Saturday, February 28, 2015

[Diari] Aktiviti


Kelmarin pagi-pagi lagi kami sekeluarga keluar menguruskan hal universiti sebelum makan tengah hari di ViVo. Petangnya keluar lagi menemani adik membeli barang keperluannya.

Dahulu, terdetik rasa hati hendak memperlekehkan para ibu yang sukar mengurus keluarga di waktu pagi. Anak baru seorang pun payah? Manja sangat, fikir saya. Namun apabila mengalaminya sendiri, barulah terasa pulang paku buah keras. Para ibu, tidak kira yang bekerja di luar atau suri rumah tangga, sama-sama melalui cabaran pengurusan masa. Hendak solat, mandi, sediakan sarapan, siapkan suami, siapkan anak dan melayan karenah anak. Banyak kerja bukan? Kalau anak ramai, masih kecil dan tiada pembantu pula bagaimana? Sedang kita bujangan pun sering kelam-kabut di waktu pagi, inikan pula yang berkeluarga.  Kasihan.

Jadi kita sebagai mata ketiga, janganlah memandang sinis para ibu yang kelihatan tidak terurus. Bukan mudah hendak menjadi seorang supermom dan seharusnya kita meraikan para ibu ini kerana tiada siapa selain ibu yang mampu bekerja 20 jam sehari 7 kali seminggu. Tugas ibu tidak ada cuti. Tidak ada gaji. Tidak ada anugerah pekerja cemerlang. Tetapi seorang ibu tetap setia menabur bakti pada keluarga. Itulah ibu.

Semalam pula kami menziarah kubur nenek selepas Asar. Kemudian singgah sebentar menikmati minum petang di restoran kegemaran mertua. Bukan main ramai pendatang asing di kawasan tesebut. Selepas habis makan, saya berjalan sebenyar dengan anak. Ada juga mata-mata yang pandang macam nak telan. Saya tak risaukan diri ini tetapi anak yang bahaya. Banyak pedophile sekarang. Semoga dijauhkan anak saya daripada tangan-tangan jahat.

Semasa di tanah perkuburan, kelihatan empat liang lahad kosong di kawasan tengah. Tak pasti ada orang kemalangan atau ia dikorek sekadar sebagai persediaan. Apapun, gerun melihat tanah 7 kaki di bawah bumi. Entah bagaimana nasib di rumah baru ini nanti. Cukuplah mati sebagai peringatan. Semoga Allah taala menyelamatkan kita semua dari azab kubur.

Yassin malam ini di rumah Cik Far. Saya membawa puteri bersama. Alhamdulillah tak menangis. Aktif tu biasalah. Budak kan. Semoga anak Ummi cepat membaca al-Quran dan menghafaznya. Amiin.

No comments:

Post a Comment