Saturday, March 28, 2015

[Diari] Suamiku yang Kadang-Kala Menghairankan

"8.45 malam abang datang ambil," ringkas tetapi signifikan pesanan yang dihantar.

Jam menunjukkan pukul 8.03 malam. Saya mematikan ayat terakhir tugasan lalu mengemas meja dan bilik yang berselerak. Sahabat di sebelah masih khusyuk menyiapkan laporan makmal.

Ketika bertukar pakaian, saya teringat pada komen seseorang beberapa bulan lalu mengenai saya yang ala kadar sahaja bila keluar bersama suami. Pakaian tidak vogue dan wajah tidak ada calitan kosmetik.
Saya katakan padanya, suami saya melarang saya memakai bedak. Mungkin beliau ragu-ragu dengan kenyataan itu sementelah sifat semulajadi lelaki yang sukakan kecantikan.

Dalam kebanyakan filem Inggeris yang mengetengahkan tema transformasi kehidupan, jika anda perasan, tranformasi wanita kebanyakannya ialah pada wajah. Mereka diajar memakai kosmetik untuk tampil yakin serta disukai manusia.

Mengingatkan pada komen tersebut juga pada keaktifan adik-adik saya berhias, tiba-tiba terbit malu dalam diri.

"Orang bujang pun makeup, aku ni togel aje."

Maka, dengan azam yang kuat untuk tampil menarik di mata suami(kononnya la kan), saya menghampar barang kosmetik di atas lantai dan mula melakukan operasi transformasi wajah.
8.50 malam. Siap. Rakan di sebelah memuji cantik. Saya sendiri tatkala melihat wajah di cermin terasa macam hot stuff kejap. Lalu dengan pantas tetapi anggun, saya turun ke bawah blok.

10 minit tak kunjung tiba. Solat Isya agaknya dia. Takpe, makeup tak cair pun.

Tiba-tiba dari kejauhan saya nampak kereta suami. Setelah mengambil tempat duduk, saya bertanya padanya, cantikkah penampilan saya malam ini? Beliau senyap.

Tiba di destinasi, baru ada sinaran lampu yang cerah dan ketika itu suami kaku memandang saya.

"Lepas ni tak payah pakai macam ni dah."

"Eh kenapa? Kan naik seri yayang kalau makeup. Tak cantik ke abang?"

"Cantik...Tapi abang tak prefer yayang pakai."

Kecil juga hati tapi saya biarkan. Malam itu saya tidur di rumah kelamin kami.

Esoknya selepas bangun pagi, dengan malas dan tidak mandi lagi, saya menyarung tudung dan sweater untuk basuh baju. Mesin basuh di luar bilik, jadi mesti tutup aurat.

Sekembalinya saya ke bilik, suami datang dan mengusap ubun-ubun.

"Macam ni pun dah cantik."

No comments:

Post a Comment