Thursday, January 15, 2015

[Resepi, Cerpen] Nasi Goreng Cendawan


Gambar ehsan Google 


Pagi menyambutku bersama gerimis. Sejuk menggigit-gigit tulang walau kipas berputar pada skala 2 sahaja. Jam di tepi katil kutatap, sudah pukul 7.00 pagi. Mengingatkan hari ini aku bercuti solat, kemalasan mula menjalar. Ah, jangan malas! Aku ada anak kecil dan suami yang perlu disiapkan. Lalu, badan yang tadinya menghadap kanan bertukar arah.


Kosong. Hanya aku yang menghuni katil. Entah ke mana si suami.


Dengan malas, aku bangkit dari katil menuju ke ruang tamu lalu ke bilik Amani. Pintu dikuak perlahan.


"Cak!" suara suami menerpa telinga. Rupanya beliau di sini melayan sang puteri. Aku tidak menegurnya walaupun suami sudah perasan akan kelibatku. Biarlah aku di balik pintu sahaja, menikmati saat-saat indah begini. Memerhati keletah si kecil dan bapanya, oh, apa lagi yang aku inginkan? Terasa lengkap hidup ini tatkala melihat mereka yang tersayang gembira.


"Sayang masak dulu ya. Biar abang mandikan Amani kejap lagi. Sekarang masih sejuk," cadang suami tanpa menoleh. Matanya masih tertacap pada senyuman puterinya. Di sisi kaki Amani ada sebuah botol kosong, barangkali baru dihabiskan sebentar tadi. Di sisi suami pula ada hamparan sejadah. Agaknya Amani terbangun bila terdengar Daddy solat ketika fajar tadi. Suami suka sangat solat di bilik ini sedangkan ada ruang di bilik kami. Katanya lebih sejuk.


"Yelah. Terima kasih abang," balasku seraya menutup daun pintu dan bergerak menuju ke bilik utama semula. Usai membersihkan diri sedikit, aku berlalu ke dapur kecil kami dan bercekak pinggang di hadapan peti ais, memikirkan apa yang ingin kumasak.


Oh ya, baru teringat masih ada saki baki nasi yang tidak habis semalam. Alang-alang dah ada nasi, kita buat Nasi Goreng Cendawanlah. Untuk Amani, aku hanya menyediakan Bubur Sayur ringkas, senang untuk dia menelannya sementelah anakku baru ada sebatang gigi.


Selepas menyiapkan bubur Amani, terus aku gembur-gemburkan nasi semalam biar senang dimasak nanti. Setelah itu aku keluarkan sepeket cendawan tiram dari peti ais dan menyiatnya halus-halus. Bawang putih dan merah sudah dikisar awal-awal, jadi mudahlah kerja aku pagi ini.


Tanpa berlengah, kuhidupkan api lalu menuang 3 sudu besar minyak masak. Seterusnya, 2 sudu besar bawang merah dan bawang putih kutumis sehingga kekuningan sebelum memasukkan isi ayam yang dipotong halus. Bila dah setengah masak, barulah aku memasukkan segenggam lobak merah, lebihan Bubur Sayur Amani. Kacau sedikit sebelum dimasukkan 2 sudu besar sos tiram, sedikit stok ayam Maggi dan seterusnya cendawan tiram. Akhir sekali aku memasukkan nasi, menggaulnya sedikit dan menambah baik rasanya dengan garam dan lada hitam. Dah siap pun. Mudah sahaja bukan?


Tetapi, nasi goreng takkan lengkap kalau tidak ada telur. Lantas, aku menggoreng telur mata lembu dua biji untuk suami tercinta dan sebiji untuk aku. Suami mesti dilebihkan sebab beliau suka sangat telur goreng. Tak habis di situ, aku turut menggoreng sedikit nugget segera untuk menambah selera suami dan diakhiri dengan seteko teh o' panas. Oh ya, aku juga menambah 1/2 cawan tembikai hancur untuk Amani. 


"Mummy masak apa tu? Kita dah laparlah," satu suara menyapaku dari belakang. Sibuk memasak, tak perasan langsung anakku sudah berhias cantik bak puteri. Daddynya? Dari gaya macam belum lagi. Heh. 


"Mummy dah siap pun. Jom makan. Amani duduk dengan Mummy ya, bagi Daddy makan dahulu," kataku seraya mengambil Amani dari pangkuan suami. Tanpa disuruh, beliau menghidang makanannya sendiri sebelum mengucapkan terima kasih atas usahaku sementara aku meneruskan tugas sebagai ibu pula iaitu menyuapkan Amani. Semoga kenyang anak ini, biar membesar dengan sihat dan kuat.


Kami menghabiskan pagi itu dengan bersarapan tiga beranak dan berbual sementara langit masih memercik gerimis ke bumi.



***

Bahan-bahan:-
4 cawan nasi sejuk
3 sb minyak masak
2 sb bawang merah
2 sb bawang putih
1/2 cawan sayur yang dipotong kecil (ikut sukalah sayur apa)
1/2  cawan isi ayam
2 sb sos tiram
1 sb stok ayam
2 cawan cendawan tiram diracik halus
garam
lada hitam


Untuk cara memasak sila rujuk cerpen di atas. Selamat mencuba!


No comments:

Post a Comment