![]() |
| Sumber: Laman Facebook The Dressar & Co. |
Cukuplah Allah bagi kami. Tiada yang lain di hati kami selain Allah.
Pagi ini kita dikejutkan dengan tragedi kebakaran di unit rawatan rapi Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Dikhabarkan bahawa lima pesakit meninggal dunia dan seorang jururawat cedera parah. Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Tiada siapa yang sangka perkara begini boleh terjadi, apatah lagi di unit rawatan rapi.
Semua sedia maklum bahawa HSA ialah antara hospital awam tertua di Malaysia. Ia menempatkan kapasiti pesakit dan staff yang tinggi. Setiap pagi di mana-mana unit atau jabatan di HSA akan menjadi sangat sibuk. Di sini, rakyat yang kurang berkemampuan menerima rawatan. Di sini juga ,rakyat yang memerlukan bantuan doktor pakar akan datang. HSA ialah sebuah hospital awam yang tidak pernah menolak mana-mana yang datang untuk mendapatkan servis kesihatan.
Dan hari ini, hospital yang terletak berdekatan Danga Bay, yang juga merupakan tempat di mana suami dilahirkan, terbakar. Dan kawasan pertama terbakar ialah kawasan yang menempatkan pesakit-pesakit kritikal yang sedang menerima rawatan khusus.
Allah, tak terbayang perasaan mereka yang sedang menunggu diselamatkan tatkala diri sendiri tidak berupaya berbuat apa-apa.
Betapa bagaimana Allah menduga mereka. Hendak memindahkan pesakit yang bergantung sepenuhnya pada bekalan oksigen dan wayar-wayar lain yang berselirat bukan sesuatu yang mudah. Manusia mencuba untuk menyelamatkan semua, namun Allah lebih mengetahui mana yang baik.
Semoga kita semua meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah, dalam iman yang terbaik dan taqwa yang terbaik.
Allah, kepada-Mu kami memohon.. Ampunilah kami di atas segala dosa-dosa yang tidak terhitung ini...
Sedikit coretan peribadi...
Hari ini, saya seratus peratus melakukan semua perkara sendirian. Tidak pernah lagi saya melakukan perkara penting seorang diri. Tetapi kisah Kak Syani benar-benar menjentik naluri saya sejak kebelakangan ini. Kak Syani baru-baru ini kehilangan suami tercinta secara mengejut. Anak-anak seramai empat orang sedang membesar dan tiba-tiba Allah memanggil suaminya kembali.
Mujur beliau sudah biasa berdikari. Beliau ada kerjaya, mahir memandu kereta dan mahir menguruskan rumah tangga. Walaupun susah, tetapi nampaknya beliau berjaya berjalan di atas kaki sendiri bersama empat orang anak-anak yang kian membesar.
Saya tahu saya juga mesti berdikari. Tidak boleh lagi mengharap suami.
Jadi hari ini selepas kuiz Plant Physiology, saya ke Jabatan Pendaftaran Negara sendirian untuk menyelesaikan urusan berkaitan kelahiran Alisha. Kalau sebelum ini mesti merengek minta ditemankan, tapi hari ini tidak.
Kemudian saya ke bank untuk mendeposit duit sewa rumah bulan November 2016. Sepatutnya duit tersebut untuk simpanan anak tetapi memandangkan sekarang sudah hujung bulan, saya fikir hutang lebih penting untuk dilunaskan terlebih dahulu. InsyaAllah simpanan Alisha akan ada nanti.
Selepas urusan di bank, saya ke pejabat pos pula untuk mengambil belian minggu lepas iaitu sebuah novel fiksyen tulisan penulis prolifik negara, Faisal Tehrani.
Malamnya pula saya makan seorang diri di Pilah Street dan membungkuskan satay buat suami. Rasa kekok sedikit sementelah sudah lama tidak makan sendirian sejak bersuami ini tetapi dalam masa yang sama, rasa tenang kerana dapat menikmati momen bersendiri yang jarang dimiliki lewat kini.
Alhamdulillah untuk segalanya. Terima kasih Allah kerana memberikan saya kekuatan untuk melangkah sendirian tanpa rasa kesunyian. Kerana saya tahu, Allah ada.


No comments:
Post a Comment