Sunday, July 13, 2014

[Cerpen] Ziyad


Sumber



“Lama tak nampak Ziyad kan Abang Long?”

Aku tersentak mendengar pertanyaan itu. Adik bongsu aku rupanya. Baru nak layan blues, dia kacau daun pula.

                “Abang?” dia mengangkat kening. Aku buat tidak tahu, hanya memerhatikan kaki yang sibuk menguis dedaun layu di tanah. Suasana malam di halaman rumah sangat mengasyikkan. Melihat bintang di langit sambil menahan kedinginan malam yang mencucuk tulang, ah, tidak mungkin sanggup kutukar keindahan ini dengan melayan pertanyaan Sabrina. Malangnya adikku yang seorang itu tegar benar menunggu balasan agaknya kerana dia tidak berkelip memandangku.

                “Kau ni kenapa Na? Beria tanya abang, macam dia tu boyfriend kau aje,” jawabku berdolak-dalih. Sabrina menjengilkan mata mendengar tuduhan itu lalu mencubit lenganku sebelum aku mengaduh kesakitan.

                “Main serkap jarang je Abang Long ni. Jawab jelah, Na cuma tanya, itu pun susah,” ngomelnya.

                “Hmm, dia dah meninggal,” balasku malas-malas.

                “Ha? Bila? Sebab apa? Kenapa Na tak tahu?” bertubi-tubi pula gadis ini menyoal. Itu yang aku malas hendak menjawab soalannya tadi. Masak hendak menjawab satu-persatu. Lagi pula, tidak enak untuk aku bercerita perihal sahabat sepermainan kami itu sementelah dia sudah tiada. 

               “Sebulan lepas. Meninggal sebab overdose arak. Malaslah abang nak cerita, tak seronok.”

                Sabrina tidak berkata apa-apa melainkan tunduk memandang bumi Allah. Tentu dia terkejut mendengar asbab kematian Ziyad. Aku jua begitu ketika mendengar perkhabaran tersebut daripada ibu. Walaupun perihal masalah ketagihan ZIyad sudah kami maklum, namun untuk meninggalkan alam fana dengan cara yang sebegitu tragis, amat di luar jangkauan pemikiran. 

                Teringat zaman kecil kami bertiga yang begitu intim. Hampir setiap hari dihabiskan bersama. Kendatipun Ziyad sebaya dengan Sabrina namun arwah lebih rapat denganku kerana kami memiliki hobi yang sama iaitu bermain bola. Namun, membesar di kejiranan miskin ini adalah sesuatu sangat mencabar sehingga kami pernah tersasar jauh. Melepak, bertukar-tukar teman wanita, menonton filem lucah dan merokok merupakan tabiat kebanyakan remaja lelaki di sini. Ibu bapa sibuk bergaduh kerana wang dan masyarakat bergaduh kerana kaum menyebabkan kanak-kanak terbiar untuk dewasa sendiri. Tetapi aku lebih bertuah berbanding yang lain. Kepandaianku membolehkan aku diterima masuk ke sekolah berasrama penuh lelaki yang terbaik di Malaysia ketika itu dan sekaligus melemahkan ikatan persahabatan antara kami. Itulah norma kehidupan. Sahabat datang dan pergi. Sahabat yang kekal selalunya mereka yang berada dalam kelas pemikiran yang sama. Bukan aku mengangkat bakul sendiri, namun memang benar kata orang, pendidikanlah yang akan membentuk sikap kita pada masa hadapan. Semakin lama di sekolah asrama, acuan hidupku berubah. Jika Ziyad sibuk memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi menukar spare part motor, aku pula sibuk memikirkan tentang peperiksaan. Ketika Ziyad asyik bergaduh dengan samseng dari kejiranan sebelah, aku leka dengan SPM. 

