| Sumber |
"Abang, terima kasih sebab hadiahkan Aliya handphone ni. Kesian kat abang kena keluar duit beli hadiah mahal."
“Alah,beli untuk isteri tak apalah. Sikit je tu kalau nak dibandingkan dengan pengorbanan Al melahirkan Suraya,” balas Adha sambil meramas tangan isterinya.Aliya tersenyum sipu sebelum menundukkan wajah. Hatinya berdebar tiba-tiba tatkala dilayan bagai permaisuri malam itu. Bukan selalu suaminya membawa dia ke restoran mewah dan bersikap romantik, maka apabila Adha menjadi lebih gentleman daripada biasa, dia terasa lain.
Adha yang mengerti perubahan riak Aliya cuma tersenyum. Alhamdulillah, bulan ini dia diberikan bonus, dapatlah dia menyambut ulangtahun kelahiran isterinya yang ke-28. Sebelumnya, dia sering berasa bersalah kerana tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga dek kekangan kerja yang tidak pernah selesai. Terakhir kali mereka bertiga makan angin adalah sekitar sepuluh bulan lalu. Adha faham,tentu isterinya yang bekerja sebagai suri rumah sepenuh masa itu adakalanya tertekan kerana hanya duduk di rumah menjaga anak tunggal mereka. Sedangkan burung di sangkar juga ingin terbang, apatah lagi manusia. Jadi,dia berharap dengan pemberian telefon pintar jenama Samsung itu dapatlah mengurangkan beban perasaaan Aliya sementara Adha sedang bekerja keras untuk memperbaiki taraf kehidupan mereka.
“Kita ambil Suraya esoklah sayang. Malam ni kita spend masa berdua je. Dah lama kita tak berbual sebelum tidur macam dulu kan?”cadang Adha. Aliya senyum mengangguk. Teringat kenangan manis semasa masih berdua. Setiap malam pasti mereka akan bercerita perihal diri masing-masing sehinggalah salah seorang tertidur. Rutin itu akhirnya terhenti selepas Suraya lahir ke dunia.
***DUA
“La,akak tak install aplikasi Wechat ke? Membazir je ada smartphone tapi tak reti guna. Mari sini Ucu install. Nanti kita boleh chat,jimat sikit kredit akak sebab Wechat ni percuma,” ngomel adik bongsu Aliya, Sakinah sambil mengeksplorasi telefon bimbit tersebut.
“Akak minta tolong potong sayur ni, bukan suruh godek telefon tu,” balas Aliya pula namun tidak dipedulikan Sakinah. Malas hendak berleter, dia menghabiskan kerja-kerja dapur sendiri. Menu hari itu ialah Ikan Kembong Goreng, Bayam Tumis Air, Sambal Belacan dan Ikan Masin Bulu Ayam. Sebentar lagi Adha akan pulang untuk menikmati makan tengah hari bersama, maka Aliya perlu menyiapkan semua dengan segera.
Usai solat Zohor, Adha bergegas ke tempat kerja manakala Sakinah terperap sahaja di dalam bilik. Dah kenyang apa lagi, tidurlah anak dara seorang tu. Suraya juga sedang lena di dalam buaian. Lega hati Aliya kerana dapat melepaskan lelah sebentar di sofa panjang. Kipas yang berpusing laju di hari yang terik itu begitu mengasyikkan sehingga dia juga berasa mengantuk. Bimbang tertidur, Aliya cuba megaktifkan otak dengan bermain game telefon. Tiba-tiba hatinya tergerak untuk meneroka aplikasi Wechat yang baru dimuatturun sebelumnya.
Oh, rupanya ia tidaklah sesusah mana. Penggunaannya lebih kurang sama dengan aplikasi Yahoo Messenger cuma lebih ringkas.Ketika sibuk menambah kenalan Wechat, Aliya mendapat idea untuk menambah Hanif sebagai kenalan.
