Friday, November 29, 2019

Cuti-Cuti Melaka, Ogos 2019 [Bahagian 2]

Hari kedua bermula dengan kami bersarapan di hotel. Pilihan makanan seperti yang biasa dilihat di hotel 3 bintang. Saya makan nasi lemak, suami memilih makanan barat manakala si kakak makan bijirin sarapan.

Selepas itu kami ke kolam renang. Kolamnya terletak bersebelahan hotel dan berkonsepkan outdoor swimming pool. Kalau nak ke sana kena turun lift ke basement. Kami tinjau je tak bawa si kakak mandi pun sebab nak bergegas check out kerana rupanya suami buat kejutan. Beliau booking hotel lain pula untuk malam itu.

PANTAI KLEBANG

Lepas check out, saya mengajak suami ke Pantai Klebang sebentar sebab nak bagi si kakak pijak pasir untuk rangsang sensorinya. Ada drama pula kat sini sebab si kakak bertegas nak buat istana pasir sedangkan pakaiannya tak sesuai. Lama juga nak pujuk. Saya bagi si kakak main di gigi air je sambil-sambil tengok ada dua orang mak cik ni kutip remis.

PESTA DURIAN

Selepas pantai Klebang, kami singgah sebentar di kawasan berdekatan sebab ada pesta durian sempena ulangtahun kemerdekaan ke 62. Ada juga jamah sedikit durian. Selain itu terdapat pelbagai lain buah-buahan tempatan seperti rambutan, manggis, langsat, kelapa muda dan sebagainya. Masa ni si kakak masih moody hahah.

ORIGINAL COCONUT SHAKE KLEBANG

Lepas kenyang makan durian, kami singgah pula di Original Coconut Shake Klebang. Ramai betul manusia di sini, pelbagai bangsa pula tu. Kami cuma beli 3 coconut shake dan 2 jeli kelapa. Sedap! Cuma manis sangat. Alhamdulillah masa ni si kakak dah gembira dah.

MELAKA TROPICAL FRUIT FARM

Seterusnya kami ke Malacca Tropical Fruit Farm. Malam sebelumnya suami plan untuk ke Safari Wonderland tapi saya tak setuju kerana harganya yang mahal dan review pun ada yang tak elok. Jadi, kami tukar ke Malacca Tropical Fruit Farm. Dalam 45 minit jugalah dari hotel kami.

Harga tiket di sana memang murah sangat cuma saya tak ingat berapa. Kami juga diberi sayur-sayuran secara percuma untuk diberi kepada arnab. Syok sangat sebab boleh pegang arnab dan bagi makan. Arnabnya pula banyak dan gebu-gebu. Memang sesuai untuk si kakak.

Selepas habis memberi makan, kami mendengar penerangan tentang madu kelulut oleh pekerja di situ. Kat sini merata-rata sarang lebah kelulut. Boleh buka dan tengok sendiri. Kami juga diberi peluang merasa madu tersebut.

Selepas itu kami pusing di sekitar taman. Memang kena naik kereta ya, kalau jalan kaki 3 jam pun tak habis sebab tempatnya besar.

Di sini terdapat banyak jenis pokok termasuk pokok buah-buahan dan kita boleh makan sesuka hati sebanyak mana kita nak. Tapi sayang masa kami pergi tu cuma pohon rambutan je berbuah. Merasalah jug si kakak tengok Abi jolok buah.

Pokok lain yang ada seperti pokok betik, durian, buluh, getah, jati, manggis, mangga dan sebagainya.

Selain itu, Abi juga bawa si kakak tengok reban puyuh. Ada beratus ekor puyuh di dalamnya tapi sekejap je pergi sebab kakak tak tahan bau busuk tahi dia haha.

Seterusnya aktiviti paling best di sini, bagi makan haiwan ternakan. Sini ada mini zoo tau, ada lembu, burung unta, rusa, kambing dan kuda. Di setiap kandang juga dibekalkan dedaunan untuk diberi makan kepada haiwan-haiwan ini secara percuma. Fuhhh, si kakak seronok tak terkata. Walaupun kumpulan haiwan tersebut biasa kita lihat, namun ia jarang untuk si kakak. Pulak tu tak ada orang langsung di sana. Memang puas hatilah si kakak dapat bagi makan kat haiwan-haiwan tu. Paling kelakar masa nak bagi makan kat burung unta, sampai terjerit-jerit, drama betul. Kecil saja mini zoo ni tapi lama sangat kami spend masa di situ. Tak penat sebab naik kereta cuma panas terik aje.

CHECK IN HOTEL KEDUA

Selepas zohor, kami pun siap meronda dan pulang ke hotel. Tak jadi nak makan luar sebab anak-anak dah penat maka kami bungkus KFC sahaja. Kami sempat singgah di gerai kuih keria antarabangsa (tapi tak beli) sebelum check in di hotel kedua.

MasyaAllah, cantik sangat hotelnya. Saya sempat juga membebel sekejap kenapa ambil hotel mahal, tapi suami cakap, beliau nak gembirakan isteri dan anak-anak. Dan kononnya ini sebahagian hadiah kerana melahirkan anak kedua. MasyaAllah tabarakallah, terima kasih suamiku.

Masuk je bilik, si kakak jadi sangat teruja sebab ada tab mandi. Apa lagi dia terus tukar baju dan berendam dalam tab. Lepas tu baru nak makan. Kemudian, masing-masing pun berehat dan tidur. Hanya saya sahaja tak tidur sebab menyusukan si baby.

MAHKOTA PARADE

Selepas Asar, kami berjalan-jalan di Mahkota Parade. Jalan kaki sahaja sebab dekat dengan hotel. Di sana kami belikan si kakak kasut sukan baru sebab esoknya nak bawa dia ke Skytrex. Tak beli benda lain sebab kan dah kata, percutian ni untuk si kakak. Shopping bukan keutamaan kami.

MANDI DI SWIMMING POOL

Selepas maghrib, kekanda suami menemani si kakak untuk mandi di swimming pool hotel. Saya turun lambat sedikit sebab nak susukan baby. Dalam 8.30 malam baru turun. Waaa best rupanya sebab selain ada swimming pool, ada bilik sauna juga. Belum rezeki saya nak cuba sebab ada baby. Takpe tak kisah pun. Saya habiskan masa berbual dengan seorang pak cik dari Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ sementara suami mengajar si kakak berenang.

PAHLAWAN WALK

Dalam pukul 9 lebih lepas kolam ditutup, kamo bersiap dan keluar semula untuk ke Pahlawan Walk. Belikan cenderahati sikit untuk keluarga. Si kakak jalan sekejap dah letih, jadi kami bungkus lauk je buat makan di bilik. Kami tapau ikan siakap 3 rasa, kailan goreng, telur dadar dan nasi. Balik je hotel semua kata tak nak makan, nak tidur katanya. Sedih saya tau nak makan sorang-sorang. Saya paksa juga semua duduk, saya suap sorang-sorang. Dah beberapa suap kemudian barulah si Abi dan kakak ada selera, nak makan sendiri. 

Seusai makan dalam pukul 12 macam tu, kami pun tidur.

Sekian hari kedua.

No comments:

Post a Comment