Monday, August 31, 2020

Teringat akan Suami

Setelah berbulan membiarkan almari kekanda suami tertutup rapat, siang tadi saya membukanya. Hajat hendak mencari seluar kerana saya kehabisan seluar yang muat memandangkan sejak berat badan sudah turun, baru sehelai seluar sahaja yang dibeli. 

Waktu itu tiba-tiba terfikir hendak mencuba seluar jeans suami. Woah, sangat muat, malah longgar satu saiz lagi! Tak pernah terbayang sebelum ini yang suatu hari nanti saya boleh menyarung seluar suami, memandangkan jurang saiz kami yang sangat besar dahulu iaitu 10 inci. Seingat saya, kali terakhir pinggang saya di saiz ini ialah sekitar 16 tahun dahulu iaitu di tingkatan tiga. Alhamdulillah, terima kasih ya Allah. 

Sejurus selepas menyarungkannya, perasaan teruja menjelma, namun tidak lama kerana rasa sepi dan sayu menjengah pula. Tika itu baru saya tersedar, saya hampir lupa bagaimanakah bau suami sendiri. Lalu, setiap helaian baju diselak dan dicium, mencari-cari bau suami jika masih ada. Sudah hampir 6 bulan, hanya sedikit yang masih bersisa haruman suami. Saya menciumnya puas-puas sebelum kembali menutup pintu almari.

Sedih rasanya memikirkan entah bila akan bertemu.. 

Usah dibilang yang orang lain lagi lama tak bertemu, ada suami kerja di laut dan sebagainya. Situasi kita berbeza. Ini pengalaman pertama saya berjauhan begini lama dan ia terjadi tiba-tiba tanpa sempat kami anak-beranak menyediakan mental untuk menghadapinya. Sudah tentu saya mengambil masa yang sangat lama untuk adjust kehidupan baru ini. Adakalanya saya kuat, ada masa terduduk juga.

Walau bagaimanapun, dalam kesedihan yang merajai hati, terselit juga rasa syukur kerana sekurang-kurangnya suami masih hidup dan sihat walafiat. Hanya sahaja laut yang memisahkan suami daripada saya dan anak-anak. 

Suatu hari nanti kita pasti akan bersatu kembali, insyaallah. Semoga Allah taala mengangkat kembali virus Covid-19, menemukan penawarnya dan mengembalikan kesejahteraan kepada bumi ini.

Jannah Najiha
1 Sept 2020 @ 12:13 pagi
Johor Bahru


No comments:

Post a Comment