“Takpe kan, saja-saja je,” hati Aliya cuba membenarkan perbuatan itu. Entah kenapa diaterfikir untuk menambah bekas teman lelakinya dalam senarai. Terbit juga rasa berdosa pada Adha namun cepat ditepis kuat-kuat oleh hatinya sambil memberi alasan tipikal, tidak ada apa-apa yang buruk dengan perbuatan itu.
Malamnya ketika baru menidurkan Suraya, Aliya dikejutkan dengan kiriman mesej Wechat daripada Hanif. Tak disangka Hanif masih mengingatinya. Dalam rasa terkejut itu timbul sekelumit rasa berdebar. Dia terfikirakan kebarangkalian reaksi Hanif tatkala mendapat request tersebut dan dalam masa yang sama dia juga terlalu teruja untuk mengetahui perkembangan Hanif sekarang. Adakah Hanif lebih bahagia daripadanya? Adakah dia sudah berkahwin? Agak-agak isterinya lebih cantik daripada Aliya atau tidak? Pelbagai persoalan berlayar di minda. Dia sedar dia tidak patut mempersoalkan semua itu,namun Aliya malas untuk menepisnya atas alasan yang sama, tiada apa-apa yang buruk dengan perbuatannya.
***TIGA
Hujung minggu yang bakal melabuhkan tirai dirasakan cukup sengsara bagi Adha. Ia tidak seperti dahulu apabila masa lapangnya dihabiskan bersama Aliya dan Suraya di depan televisyen atau di taman. Kini Aliya begitu sibuk dengan dunianya sendiri.Tidak dinafikan komitmen isterinya sebagai pengurus rumah tangga masih mantap,namun komitmen Aliya sebagai isteri yang sepatutnya menjadi penenang hati suami nampaknya makin merundum. Interaksi emosi antara mereka semakin jarang. Aliya tidak lagi suka bercerita perihal rumah tangga, sebaliknya masa yang terluang dihabiskan bersama telefon kesayangan. Sebagai lelaki, Adha tidaklah begitu gemar berbual namun dia cukup suka melihat riak wajah isteri kesayangan ketika isterinya sedang rancak bercerita. Wajah Aliya yang ceria ketika mengabarkan mengenai keletah anak tunggal mereka adalah antara faktor yang menenangkan hati Adha setelah seharian penat bekerja.Namun itu semua semakin pudar.
Kadang-kala terdetik juga buruk sangka apabila melihat Aliya terlalu ralit dengan telefon bimbit namun cepat-cepat dia beristighfar. Dia tidak mahu bersangka-sangkakerana bimbang sikapnya itu akan mencemarkan ikatan rumah tangga ini. Susah payah dia cuba menakluki hati Aliya empat tahun dahulu, lalu tidak mungkinuntuknya membiarkan persangkaan buruk merosakkan kebahagiaan yang cuba dibina.
Demikian, perubahan sikap Aliya begitu ketara sehingga menyebabkan tekanan perasaan padaAdha. Prestasi kerjanya turut terjejas sedikit. Oleh itu, Adha pasti dia perlu berbincang hati ke hati dengan Aliya untuk menyelesaikan kemelut ini. Kemungkinan isterinya menghadapi masalah yang tidak diceritakan lalu Adhalah yang mesti memulakan langkah bertanya Aliya.
Hujung minggu itu Adha memberitahu Aliya bahawa dia akan bertugas di luar daerah selama tiga hari dua malam. Dalam diam sebenarnya Adha sudah merancang untuk melakukan kejutan buat isteri tercinta. Dia sudah menempah tiket dan pakej bercuti ke Kapalai, Sabah selama lima hari dan pukul 11 pagi nanti, dia akan pulangke rumah untuk memberi kejutan tersebut.
Tepat 10 pagi, dia ke Shah Alam untuk mengambil adik perempuannya yang telah ditempah khas bagi menjaga Suraya sepanjang pemergian mereka suami isteri. Sengaja Adha membawa Liza terus, agar jika Aliya memberi alasan bimbang hendak meninggalkan Suraya, Adha ada adiknya untuk back up.