                Teringat aku peristiwa tiga hari selepas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah berakhir. Aku, Abu dan Mamat Kering melepak di rumah Ziyad kerana ibu bapanya pulang ke kampung. Seperti biasa, kami melakukan aktiviti sumbang yang jika aku tulis di sini, pasti manusia akan memandang aku penuh jijik.  Waktu itu tengah hari. Cukup sahaja kuota, Abu terus menghidangkan sekotak rokok seludup yang dicuri daripada ayahnya. Kami, remaja bernafsu tinggi yang tidak memiliki barang sekupang telah melihat ia sebagai makanan tengah hari lalu terus menyalakan rokok masing-masing. Begitu nikmatnya masa itu sehingga seorang pun tidak sedar ibu bapa Ziyad pulang.

                Aku…Benar-benar gerun pada ayahnya. Masakan tidak, sebaik sahaja dia melihat kami semua dalam kondisi begitu, terus dicapainya batang paip di dapur lalu disebat Ziyad tanpa belas kasihan. Depan mata, kumelihat Ziyad yang berlumuran darah meraung merayu agar ayahnya simpati. Agaknya setelah melihat Ziyad tinggal nyawa-nyawa ikan, barulah lelaki bermisai lebat itu berhenti. 

                “Kau kalau nak menjahanamkan diri sendiri, ikut suka engkaulah. Aku tak peduli, tapi jangan buat tahi kat rumah aku. Nanti aku bunuh engkau!” 

                Cuma itu yang keluar dari mulut ayahnya. Cuma itu….dan aku tidak mengerti. Berbeza sungguh dengan Bapak yang hampir setiap hari mengingatkan aku agar tidak terjebak dalam masalah sosial. Perbezaan ketara antara Bapak dan ayah Ziyad dalam menangani isu ini tiba-tiba buat aku terjaga daripada mimpi yang panjang. Ketika itu fikiranku hanya teringat pada Bapak dan nasihat-nasihatnya sahaja. Hilang terus nafsu untuk menjahanamkan jasad sendiri.

                Hari yang sama, sejurus tiba di depan rumah, aku meluru mencari Bapak dan memeluknya. Tidaklah kutahu pelukan itu kerana aku sudah tersedar akan kesalahanku atau aku sebenarnya bersyukur Bapak tidak pernah melayanku seteruk ayah Ziyad. Yang pasti, selepas itu aku selalu berdalih apabila Ziyad dan geng kami yang lain mengajak aku beraktiviti bersama. Peristiwa berdarah itu tidak meninggalkan sekelumit rasa pun dalam hati Ziyad yang sudah mati namun berjaya menyedarkan aku. Dan selepas melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat, kami langsung terputus persahabatan.

                “Kasihan Ziyad. Tak sangka awal dia pergi,” Sabrina yang sedari tadi berdiam diri kini bersuara membuat lamunanku terhenti. Tiba-tiba dia memelukku lalu berkata, “Abang Long, terima kasih sebab tak buat benda-benda tu semua.”

                “Kau ingat Abang ni jahat sangat ke?” Aku menolak tubuhnya, buat-buat merajuk. Sabrina ketawa berdekah-dekah melihat perlakuanku 

                “Amboi, sejak ada Kak Aina ni, Abang Long dah pandai merajuk ya?”

                Aduhai, itulah tujuan sebenar aku duduk di laman rumah! Hajatnya hendak menelefon Aina Husna, tunangku. Mujurlah Sabrina menyebut nama itu, kalau lebih lama aku terlupa, merajuklah Aina nanti. Makhluk bernama perempuan ini bukan senang untuk ditebak hatinya. Pantang silap sikit, panjanglah rajuknya.

                “Dahlah, Abang Long nak masuk bilik ni,” kataku lantas bangun dan menuju ke pintu meninggalkan Sabrina terpinga-pinga. Punat telefon bimbit ditekan.

                “Hello?”

                “Awak ni, kenapa lambat telefon?!”

                Aduhai…


No comments:

Post a Comment