Friday, July 25, 2014

[Cerpen] Hipokrit?


sumber : takemealone12

Seorang wanita bertudung putih pernah berkata;

“Don’t trust yourself.”

Malangnya tidak banyak yang percaya. Kerana mereka duduk dalam kelompok besar, hati mereka rasa senang dan hidup rasa mudah. Bila mereka susah, mereka fikir pasti ada dahan lain untuk mereka berpaut. Semua orang rambut sama hitam, hati sama merah. Kita semua kawan maa. Aku tolong kau, kau tolong aku. Aku jauh, kau dekatkan.

Lama-lama mereka menjadi buta.

Kelompok besar membuat mereka leka dan penakut. Jika ditinggal seorang, mereka tak dapat hidup. Jumlah mereka semakin banyak namun jiwa individual antara mereka mengecut.

Penakut.

Seperti Yahudi.

Seperti juga Muslim….akhir zaman. Jika sebotol minuman bergas digoncang lalu dibuka penutupnya, maka terpancutlah buih-buih tanpa henti. Seperti itulah Muslim…akhir zaman. Buihnya banyak dan cepat pula hilang.

Mereka sangka mereka kuat. Mereka buta. Kelompok besar nampak sahaja gah bak pahlawan namun bila dipecah-pecah, mereka jadi kepingan rapuh.

Zura melihatnya seperti serpihan kondominium mewah di pinggir Kuala Lumpur awal 90-an dahulu. Gahnya sekejapan cuma. Apabila ia lebur menyembah bumi, gahnya turut dibawa mati. Muslim…akhir zaman. Seperti itulah mereka.

Sampai di sebuah wakaf tepi tasik, Zura duduk memerhati sekeliling. Tiga kelibat gadis bertudung litup asyik membaca al-Quran. Yang bertudung hitam dengan suraf as-Saff. Awalan surah bercerita mengenai barisan. Barisan perjuangan, tadabbur Zura sendiri. Kita lebih kuat bila ramai. Benar. Tapi itu bukan alasan untuk lemah bila seorang. Jiwa jangan jadi macam lalang. Jiwa mesti besar, seperti Khalid al-Walid yang sudah berjihad entah ke berapa kali di medan perang.

Zura mengeluh kecil. Ia tidak disedari tiga gadis bertudung litup.

Seorang yang lain berhenti lalu mengangkat wajah.

“Apa khabar iman?” soalnya separa senyum.

Soalan wajib. Berulang-ulang di setiap pertemuan. Kadang dia muak. Kadang dia bersyukur. Bergantung pada kesihatan jiwanya.

“Ah, baik-baik saja. Alhamdulillah.” Bersama jawapan dilemparnya segaris senyuman. Banyak orang kata senyumannya manis dan memaniskan lagi wajah hitam manisnya. Kalau sedang bersedih, pamer sahaja senyuman itu dan semua lihat dia sedang gembira.

Seperti sekarang.

Siapalah yang tahu gelora di benak hatinya selain Allah taa’la?

“Don’t trust yourself.” Ingatan menyapa minda.

Zura menyelak tudung labuh warna ungunya ke sisi sebelum menarik keluar senaskah al-Quran. Dia meneliti surah ke 67 yakni surah al-Mulk. Mulut terkumat-kamit. Setiap baris dibaca penuh tartil.

Tetapi siapalah yang tahu apa ada dalam hatinya ketika ini selain Allah taa’la?

Zura mengeluh lagi. Kali ini kuat sedikit. Tiada siapa mendengar.

Empat minit kemudian, dia terlihat sepasang kaki berjalan menujunya dari hujung mata. Sekujur tubuh kecil memberi salam dan duduk di antara mereka berempat. Pertemuan bermula. Surah al-Fatihah dibaca. Al-Quran ditadabbur. Hadis ‘Arbain didiskusikan.

Zura rasa kuat. Rasa dia kembali menjadi ahli kelompok besar. Semua mata berpandangan. Semua bibir mengukir senyuman. Zura kembali bertenaga.

Imannya rasa kuat. Dirinya rasa gagah. Jika seorang Zionis datang ke wakaf universiti ketika ini, tidak syak lagi dia akan mencincangnya lumat-lumat.  Mindanya rasa besar.

Kelompok besar buat dia leka…kembali.

Benar. Kelompok besar buat kita lebih kuat dan tersusun. Tetapi bukan bermakna kita ada alasan untuk lemah bila seorang. Kelompok besar seharusnya membuat kita lebih bersedia untuk keseorangan, bukan semakin penakut.

Zura makin lena.

Dia lupa pada gelisahnya sebelum ke wakaf ini sebentar tadi. Gelisah yang berpunca pada mutaba’ahnya. Mutaba’ah buruk untuk seminggu. Buruk hanya kerana dia berada di kampung. Selama berada di kelompok besar, tak pernah lagi dia menghiasi amalannya buruk begitu. Tetapi minggu lepas dia menyapu tahi di wajah sendiri. Langsung tidak ada Tahajjud.

Itu baru seorang diri di kampung. Kalau seorang diri di medan perang pula bagaimana? Hendak lari?

Dia nyanyuk pada pesanan wanita bertudung putih.

“Don’t trust yourself.”


[Jangan malukan Islam dan mencemarkan nama halaqah, usrah, bulatan gembira dan sebagainya bila mana ramai, kita kuat. Bila seorang, tunggang-langgang.]

No comments:

Post a Comment