Setibanya di kawasan perumahan, dia memberhentikan kereta jauh sedikit supaya tiada sesiapa menyedari kehadiran mereka berdua. Semuanya mesti sempurna seperti yang dirancang, fikirnya. Sudah terbayang betapa terkejutnya Aliya sebentar lagi apabila mendapat kejutan begini. Usai membuka tali pinggang dan hendak keluar dari kereta, tiba-tiba Adha dan Liza terlihat peristiwa aneh. Di kejauhan mereka ternampak seorang lelaki keluar dari rumah kelamin dia dan Aliya diiringi oleh isterinya itu. Awalnya semua kelihatan normal namun sebaik tiba di pagar rumah, Aliya dilihat mencium tangan lelaki tersebut. Jantung Adha berdegup kencang. Adakah persangkaannya kini benar-benar terjadi?
“Alang…” Liza mencuit bahunya namun Adha hanya membatu. Dia seperti mengenali lelaki itu tetapi tidak ingat di mana. Cuma yang pasti, lelaki itu bukan ahli keluarga mahupun kerabatnya, jadi kenapa mereka berpegangan tangan? Dan kenapa Aliya membiarkan seorang lelaki asing masuk ke rumah mereka tanpa meminta izinnya dahulu?
Muka Adha terasa panas dek darah yang menyerbu. Tak disangka, Aliya lebih bijak dengan memberi kejutan terlebih dahulu.
Wahai isteriku, apakah kau tahu beban dosamu tika ini?
“Itu bekas teman lelaki Kak Lang,” kata Liza tiba-tiba. Adha terkulat-kulat.
“Kan Ija sekuliah dengan Kak Lang dulu. Lelaki tu pun sama. Nama dia Hanif, abang ingatkan?” katanya lagi tersekat-sekat. Pasti Liza juga sedang takut dengan situasi itu. Risau Adha mengamuk di tempat awam barangkali. Namun Adha tidak selemah itu. Dia perlu bertenang dan merancang tindakan seterusnya dengan rasional.
“Baru teringat…” balas Adha ringkas.
“Ija, Alang nak minta tolong ni. Malam nanti bawa mama dan abah ke rumah emak Kak Lang. Alang ada hal nak dibincangkan.”
“Err, Alang jangan buat yang bukan-bukan ya. Selesaikan cara baik,” balas Liza, masih takut-takut.
“Tak, Alang tahulah nak buat apa. Liza cuma ikut je cakap Alang,” balas Adha kembali.Sejujurnya dia tidak tahu apakah kaedah ini yang terbaik. Dia hanya mengikut kata hati sahaja. Tak disangka sikap buruk Aliya masih melekat di badannya. Benarlah nasihat sahabat sebiliknya di UM dahulu, gagak dimandikan tujuh kali sehari pun, takkan putih bulunya. Orang yang jahat, jika diberi kesenangan hidup, bila ada kesempatan pasti dia akan melakukan kejahatan lagi. Sebelum berkahwin Aliya pernah mencuranginya tiga kali namun Adha tetap memaafkan atas dasar kasih sayang, namun kali ini, Aliya benar-benar telah melampaui batas!
***EMPAT
Aliya tergesa-gesa bersiap. Petang tadi Ummi menelefon,menyuruh dia datang ke rumah malam ini. Katanya ada hal penting. Hati Aliya resah memikirkan hal penting itu. Walid sakitkah? Kenapa Ummi tak mahu memberitahu melalui telefon sahaja?
Sedang dia ralit menyarungkan pakaian, telefon bimbit berbunyi. Nama Hanif tertera diskrin. Aliya mahu mengangkat namun dek kesuntukan masa, dia hanya membiarkanderingan itu berlalu. Namun setelah kali keempat Hanif menghubunginya, Aliya terpaksa jua mengangkat untuk memberitahu dia sedang mengejar masa. Kalau dibiarkan, tentu sampai tengah malam pun Hanif akan mendail.
