Tarikh sebenarnya ialah pada hari Jumaat, 21 Februari 2014. Takdir Allah taa'la, saya dimasukkan ke wad untuk menjalani kelahiran paksaan pada 23 Januari 2014 dengan bukaan serviks 2 cm. Naluri seorang ibu, sebulan sebelumnya saya seperti merasakan bahawa anak ini akan lahir awal, tetapi saya menidakkannya.
Hari Jumaat, 4.30 pagi, induction pertama dilakukan. Sakit. Setiap kali lepas solat saya berdoa supaya anak ini lahir pada hari Jumaat yang berkah, sama seperti ketika emak melahirkan saya dahulu, Jumaat sebelum Subuh. Induction kedua, saya lupa, tetapi lebih kurang pukul 10.30 pagi.
Petang, pukul 3.51 petang, saya mula merasakan kesakitan. Seolah-olah urat sepanjang pinggang ditarik tetapi tidak terlalu sakit. Masa tu tengah makan ayam KFC yang Ruby bawa. Pukul 8 malam, saya meraung. Sakit teramat sangat sehingga solat maghrib sambil duduk atas katil sahaja.
Sakit datang begitu kerap dan kesakitannya teramat sangat. Terasa seperti hendak tercabut nyawa walaupun sakitnya hanya sekitar 30 saat sahaja setiap kali datang.
Saya menangis menelefon suami. Malangnya suami tidak boleh teman kerana waktu melawat sudah habis. Setiap kali sakitnya datang, saya memaut besi katil sekuat hati supaya tidak meraung.
Saya dengar, kakak di katil sebelah menelefon suaminya. Katanya, dia takut melihat saya mengerang kesakitan. Saya dah lupa tapi rasanya kakak tersebut cuma drip air sahaja, masanya untuk bersalin belum tiba. Walaupun kasihan padanya yang takut, saya sendiri pun tak boleh berlakon okay.
Tengah malam saya diberi suntikan (dengan keizinan saya) untuk memudahkan saya tidur. Sakit tidak hilang, tetapi sekurang-kurangnya saya boleh menjana sedikit tenaga untuk hari esok.
4.30 pagi saya meminta diperiksa. 4 cm nak ke 5 cm. Okay, boleh tolak ke labour room dah. Di katil, saya menukar persalinan lain, memakan sebungkus Kit Kat serta sekotak Air Soya dan kemudian ditolak dengan kerusi roda ke bilik bersalin.
Doktor memasang branula, mengeluarkan air kencing dan memecahkan air ketuban. Ya Allah, masa tu dah rasa sakit teramat sangat. Berkali-kali minta kebenaran jururawat untuk benarkan suami masuk, tetapi hampa. Mungkin kasihankan saya yang keseorangan sejak jam 5 pagi, pada pukul 10 (tak silap), suami dibenarkan masuk sekejap. Lalu, beliau masuk, memberikan saya sekeping surat dan mencium dahi saya sebelum keluar.
Tepat jam 12 tengah hari baharulah bukaan menjangkau 10 cm dan setelah 8 minit berusaha, akhirnya Safiyyah melihat dunia.
Itu sahaja yang mampu saya ingat setelah dua tahun berlalu. Apa pun, ia pengalaman mulia dan berharga daripada Allah taa'la.
Safiyyah sudah dua tahun sejak 25 Januari lalu. Tiada majlis besar-besaran. Abi perlu pulang pada hari lahir Safiyyah, maka dua hari sebelumnya (23/1) saya memasak kek coklat dan beberapa lauk seperti pajeri terung, ayam masak merah, sawi tumis dan sup ayam. Kemudian pada 24/1 kami sekeluarga membawa Safiyyah menikmati makanan laut di sebuah restoran di Nibong. Malam kami singgah sebentar di Danga Bay sebab Safiyyah nak tengok lampu dan kemudiannya kami membeli beberapa jenis kek. Tiba di rumah, potong kek dan buka hadiah. As simple as that. 25/1, sebelum pulang, Abi membawa Safiyyah melakukan pemeriksaan berkala di KK dan hasilnya, berat Safiyyah sudah nenjangkau 16 kg.
Alhamdulillah, tiada kata yang dapat menggambarkan bahawa saya, seorang manusia bernama ibu, sangat mencintainya. Anak ini, lahir daripada perasaan cinta seorang isteri kepada suami dan sebaliknya. Dia lahir dalam keadaan susah-payah, ketika ibu dan bapanya tiada apa-apa. Dia seorang anak yang bersih, suci dan mulia. Tiada dosa padanya. Dan saya, amat amat berterima kasih kepada Rabb yang maha Pemurah maha Penyayang atas anugerah tidak ternilai ini.
Semoga Allah taa'la memberikan kami kesihatan yang baik demi menjaga dan mendidik puteri ini sebaiknya.

No comments:
Post a Comment