Monday, January 19, 2015

[Diari] Mamai


Sebentar tadi saya terbangun bersama juraian air mata kesan mimpi ngeri. Mimpi bahawa suami meninggalkan dunia tanpa saya di sisi. Sedih teramat hingga apabila mata dibuka, basah lencun pipi.

Celik sahaja, mata melilau mencari suami. Tiada. Anak di sisi sudah macam gaya superman tidurnya. Kaki di atas, kepala di bawah. Di sebelah anak sepatutnya ada ibu mertua namun beliau juga tiada. Beberapa saat kemudian baru ternampak kelibat beliau dari dapur.

"Bu, Jiha naik atas kejap ya," ujar saya. Ibu mengangguk. Saya segera menuju tangga. Takdirnya, suami juga sedang turun tangga dalam kegelapan. Melihat saya, beliau naik ke atas semula dan menyambut di pintu.

Spontan saya terus memeluk beliau dan meminta maaf sambil menceritakan mimpi sebelumnya. Suami menenangkan isterinya ini.

"Abang turun tadi kenapa?"

"Nak panggil yayanglah tidur atas."

Wah, sama pula gerak hati kami ini. Lega bila yang buruk itu cuma  sekadar mainan tidur. Fizikal dan roh beliau masih bersama saya.

Tetapi tidak lama. Melihat ibu sudah bangun tadi maksudnya tentu sudah pukul 5 pagi.

"Abang, yayang turun dulu ya. Banyak kerja nak buat."

"La, kerja apa? Buat nanti jelah."

"Nak basuh baju Safiyyah, masak makanan dia, mandikan dia."

"Awal lagi ni, tidurlah dulu."

Mendengar pujukannya, saya hentikan niat. Selimut ditarik kembali. Mata cuba dipejam tetapi dapur bagai memanggil-manggil. Ini tidak boleh jadi.

Saya mengerling suami di tepi. Tidur.

Dengan pantas kaki melangkah keluar, menuju dapur. Sampai sahaja, saya memulakan proses mencuci pinggan. Sambil itu mata memandang sekilas pada jam dinding.

"Ya Allah. Patutlah abang buat muka pelik tadi."

Baru 3.30 pagi.

Dem.

No comments:

Post a Comment