“Kenapa Al tak angkat?” tanya Hanif di hujung talian.
“Al nak cepat ni. Nak pergi rumah Walid, ada hal. Malam nanti Al telefon ya.”
“Em,yelah. Jangan lupa call tau. I love you,”
“I love you too,” balas Aliya lalu mematikan talian. Tiada langsung rasa bersalah dihati apabila melontarkan ayat keramat itu pada lelaki bukan suaminya. Jika empat bulan lalu masih ada keimanan pada dirinya, namun kini, Aliya bagai lupa pada status sebagai isteri. Kenangan dan kehangatan cinta masa silam membuatkan fikirannya tertumpu pada Hanif seorang.
***LIMA
Aliya tiba 30 minit kemudian. Sejurus melangkah masuk, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati bukan sahaja Ummi dan Walid, namun adik ipar, ibu dan bapa mertuanya turut berada di situ. Dan yang lebih memeranjatkan lagi adalah kelibat Adha yang duduk di salah sebuah sofa. Aliya berasa gundah-gulana namun cuba disembunyikannya. Dia mengambil tempat di sebelah Adha setelah mencium tangan suaminya itu. Adha membalas seperti biasa.
Melihat tiada perubahan pada sikap luaran Adha, hati Aliya lega sedikit. Tentu ini cuma perjumpaan biasa. Agaknya keluarga mertuanya rindu untuk bertemu cucu mereka,sebab itulah Ummi menyuruhnya ke sini malam ini. Tentang Adha, Aliya membuat spekulasi sendiri bahawa tugasannya dibatalkan dan Adha tidak sempat memberitahu Aliya.
“Ija, ambil Suraya bawa ke bilik,” arah Adha sejurus Aliya duduk. Liza terus mengikuti arahan abangnya itu.
“Tak sangka mama dan abah ada juga. Kalau Aliya tahu, Aliya datang awal sikit tadi,”selorohnya namun hanya dibalas dengan senyuman. Sepertinya tiada siapa yang berkeinginan untuk berbual. Tiba-tiba,suaminya bangun dan memandang wajah Aliya.
“Hari ini ketika abang balik untuk jumpa Al, abang nampak ada seorang lelaki keluar dari rumah kita. Liza ada untuk menjadi saksi. Lelaki itu Hanif, bekas kekasih Al masa di UM dulu. Dia bukan mahram Aliya, jadi abang assume Aliya berkhalwat dengan Hanif hari ini dan tentu sekali ia bukan yang kali pertama terjadi kan? Jadi sekarang abang nak Aliya jujur, adakah Aliya ada hubungan sulit dengan Hanif ketika ini? Ketika Aliya masih isteri abang?”
Terkesima.Terpegun. Tiada kata yang mampu keluar dari mulutnya. Keaibannya telah terbongkar. Tidak semena-mena Aliya bagai tersedar daripada mimpi. Saat itu barulah dia terfikirkan dosa-dosanya selama lima bulan ini serta kedudukannya sebagai isteri.
“Al...Aliya minta maaf...” hanya itu yang terpacul di bibir. Tiada gunanya dia bersikap defensive. Memang betul pun tuduhan Adha itu.
“Abang rasa, jawapan tu dah cukup membenarkan tuduhan abang ni. Maka malam ini, di depan mama, abah, ummi dan walid; abang ceraikan Nur Aliya binti Azman dengan talak satu. Kalau sebelum ni abang ambil Aliya dengan cara baik, sekarang abang pulangkan isteri abang dengan cara baik juga,” balas Adha sambil mengalirkan air mata.
Empat tahun membina mahligai cinta, dalam masa sehari ia musnah sekelip mata. Hanya Allah taa’la sahajalah yang tahu beratnya tekanan dugaan untuk melepaskan isteri yang ditatang selama ini. Namun itulah tindakan yang jauh lebih baik daripada mendapat dosa menjadi suami yang dayus.
No comments:
Post a Comment