Kisah bahagian satu di sini.
Jika saya beritahu, ia mungkin dianggap sebagai alasan. Tetapi sesungguhnya, memang saya penat dan kurang mahir menangani anak sendiri sementelah hanya menjaga dan membesarkannya ketika cuti. Sekarang pula dia sudah masuk fasa melasak. Ya Allah, kadang-kala nak menangis jugalah bila sukar untuk mengawal keadaan. Dan bukan sekali terasa bagai bukan ibu sempurna. Apatah lagi tatkala memerhatikan blogger dan selebriti mempamerkan kehidupan bak supermak dan ideal, makinlah terasa jauh.
Sabarlah Najiha, selalu saya kata pada hati kecil. Ini bahagian saya, dugaan saya. Kurang di sini mesti lebih di sana. Allah taa'la kan maha adil. Dan antara keadilan Allah taa'la yang saya berjaya lihat ialah bila mana Safiyyah tidak pernah lupa akan kami ibu bapanya. Walau sedari 8 bulan usianya kami telah terpisah, bila kami pulang, dia tidak kekok untuk tidur di celah ketiak kami dan tidak menolak bila disentuh. Dan sesungguhnya, Safiyyah bayi yang amat mudah dijaga ketika kecil. Hanya yang renyah pada tubuhnya yang begitu kecil dahulu dan kekok diuruskan oleh kami sebagai ibu bapa setahun jagung. Selain itu, hanya pada hari-hari terawal selepas kelahirannya sahaja saya dan Safiyyah perlu bermalam di hospital kerana dia mengalami demam kuning. Selain itu, tidak ada perkara yang besar-besar. Saya dan suami rasa bersyukur kerana Allah taa'la sangat penyayang terhadap kami berdua yang kekurangan ilmu.
Teringat saya pada suatu malam di bulan Ramadhan, pada bulan keempat kandungan, di mana saya muntah teramat teruk sehingga menyamai hampir keseluruhan periuk memasak yang anggarannya dalam 2 liter. Rasanya malam tu paling dahsyat sekali, sampai terkencing-kencing atas tilam. Saya tak malu untuk cerita kerana mungkin ada orang lain yang mengalaminya juga dan jika ada lelaki yang membaca post ini, mungkin isteri anda juga akan menghadapi dugaan sama, jadi sila bersedia. Usai muntah, suami kemudiannya membuang muntah tersebut, membantu mengalihkan saya ke katil lain dan membersihkan tilam tersebut. Kadang-kala bila saya pandang Safiyyah, saya pasti akan teringat kenangan itu. Safiyyah ini lebih kurang macam ayahnya juga. Senyap-senyap macam tak pedulikan kita, tapi bila masanya perlu, dialah yang paling prihatin. Dalam lasaknya, pandai dia behave bila yang menjaganya tidak sihat. Itulah antara belas kasihan daripada Allah taa'la pada kami semua. Terima kasih Allah...
Oh ya, seminggu lepas saya terperasan sesuatu pada anakanda Safiyyah. Dia asyik menggaul-gaul sepasang stokin bersih di dalam kotak tisu kosong. Bila ditanya sedang buat apa, dijawabnya matak. Bila ditanya masak apa pula, jawabnya matak maggi. Dah pandai main masak-masak rupanya anakanda Ummi ni. Hahaha, ni mesti selalu nampak Ayongnya masak maggi malam-malam. Nampak sahajalah, makan tak boleh. Kan kecil lagi.
Disebabkan kasihan padanya, keesokan hari kami berdua membuat kek bersama-sama. Sekadar hendak memberikannya pengalaman memasak sebenar. Kami berdua membuat Kek Span Oren menggunakan buah limau Mandarin. Alhamdulillah, berjaya juga masak. Selama ni saya bakar kek waktu tengah malam sahaja selepas semua orang tidur kerana tak ingin diganggu Safiyyah. Rupanya taklah kacau-bilau pun bila ada anak di sisi. Cuma kena selalu perhatikanlah supaya anak tak termakan bahan-bahan mentah. Selepas itu, kami membasuh pinggan bersama-sama. Nama je basuh sama-sama sedang realitinya saya jelah yang buat. Si kecil itu hanya main air sahaja sampai basah lenjun. Hahahaha. Takpelah nak, nikmatilah keseronokkan waktu muda selagi boleh. Selepas itu, kami sama-sama menunggu kek masak. Selang sepuluh minit je saya akan ditanya, kek matak? Kek matak? Hahaha, gembira betul anakanda Ummi. Sampai tak sempat nak tunggu sejuk keknya sebab dah selamat dimakan si kecil. Secara keseluruhannya, saya benar-benar gembira dengan kenangan ini. Walaupun tiada sekeping pun gambar diambil, insyaAllah, semoga gambar dalam minda sentiasa segar.
Begitulah cerita sepanjang seminggu semasa dan selepas ulangtahun kelahiran Safiyyah kedua. Tiada kisah sensasi, hipster mahu pun mewah untuk dicoret, tetapi cukup mewah dengan kegembiraan dan kenangan di jiwa seorang ibu.
Semoga Allah taa'la mengampuni kita semua...
Jannah Najiha
2.17 pagi, 30 Januari 2016
Teratak Kimchi

No comments:
Post a Comment