita ambil gambar sama-sama Abang," saya memujuk.
"Takpe, Abang nak Yayang ambil gambar dengan baby je."
Klik!
"Wah, cantiknya gambar ni," kata suami seraya menghulurkan telefon bimbit tersebut.
"Ish, gemuknya Yayang!" saya membalas lalu memalingkan pandangan - rendah diri dengan bentuk fizikal sendiri.
"Mana ada, Yayang cantiklah," balas suami.
Selepas bergambar, kami menikmati sarapan pagi di salah sebuah restoran di situ. Beliau seperti biasa dengan makanan baratnya manakala saya memilih Nasi Goreng sahaja.
Ketika makan, saya menjeling ke luar sekejap-sekejap. Melihat kenderaan meluncur laju di bawah tapak kaki lalu meninggalkan kami menuju ke arah yang tidak diketahui, hati merancu. Fikiran memberi bayangan masa depan yang tidak pasti. Ia menakutkan - untuk tidak mengetahui ke mana arah kehidupan selepas ini. Perjalanan kami masih jauh beribu batu, cukup berliku dan berbatu untuk ditelusuri. Kegundahan yang menangkap hati tidak dapat diselindung di balik senyuman, lalu suami bertanya.
"Kenapa?"
"Abang rasa kita boleh lakukannya?"
"InsyaAllah, kita boleh."
"Yayang takutlah."
"Takpe, Abang kan ada," ujar suami. Beliau menghabiskan sisa-sisa makanan di pinggan.
10.30 pagi, kami pulang ke kereta semua dan meneruskan perjalanan. Seperti yang dijangka, laluan untuk kami bertapak semula tidak begitu mudah. Kami mengalami 2 hari penuh peristiwa yang bakal diingat sepanjang hayat. Walaubagaimana pun, kami berjaya survived. Itu yang penting.
Dan kini, setelah 1 tahun 9 bulan dan 25 hari daripada hari itu, kami masih berdiri, juggling and sometimes struggling untuk kekal berdiri. Apa yang bakal berlaku di masa hadapan? Wallahua'lam. Tiada siapa tahu. Tugas kita hanya perlu terus ke hadapan, berusaha menjadi diri sendiri yang lebih baik daripada semalam dan memperbaiki taraf kehidupan keluarga.
Apa-apa pun, saya kini lebih banyak tersenyum berbanding dahulu. Alhamdulillah. :)
Jannah Najiha
18 September 2015 @ 5.06 petang
Negeri Sembilan

No comments:
Post a Comment